Advanced Search

Custom Search

Followers

Cukup-cukuplah tu Syiah...

Salam sejahtera pada semua...

Sekarang ni orang semua dok sibuk cerita pasal syiah, saya pun nak juga cerita pasal syiah, tapi bukanlah sejarah syiah, sebabnya anda boleh baca sendiri sejarah-sejarah syiah, cuma ringkasannya ialah

Pada aslnya Syiah merupakan satu fahaman politik, fitnahnya dikatakan disebar dan direka-reka oleh seorang yahudi yang bernama Abdullah bin Saba, dan fahaman politik dendam dan fitnah ini berubah menjadi mazhab apabila ia 'dicantikkan' sikit oleh Imam-Imam mereka.

Rasanya ia samalah macam budha, ikut sejarah yang saya ketahui, budha juga adalah satu falsafah kehidupan, tapi apabila ia diwarisi dan ditokok tambah oleh sami-sami mereka maka ia menjadi agama. (Muqaranah Al-Adyan: Dr Qis Mu'aitoh: Jamiah Mu'tah)

Bezanya cuma syiah adalah Islam, tetapi fahaman politik yang berubah menjadi mazhab. Budha pula satu falsafah yang berubah menjadi agama.

Semuanya adalah kerana TOKOK-TAMBAH.

Benar, kerana TOKOK-TAMBAH dan FITNAH.

Itulah bahayanya fitnah sehingga Allah merakamkan dalam kitab teragung "... dan fitnah itu lebih besar daripada membunuh..." surah al-Baqarah: 217

kerana dengan fitnah hanya akan mendharuratkan dan mengeruhkan keadaan.

Jika di Selangor puak mereka diserbu kerana kesalahan melanggar fatwa mufti Selangor, mengapa masih ada yang mempertikaikannya? Berlawan hujah dengan mereka untuk apa? Jika surat yang dihantar oleh Saidina Uthman ketika menerangkan keadaan sebenar pun masih tidak diterima mereka, apakah mereka akan mendengar hujah-hujah ahlu assunnah wal jamaah walaupun mereka kalah dalam berhujah...? tentu tidak.

Bukanlah kita disuruh untuk memerangi sesama Islam, namun jika terdapat segelintir daripada syiah yang menghalalkan pengikutnya akan darah sesama Islam tentu sekali mereka yang terlebih dahulu menimbulkan 'perang'.

Tetapi ia cukup menghairankan, jika benar mereka menangisi sesebuah pemergian, kenapa tangisan itu hanya untuk Saidina Hussain? bagaimana dengan sahabat-sahabat baginda yang lain? apakah mereka tidak layak untuk ditangisi?

Dan jika mereka beralasan bahawa Saidina Hussain adalah waris nabi, maka kenapa tidak ditangisi akan kewafatan baginda SAW?

Owh ya, mungkin kerana Saidina Hussain matinya adalah trajis iaitu dibunuh, sebab itu mereka berdendam sehingga kini? Tapi tahukah syiah siapakah pembunuh yang sebenar? Adakah orang Islam? tentu bukan?

Jadi mengapa perlu untuk memusuhi sesama Islam? Memusuhi ahlu as-sunnah waljamaah? adakah kerana ahlu as-sunnah waljamaah ini tidak meratapi kematian Saidina Hussain?

Mungkin ini jawapannya, mereka terlalu agungkan Saidina Ali iaitu bapa kepada saidina Hussain, dan ia merupakan fitnah yang besar dan dahsyat terhadap sahabat-sahabat baginda SAW.

Sekali lagi yahudi amat berjaya dalam memperlagakan umat Islam, tidak cukup dengan wahabi, puak politik, syiah dan apa lagi selepas ini?

Cukuplah dengan pecah belah yang ada, pemikiran di pesong kerana ketaksuban kita, kekurangan ilmu dan kekontangan jiwa, hati jauh dari hidayah Allah SWT. Minta kita untuk dijauhkan dari perkara-perkara yang menyesatkan...

WaAllahu a'alam...

Jom Hilangkan Tekanan...

Kali ni saya posting pasal benda yang lawak-lawak sikit. Sekali sekala apa salahnya untuk kita 'release tension'... Rehatkan otak, tenangkan fikiran untuk seketika.

Untuk bacaan penuh, boleh baca di akaun Facebook saya.

Moga terhibur, saya gelak dulu ye...
Hahaha!!!

Kontroversi Dato' Pakar Motivasi.

Mendengar pada isu terbaru yang melibatkan pakar motivasi terkemuka negara mengenai kenyataan beliau di akhbar tabloid sememangnya sesuatu yang memeranjatkan saya.

Saya tidak pasti sejauh manakah hangatnya isu ini berbanding isu-isu lain yang turut memenuhi muka-muka akhbar, suara radio dan kaca televisyen seperti isu 4 orang MP yang digantung selama 6 bulan, isu pluralisme, isu air, dan juga isu karbalah-syiah. Dan pastinya tidak sehangat berita-berita ini.

Menurut pembacaan saya, antara kenyataan Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah bin Kamsah yang melahirkan sedikit kontroversi adalah berbunyi

1- “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah”.
2- “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi".

Anda boleh baca kenyataan lengkap beliau di sini(1) dan sini(2).

_______________________

Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah bin Kamsah merupakan pakar motivasi dalam pelbagai bidang dan sudut yang tersohor dan tidak asing lagi dikalangan kita rakyat Malaysia bahkan turut dikenali oleh mereka-mereka yang berada diluar dari negara Malaysia.

Namun kenyataan beliau disitu mungkin satu kesilapan yang tidak disengajakan kerana memang diakui sepanjang kerjaya beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Bahkan jasa beliau dalam membangunkan masyarakat memang patut dipuji terutama kepada pembangunan motivasi rakyat Selangor.

Kemungkinan juga apa yang beliau maksudkan terdapat satu kesilapan percaturan komunikasi antara beliau dan akhbar tabloid tersebut.

Dan semuanya telah dijelaskan kembali kepada umum melalui kenyataan akhbar kedua yang menjelaskan maksud kenyataan akhbar pertama beliau.

Kita bersangka baik, mungkin di pihak beliau terdapat sedikit kesilapan method dakwah yang sepatutnya disesuaikan apabila melibatkan hukum-hakam dan hak Allah SWT.

______________________

Dalam kes seperti Suzie (GRO tersebut), sememangnya dia tidak patut dihina kerana kerjayanya.

Sabda Nabi junjungan yang bermaksud : "sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah dengan lisan, jika tidak mampu hendaklah dengan hati, dan ia (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah Iman".

Hati yang dimaksudkan di sini ialah membenci kemungkaran tersebut dengan hati dan bukan menghina, tetapi sekadar membenci akan perkara tersebut dalam maksud cuba untuk menjauhkan diri darinya.

Membenci dan menghina adalah dua maksud yang berbeza, benci hanya satu rasa hati untuk tidak kita mengikut jejak kemungkaran tersebut kerana rasa tidak suka kita pada perkara berkenaan, sebaliknya menghina merupakan perlakuan hati yang diikuti dengan cakap-cakap mulut.

Maka Suzie tidak patut dihina, bahkan yang kita patut benci juga adalah kemungkaran yang dilakukannya, bukannya membenci diri dia.

Cuma dari prespektif hukum perkara pertama yang Suzie patut lakukan adalah berhenti daripada kerja mungkarnya, kerana pekerjaanya adalah haram disi agama dan tiada 'illah (sebab) yang akan menghalalkan dia untuk terus bekerja sebagai GRo walaupun atas alasan dharurat.

Bantuan zakat dan Baitul Mal masih ada untuk menyara dirinya dan anak luar nikahnya, maka itulah pilihan utamanya sementara mencari pekerjaan halal.

Maka daripada itu saya menyeru 3 perkara:

1- Suzie silalah berhenti kerja dengan serta-merta dan segera bertaubat kepada Allah SWT.
2- Suzie segeralah mendapatkan perlindungan dan bantuan daripada badan-badan berkenaan, bahkan masyarakat yang mengenalinya juga dibebankan tanggungan untuk mendapatkan bantuan untuk Suzie.
3- Kesilapan tetap kesilapan, maka beristighfarlah kepada Allah SWT atas 'kenyataan beliau'.

______________________

p/s : rasa nak tergelak pun ada, bila terdapat wanita bermasalah sudah pasti bukan nama sebenarnya adalah Suzie. (",)
p/s : GRO mungin terdapat tafsiran yang pelbagai kerana penyambu tetamu juga adalah GRO. Cuma mungkin GRO kelab malam kita kenali sebagai pelacur.
p/s : teringat kembali kisah seorang menteri yang menghalalkan kerja pelacuran kerana dharurat, yang lebih menyedihkan ialah menteri tersebut mempunyai asas-asas agama yang dipelajari di timur tengah.

Hijrahkan Akidahmu!

Meletakkan azam baru pada setiap tahun baru bukanlah satu kondisi tepat untuk dipraktikkan, azam semata-mata baik dibuang sahaja merata.

Hakikatnya tahun baru merupakan kayu ukur untuk kita menghitung prestasi kehidupan sepanjang tahun, meningkatnya umur, tahap kematangan dan tahap pemikiran bakal menjadikan tahun baru menjadi sesuatu yang lebih bermakna.

Mengambil teladan daripada hadis tentang pengkhabaran seorang sahabat kepada junjungan SAW tentang adanya seorang sahabat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah adalah bertujuan untuk mengahwini wanita di Madinah, lalu baginda SAW mengatakan (dengan mafhum) sesungguhnya setiap amalan adalah niat, apa yang diniatkan itulah yang dia dapat.

Jika penghijrahan kerana Allah SWT maka redha Allah SWT yang diperolehi, dan jika penghijrahan tersebut adalah kerana wanita tersebut, maka wanita itulah semata-mata yang dia dapat.

Penghijrahan dari buruk kepada yang baik, dari baik kepada yang lebih baik, saya tidak fikir bahawa ia adalah maksud hijrah yang sebenar, berikutan ramai yang telah menyalah tafsirkan maksud tersebut.

Hatta karana tafsiran menuju ke arah baiklah ramai yang terpesong akidahnya. Mereka sangka bahawa baik itu adalah kemajuan, lalu Islam dicicirkan, mereka sangka baik itu adalah pangkat, lalu Islam diletakkan di belakang, mereka sangka baik itu adalah darjat, lalu Islam diketepikan.

Sangkaan kita benar-benar meleset, di zaman kegoyahan akidah ini, kita seharusnya melakukan penghijrahan akidah.

Kita perlu faham bahawa akidah itu adalah membawa erti rasa beriman kepada Allah SWT, kepada RasulNya dan juga kepada kitabNya.

Jika dilihat kepada umat Islam dunia pada hari ini, keparahan mereka ditahap yang membimbangkan, ada yang bertauhidkan Allah SWT, namun tidak mengiktiraf kenabian nabi SAW bahkan tidak mengamalkan sunnah-sunnahnya. Terdapat juga segelintir daripada umat Islam pada hari ini, yang beriman kepada Allah SWT dan Nabi SAW tetapi tidak beriman dengan kitab Al-Quran yang merupakan cahaya dan hidayah. Atau terdapat dikalangan umat Islam yang beriman hanya salah satu daripadanya, atau keduanya.

Mudah bahasa meringkaskan bicara, mereka 'beriman senteng'.

Jadi bukankah itu bermaksud kita sewajibanya melakukan penghijrahan akidah?

Kerana umat Islam melakukan penghijrahan dari Mekah ke Madinah juga adalah kerana untuk melindungi akidah mereka.

WaAllahu a'alam...

Akhirnya, Pendidikan Seks Dilaksanakan.

PUTRAJAYA: Kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai Januari depan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datu Dr Julaihi Bujang, berkata pendedahan pendidikan seks itu akan diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.

“Pengetahuan mengenai pendidikan seks itu mewakili 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan,” katanya.
Julaihi berkata, enam tunjang menjadi teras pengisian pendidikan seks yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahun Satu hingga Enam mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

“Perkembangan manusia mendedahkan murid mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia, manakala perhubungan pula menjurus mengenai kasih sayang dan persahabatan. Murid turut didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa, manakala kebolehan dalam membuat keputusan menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

“Turut diberi penekanan adalah kesihatan dan tingkah laku seksual yang membicarakan amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids, manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat dan perundangan,” katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di sini.

Julaihi berkata, keputusan menjadikan pendidikan seks sebagai pengisian utama subjek Pendidikan Kesihatan diambil selepas mengambil kira maklum balas dan pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Aids Malaysia menerusi perbincangan meja bulat yang diadakan bagi memastikan kurikulum yang dibentuk memenuhi keperluan semasa pendidikan negara.

Beliau berkata, guru yang terbabit dengan pengajaran subjek berkenaan sudah diberi kursus, manakala bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid mengikutinya, tahun depan.

“Kita amat berharap ibu bapa tidak bimbang dengan perkembangan terbaru ini, malah kita sendiri akui apa saja perkara baru membabitkan dasar atau kurikulum pasti ada yang sukar menerima dan memahaminya.

“Apapun, kita yakin jika pelaksanaannya (pendidikan seks) dapat dijalankan dengan baik dan lancar, masyarakat khususnya ibu bapa pasti memberi sokongan dan kerjasama terhadap pembaharuan ini,” katanya.

sumber: Berita Harian Online
_____________________________________________

Saya tidak mampu untuk memberikan pandangan secara tepat, kerana saya tidak tahu apakah isi kandungan modul pendidikannya, InsyaAllah saya akan cuba bertanyakan kepada rakan-rakan guru untuk pengetahuan lanjut, cuma kemungkinan nama pendidikan ini adalah lebih sesuai jika dinamakan dengan Pendidikan Kesihatan.

p/s: PPSMI dimansuhkan selepas mendapat bantahan dan merugikan pihak kerajaan kerana perlu berbelanja besar. Pendidikan seks...?

Lembaran Adha.

Salam Eidul Adha diucapkan kepada semua umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya, semoga kali ini kita sama-sama mampu untuk lebih menghayati erti pengorbanan dengan mencontohi pengorbanan para nabi terutama sebuah pengorbanan penuh makna melalui kisah Nabi Ibrahim AS bersama anak baginda Nabi Ismail AS...



Dari saya, Penganalisis Minda anda...

Islam Punyai Matlamat.

Ramai yang telah memperkatakannya.

Susahnya Islam untuk berkembang adalah kerana penganutnya sendiri. Yang tidak menjaga akhlak dan kesucian hati, lalu tidak menampakkan sebarang perbezaan di antara penganut Islam dengan penganut agama yang lain samada agama-agama samawi mahupun agama-agama hissi melainkan dengan solat lima waktu.

Jika dibandingkan di antara tempat Islam diturunkan dengan tempat Islam berkembang maka perbezaannya amat memalukan.

TANAH ARAB! itulah yang saya maksudkan.

Sangat jauh berbeza akhlak bangsanya, mereka berpuak, kita juga berpuak, tetapi puak mereka jelas, jelas sekali melanggari hukum kemanusian, pergaduhan puak sehingga menyebabkan sesebuah puak yang lain terpaksa melakukan perintah berkurung untuk menyelamatkan diri, jadi pada hari tersebut mereka tidak dapat hadir ke tempat kerja masing-masing hanya kerana kesalahan yang dilakukan oleh ahli-ahli puak mereka.

Itu cerita puak, belum lagi dicampur aduk dengan soal ketamadunan mereka, kebersihan jauh sekali, sampah dibuang sesuka hati, merokok di dalam tempat ber "air-cond", satu kebiasaan, apatah lagi dalam berurusan, sungguh tidak menepati janji, bersumpah dengan nama Allah, adalah adat bagi mereka, tiada maksud disebaliknya.

Itu cerita di tanah arab, belum lagi di negara-negara Islam yang lain, pelbagai cerita dan kisah terkumpul dapat didengari yang begitu membusukkan nama Islam.

Jadi, apakah janji kita kepada mereka yang ingin mengenali Islam?

Jika kita kata Islam itu mengamalkan kebersihan dengan berhujah "kebersihan adalah sebahagian daripada iman" maka di eropah negara mereka jauh lebih bersih untuk dibandingkan dengan negara-negara Islam yang ada.

Jika kita menjanjikan kemajuan atas dasar Islam, maka kita lihat di Jepun jauh lebih maju dengan kelajuan keretapi mereka, bahkan penciptaan barangan kemajuan seperti elektronic adalah ciptaan mereka yang diguna pakai oleh kita.

Jika kita menjanjikan keuntungan dengan mengatakan Islam mengalakkan perniagaan dengan mencontohi Rasul Junjungan Muhammad S.A.W. maka kita lihat di Beijing mereka lebih hebat dalam perniagaan, bahkan negara mereka menjadi pusat pemborongan utama dunia.

Melihat kepada beberapa perkara sebegini maka hampir sahaja goyah keimanan anak-anak muda kita kerana dilihat seolah-olah seperti tiada keistimewaan dalam agama Islam.

Namun setelah puas meneliti dalam-dalam, kita akan jumpa apa sebenarnya Islam.

Merujuk kepada kes bunuh diri di Golden Bridge yang banyak membuka mata setiap daripada kita, bahkan kes yang pernah dibaca berlaku di Bandar Teknologi Akihabara, Jepun yang mana satu amukkan dengan membunuh orang awam yang melintasi kawasan tersebut telah megecohkan Negara Jepun yang terlalu popular dengan kelembutan asianya.

Lalu ditanya kepada orang mengamuk tersebut, adakah dia menghadapi tekanan kehidupan, dari keluarga, rakan-rakan, atau tekanan ekonomi diri. Jawabannya begitu mengejutkan, kesemua sangkaan tidak tepat, tetapi dengan mudah dia berkata, 'aku sudah bosan jadi orang baik'.

SubhanAllah, Islam sungguh cantik, kita punya sebab untuk melakukan sesuatu, untuk balasan dari Allah SWT, kita hidup untuk Allah SWT, sesungguhnya ibadah kita, perbuatan kita, hidup kita dan mati kita hanyalah untuk Allah SWT tuhan yang satu.

Kesilapan kita dalam menunjukkan akhlak sebagai seorang muslim memang satu kesilapan yang besar. Ia harus diperbaiki. Alangkah baiknya jika kita punya keduanya, akhirat dengan matlamat hidup kita, dengan dunia yang disebarkan dengan ketamadunan.

WaAllahu a'alam.

Islamic Fashion? Wujudkah Fashion Disisi Agama?

Salam sejahtera kepada semua semoga rahmat dan inayah Allah SWT sentiasa memayungi kita hendaknya.

Berita dan isu yang mungkin sudah seminggu lebih memasuki ruang udara Internet melalui laman sosial dan blog-blog ialah pandangan dalam isu Islamic Fashion.

Sehingga kini hampir saja beberapa orang sahabat yang meminta saya untuk menulis tentangnya di blog rasmi ini. Bukannya saya tidak mahu menulis, tetapi tanpa tulisan saya sekalipun masyarakat awam pasti ada pandangan yang negatif terhadap Islamic Fashion ini.

Mana tidaknya, lihat sahaja kepada gambar-gambar yang disebarkan melalui dada laman internet sudah pasti memberi kepada kita 1001 percanggahan minda.

Tidak perlu untuk diulas lebih jauh, TIDAK TUTUP AURAT, muktamad bukanlah pakaian disisi Islam apatah lagi untuk ber 'fashion' kannya.

Penghinaan tetap penghinaan, saya juga dimaklumkan bahawa IFF ini sebenarnya sudah sekian lama berlangsung dan merupakan acara tahunan, cuma baru-baru ini sahaja keadaannya agak melampau dengan rekaan pakaian yang semakin meluat untuk dilihat.

Apa yang dibimbangkan ialah:

1- Masyarakat dunia akan terkeliru dan beranggapan bahawa itulah merupakan antara pakaian-pakaian Islam.

2- Penghinaan kerana penaungnya merupakan orang yang beragama Islam yang PASTI mengetahui bahawa ia bukan rekaan pakaian bagi Islam.

Apa yang pelik pula ialah:

1- Mengapa sibuk untuk ber 'fashion' kan pakaian Islam, saya ulang semula ISLAM, kita tahu Islam adalah agama dan bukannya bangsa. Persoalannya ialah wujudkah 'fashion' bagi sesebuah agama?

2- Saya juga hairan kerana agama lain tidak pernah sibuk untuk menonjolkan 'fashion' mereka, dan saya yakin, tiada 'fashion' disisi mana-mana agama. JADI MENGAPA ORANG ISLAM SIBUK BERMEGAH MEREKA-REKA PAKAIAN KEMUDIAN MENDAKWA IA ADALAH FASHION ISLAM?

Saya tidak nampak bezanya antara rekaan fashion yang ditonjolkan dalam IFF tersebut berbanding dengan acara-acara fashion yang lain, cuma direka sehingga menjolok mata lalu ditambah sedikit tulisan-tulisan arab, sungguh mengelirukan.

Ringkasnya cuma satu, TIADA FASHION DISISI AGAMA, jubah, bajukurung, cheongsam, kurta, atau apa sahaja pakaian yang menutup aurat, ia sudah cukup untuk dibuat beribadah kepada Allah SWT. Persembahkan diri kepadaNya dengan 'fashion-fashion' hati yang murni kerana Imanlah yang membezakan antara kita, bukannya pakaian.

Binasalah tangan-tangan mereka yang berniat untuk merangcang dan terlibat sama-sama untuk melakukan kecelaruan dikalangan umat Islam.

Allah membantu hambanya yang berusaha mencari hidayahNya, bagi mereka yang menadah hidayah tanpa usaha, janjinya belum pasti.

WaAllahu a'alam...

Arabisasi.

Salam sejahtera, doakan perlindungan Allah SWT merahmati dan memayungi semua.

Jika selama ini aku hanya sekadar dengar dari mulut-mulut manusia yang berkata tentang bangsa arab, sekarang pancarannya tepat ke muka sendiri.

SubhanAllah, dengan perangai dan akhlak yang ditonjolkan jelas sekali sukar untuk aku tenung kembali kepayahan rasul junjungan Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam di bumi syams ini.

Kewujudan kata ada berbunyi "jika Islam itu turun di muka bumi Malaysia, pasti semua manusia di muka bumi masuk Islam". Sangkaan itu mungkin tepat, tapi hati kecil ini menghasut dengan membenarkan kata-kata tersebut tetapi, mengecualikan bangsa arab untuk menerima Islam.

Ya, andai kata Islam turun di Malaysia mungkin satu dunia mudah menerima Islam, kecuali bangsa arab. Bukan sengaja untuk mengecualikan bangsa arab, namun lihat sahaja bagaimana akhlak dan bi'ah mereka, tidak dinafikan ada yang baik, tetapi bilangannya kecil sahaja.

Lihat sahaja pada majlis rasmi mereka, perjumpaan antara pelajar-pelajar bersama dengan Ketua Universiti (Naib Canselor), ROSAK, MUKTAMAD!!! Aku terfikir, sebab itulah universiti di negara-negara arab tidak ada konvokesyen, tidak ada juga MPP.

Kata-kata ini mungkin untuk menggambarkan betapa sopan santunnya rakyat Malaysia dalam memelihara agama. Akhlak yang digambarkan oleh pelajar Malaysia di negara-negara arab amat membanggakan bahkan mendapat pujian. Mana tidaknya, sebab bangsa mereka sendiri pun tidak sesopan pelajar Malaysia.

Bangsa arab badwi (kawasan pendalaman) pun ada berkata, "aku ingat selama aku hidup inilah Islam, tetapi rupanya aku jumpa Islam yang sebenar dengan melihat kepada pelajar Malaysia".

Syukran, terlalu tinggi pujian itu, Malaysia tidaklah sehebat mana, ada juga yang luntur akhlaknya, mungkin yang datang menemui mereka di sini adalah yang baik-baik belaka atau mungkin kerana akhlak kita jauh lebih baik dari mereka.

Mana tidaknya, ketika saat 'Doktor Jamiah' mereka yang hadir ke Malaysia dan memuji bangunan dan kemajuan Malaysia di hadapan pelajar-pelajar arab, hanya segelintir sahaja yang mempercayainya, selebihnya tidak.

Bayangkan, pujian itu datang dari seorang yang berpangkat Doktor falsafah dan orang arab sendiri, namun mereka masih tidak percaya. Saat itu kisah bagaimana Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA membenarkan kata-kata Rasul SAW dalam peristiwa Isra' Mikraj perjalanan yang sangat jauh dalam masa satu malam membuatkan aku kagum kepada Saidina Abu Bakar RA yang begitu mudah mempercayainya, layaklah Allah SWT membenarkannya gelaran As-Siddiq.

Namun tidak dapat dinafikan, cucukan demi cucukan dari musuh Islam yang ingin merosakkan Islam melalui bangsa arab dilihat berjaya kerana arab terpengaruh dengannya, namun musuh Islam terlupa, selepas zaman kejatuhan Islam pada zaman Umaiyah, Islam dibangunkan semula oleh mereka yang bukan berbangsa arab antaranya adalah ulama-ulama feqh.

Allahu rabbi, kepayahan dakwah Rasulullah SAW kini kurasai.

Pada penulisan akan datang, saya akan buat satu perbandingan akhlak. WaAllahu a'alam...

Bersambung...

KuSujud di Bumi Syams...

Salam sejahtera, didoakan rahmat dan barakah Allah SWT melindungi dan memayungi kita semua, diberi kekuatan Iman dan Istiqomah, kekuatan Jiwa dan Kesihatan untuk terus menjalankan kerja-kerja suruhan mengikut kehendak Allah SWT.

Alhamdulillah, menjejaki bumi syams semestinya keinginan semua, merasai kegersangan padang pasir dan melalui liku-liku kerikil batu dan ribut pasir yang pasti memberikan kita sejenak waktu untuk berfikir kerana itulah antara aturan Allah SWT kepada hambaNya.

Merasai kehebatan Junjungan Nabi SAW yang berjaya menyebarkan akidah Allah SWT kepada umatnya melalui sebuah kaum dan bangsa yang sungguh aku rasa penat untuk memikirkan karenahnya. Apatah lagi berjalan melalui padang pasir yang gersang ditambah lagi jika berpuasa, keterikan panah mentari, kepayahan memijaknya.

Allahumma Solli 'Ala Muhammad...

Mengalir air mata terharu diizinkan Allah SWT untuk sujud dibumi Syams, bumi barakah, medan pertempuran bercucuran darah para syuhada', bangsa pertama menerima Islam, wangian makam syuhada'...

Sujud di bumi Syams, memberi seribu permulaan, erti persediaan, memulakan kesediaan untuk menyambung dakwah, dan memberi sumbangan kepada umat Islam sebagai timbal balik selepas dipilih dan diizinkan Allah SWT untuk terus sujud di bumi Syams.

Namun, kelembapan internet di bumi ini membuatkan aku berhenti menaip setakat ini.

Pertemuan Yang Dinanti.

Lailatul Qadr, terbaik sehingga ganjaran pahala menyamai 1000 bulan...

Ada riwayat mengatakan Lailatul Qadr dapat dirasa seperti terdapat satu 'nur' yakni cahaya yang dapat dilihat sepanjang malam, ada juga riwayat yang mengatakan bahawa dilihat pepohon rebah ke bumi seperti sujud, terdapat juga riwayat yang mengatakan bahawa seperti bisikan suara malaikat ke telinga. Maka itulah pertemuan dengan Lailatul Qadr.

Begitulah indahnya Lailatul Qadr, doa diterima bahkan pahala amalan menyamai 1000 bulan.

Namun, tidak mengalami situasi di atas, bukan bermakna tidak berjaya 'menjumpai' Lailatul Qadr, seperti mana hidayah yang datang diturunkan Allah SWT kepada hambaNya dengan cara yang berbeza, begitulah juga caranya Allah SWT menemukan Lailatul Qadr kepada hambaNya. Lailatul Qadr dapat dirasa, bukan berjaga malam semata untuk melihat kerebahan pepohon tunduk sujud, melihat cahaya terang-benderang di satu sudut, atau apa sahaja bentuk fizikal yang lain.

Memang fitrah manusia suka mengagumi sesuatu dengan melihat, dirasakan pelik maka itulah kekaguman mereka, berbentuk fizikal. Sedangkan ia mesti dirasa, dengan hati yang penuh kesungguhan, ikhlas mencari dan meredhai akan ketetapan Allah SWT dalam menemukan Lailatul Qadr pada hambaNya, dengan penuh ketundukan dan keyakinan bahawa dia telah merasai Lailatul Qadr.

Dalam riwayat lain dikemukakan bahwa di zaman Bani Israil terdapat seorang laki-laki yang beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukan selama seribu bulan. Maka Allah menurunkan surah Al-Qadr yang menegaskan bahwa satu malam Lailatul Qadr lebih baik daripada amal 1000 bulan Bani Isra'il tersebut. (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Mujahid.)

Payahnya nak bentuk Saf.

MAAF, penulisan kali ini agak sempoi...
___________________________________________

Alahai muslim Malaysia, susah betul nak ikut arahan tok Imam ni, luruskan saf, rapatkan barisan dan penuhkan barisan di hadapan.

Saya ingat lagi waktu darjah enam, latihan menjadi Imam di sekolah rendah mahupun sekolah agama, bergilir-gilir dengan rakan-rakan untuk menjadi Imam. Satu masa saya terdengar seorang ustaz berkata. "nak jadi Imam bukanlah semudah yang disangka, hati perlu ikhlas dan penuh tawaduk, kalau makmum tidak berdiri dengan betul bahkan tidak mewujudkan satu saf yang sempurna maka Imam yang akan mendapat dosa".

DOSA?

Lalu ada sorang murid ni bertanya, "habis tu ustaz, macam mana nak jadi Imam? Makmum dah la ramai, habis dosa Imam tanggung sorang"

Ustaz jawab, "sebab tu Imam perlu bagi arahan sebelum memulakan solat, bayangkan seperti kita ini adalah satu rombongan untuk menghadap yang maha Agong, kalau kita nak jumpa menteri pun ada protokolnya, apatah lagi menghadap Allah pencipta yang maha Esa"...

owh... patutlah Imam perlu bagi arahan sebelum memulakan solat.

Tapi yang saya x fahamnya ialah sampai sekarang masih terdapat segelintir umat Islam di Malaysia khususnya yang masih 'SEGAN' untuk merapatkan saf, bersentuhan bahu. Apa busuk sangat ke makmum di sebelah tu? barangkali sendawanya bau durian kot, atau minyak wanginya yang terlalu kuat menusuk hidung.

Apatah lagi apabila saf menjadi lompong apabila sorang makmum keluar dari saf mungkin kerana terbatal wuduk, lagi payah nak tengok makmum lain hendak merapatkan saf, takut beg duit, handset, spek mata yang di atas lantai kat depan tu nanti beralih ke makmum sebelah, jadi dia pun kaku buat x tahu seperti berpura-pura jahil untuk merapatkan saf yang lompong...

Tertanya-tanya, apasal orang sebelah x nak gerak ni? patutnya dia lah yang rapat ke aku, ke aku yang kena rapat kat dia? orang kat belakang kot yang kena masuk ke depan.

Bercakap sorang diri, solat x khusyuk, tahu-tahu Imam dah rukuk, sujud, last-last bagi salam.

Haaaaa... sampai habis solat pun saf tu lompong.

Pernah gak sekali tu kebetulan orang sebelah kiri saya yang keluar dari saf, saya pun rapat ke kiri, sebabnya Imam berada di sebelah kiri saya, tapi orang yang di kanan saya x gerak-gerak untuk merapatkan saf, lama sangat tunggu saya pun tarik r dia perlahan-perlahan, degil betul nak rapat ke kiri, kaki macam dah melekat kat lantai, sedih rasanya, 'pemalu' sangat nak rapatkan saf.

Apa mungkin sesetengah dari kalangan kita fikir bahawa saf perlu di rapatkan ke kanan, sedangkan saf perlu dirapatkan ke arah Imam. saf di bentuk dari tengah, oleh itu kita harus rapat ke tengah, dalam erti kata lain Imam seperti magnet, menarik kita untuk ke tengah, tidak kira ke kiri mahupun ke kanan, kita harus rapatkan saf ke 'tengah', rapat ke arah Imam.

ada satu kes lagi...

Kadang-kadang masuk ke saf baru selepas bangun dari sujud atau duduk di antara dua sujud saf akan jadi sedikit longgar, yang ni lah ramai orang yang buat tak tahu, tak mahu rapatkan saf, sebagai contoh mudahnya ada kelonggaran di sebelah kiri dalam 7cm dan di sebelah kanan dalam 3cm, Imam pula di sebelah kanan, dan sepatutunya dia merapatkan saf ke kana, tapi apa yang saya peliknya dia bergerak ke kiri, kononnya untuk bagi 'balance' kanan 5cm dan kiri pun 5cm... aduyai... lawak-lawak...

hai... apa sudah jadi? apa lagi yang perlu dilakukan? orang kita masih segan-silu ni, nak di sepak dah tua, nak di tegur kang marah pula.

Sama-samalah kita ingat-mengingatkan, tetapi sebelum itu analisis diri kita dulu, adakah kita tergolong dalam makmum yang jahil? atau makmun yang berilmu.

Benarlah bahawa 'menuntut ilmu sesaat lebih baik dari beribadah berpuluh-puluh tahun', maknanya, apabila kita ibadah tanpa ilmu, jahil, dibimbangi kita tidak mendapat pahala ibadah tersebut.

Dibimbangi pahala jemaah tidak dapat walaupun secara fizikalnya kita solat beramai-ramai...

Sekarang ini musim ramadhan, musim jemaah yang ramai, apa kata anda pergi sendiri ke mana-mana surau dan masjid, dan saksikanlah sendiri...

WaAllahua'alam...

Cahaya Hidayah.

Salam sejahtera, salam ramadhan, salam amalan.

Sekadar makluman manja, saya baru sahaja sihat setelah sakit beberapa hari lepas. "Puncanya sakit tekak, tonsil bengkak sebab kurang air, naik satu badan lenguh-lenguh dan demam dengan suhu yang ringan", kata doktor Aisyah yang merawat saya. Dikesempatan itu juga saya mengmbil rehat yang secukupnya, tidak menerima sebarang jemputan, duduk dirumah guling-guling keresahan dan kadang-kadang sedikit sakit hendak menelan. Jangan tergelak, kalau anda pun mungkin juga begitu. Mungkin DIA suruh saya rehatkan diri, jangan terlalu seibuk-sibuk, waktu berlepas hampir dekat. SubhanAllah maha suci Allah, merehatkan hambaNya dengan menarik sedikir dari kesihatan.

Seperti yang dijanjikan pada penulisan yang bertajuk Jejak Hidayah saya akan berkongsikan sebuah lagi kisah mengenai pasangan 'liar' suami isteri yang menerima hidayah dari Allah SWT melalui keanehan pada anak mereka yang berusia empat tahun.

(MAAF, CERITA INI AGAK PANJANG, KALAU MALAS BACA, TUTUP SAJA)

Kebetulan sewaku tuan badan menceritakan kepada seorang ustaz, saya ada dan turut memasang telinga mendengarnya. Dia cuba meminta kesahihan daripada ustaz tersebut dan saya tidak berkata apa-apa, memang saya pendengar yang baik.

Satu pagi, anak dia yang berusia empat tahun bangun dari tidur dan seperti kebiasaan akan diberi sarapan, sarapan awalnya sudah tentu susu.

Tiba-tiba susu yang diminum diluih dari mulut dan anak dia menangis. Menangis-nangis mengatakan sesuatu, Ibunya kehairanan bertanya, kenapa? Anak dia menjawab "susu ni tak sedap, nak susu syurga".

Hal ini sangat pelik, hampir seminggu anak dia tidak boleh menyentuh makanan dirumah mahupun di luar, biarpun lapar, anak dia rela menangis mahukan "makanan syurga", katanya. Jika di makan pasti muntah.

Ibunya memujuk, membelai dan bertanya kepada anaknya, apa yang telah berlaku, dan diminta diceritakan kepada ibu dan bapa mereka. Apakan anak kecil sudah rasa makanan syurga? mana pula tahu perkataan syurga, ibubapanya pun tidak pernah bercerita mengenainya, umur pun baru empat tahun, memang aneh, bahkan anak mereka tahu selok-belok syurga.

Mengikut apa yang diceritakan ibunya, anaknya beritahu bahawa dia di bawa oleh seseorang (mungkin anak dia bermimpi) ke syurga, diberi makan dan minum, di bawa bersiar-siar, melihat sungai dan minum air sungai tersebut. (tidak silap saya, susu yang mengalir seperti sungai)

Anaknya cerita serba-serbi tentang syurga, dia boleh cerita kembali tempat-tempat yang di bawa 'orang' tersebut, sungai yang mengalir, kedudukan telaga, keadaan taman, keenakan minuman dan makanan dan semua ceritanya juga disahihkan oleh ustaz tersebut sebagai 'memang tepat'. Seperti yang pernah dibaca dikitab berkaitan cerita syurga dan neraka.

Rupa-rupanya ustaz ini bukan ustaz yang pertama ibu ini ceritakan untuk minta kesahihan apa yang anaknya ceritakan, sudah banyak ustaz yang dia jumpa, memang semua sahkan sama seperti apa yang terkandung di dalam kitab-kitab yang menceritakan tentang syurga dan neraka.

Mengapa hal ini terjadi kepada anak pasangan ibubapa ini? bila diselidik, mereka akui mereka memang 'bermasalah' dengan RABB mereka. Seminggu itupun setelah mereka insaf, jika tidak, mungkin berbulan lamanya anak mereka tidak boleh menyentuh makanan dan minuman 'dunia'. Mana tidaknya, bukannya ada jual 'makanan syurga' di sini.

SubhanAllah, mahasuci Allah SWT yang menerima taubat dan memberi hidayah kepada hambaNya dengan pelbagai.

Apapun, cerita ini bukanlah penting kepada kita, yang penting, mereka sudah, kita bila lagi? analisa diri dulu, kita penunggu hidayah, atau pencari hidayah?

Jawapannya, tiada pada saya seorang.

tetapi saya dan anda perlu memikirkannya.

Inilah Masanya!

Buah Kurma Kini Kembali Banyak Di Malaysia, KERANA RAMADHAN.


Salam sejahtera, salam puasa dan salam amalan.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Ramadhan Al-Mubarak. Inilah masanya, bulan yang penuh dengan kehebatan gandaan pahala dan ganjaran yang tidak mungkin akan diperolehi di bulan-bulan lain. Ini masanya, untuk kita mengambil kesempatan untuk berubah, jika dulu segan untuk solat berjemaah, kini alasannya sudah ada. Jika dulu segan untuk bersedekah, berzakat, menyucikan harta, kini alasannya sudah ada. Jika dulu segan untuk berhenti melakukan kekotoran dan maksiat kerana bimbang di perli rakan, kini sudah ada alasannya.

Alasannya mudah, KERANA RAMADHAN!

RAMADHAN AL-MUBARAK!

aku mula solat berjemaah kerana Ramadhan.

aku mula bersedekah, berzakat, tidak kedekut, kerana Ramadhan.

aku mula tidak melakukan maksiat, melakukan kekotoran di muka bumi Allah SWT, tanpa rasuah, kemungkaran dan kekejian, kerana Ramadhan.

Tidak ada lagi rasa segan-silu, lakukan sahaja, mereka faham kerana adanya Ramadhan.

Ramadhan mampu merubah kita, hanya kita yang perlu istiqomah. Benar-benar ingin dan mahu untuk berubah, menanti hidayah Allah SWT, dan mencari ketenangan jiwa, tanpa kegusaran. Hanya mencari redha Allah SWT.

Didoakan juga tiada kes-kes zina yang bakal menyaksikan pencalitan kesucian Ramadhan, tanpa tangkapan, tanpa anak luar nikah.

Agar Ramadhan kali ini, Ramadhan yang bebas bukan sahaja dari syaitan yang telah dibelengu dan diikat, tetapi juga bebas dari kesyaitanan manusia zalim dan songsang fikrahnya, juga songsang fitrahnya.

Allahumma Amennn...


Sila klik kanan, copy dan lakukan catitan peribadi anda.

Nikah Awal, Tepat atau Tidak?

Salam sejahtera didoa rahmat dan inayah Allah SWT melimpahi kita semua hendaknya. Dua perkara yang ingin saya utamakan sebelum saya memulakan penulisan kali ini:

1- Jika dikatakan pada penulisan yang lalu saya ingin berkongsikan sebuah lagi cerita berkaitan hidayah yang dikurnia Allah SWT kepada ibubapa melalui anak kesayangan mereka. Cerita ini saya akan kongsikan pada penulisan yang akan datang kerana keutamaan diberikan pada tajuk penulisan kali ini. Ingatkan saya jika saya terlupa.

2- Baru-baru ini terdapat dua tajuk yang menarik untuk diulas kerana sesuai dengan suasana yang melanda Malaysia masa kini. Pertamanya ialah kebenaran kepada Mahasiswa Malaysia untuk menjadi ahli politik. Melalui rancangan yang saya lihat dikaca siaran tv3 dalam rancangan Soal Jawab, kedua-dua ahli panel mempunyai hujah yang menarik dan logik dari aspek penilaian mereka berdasarkan pengalaman sebagai T.Menteri Pengajian Tinggi juga Naib Canselor UiTM.

Setakat ini saya masih tidak berminat untuk mengulas dan berpandangan dalam isu politik, apapun daripada pengamatan saya tetap bersangkakan bahawa kebenaran untuk Mahasiswa Malaysia Berpolitik pasti 'ada udang disebalik batu'. Dan yang kedua ialah mengenai:

Anak Luar Nikah

yang kian bertambah jumlahnya di negara Malaysia. Istilah anak luar nikah bermaksud anak yang dilahirkan oleh penganut agama Islam atau mudah dikenali sebagai anak zina.

Ada orang kata, ramainya anak luar nikah di negara Malaysia kerana mereka ini tidak nikah, jadi kita perlu nikahkan mereka.

Astaghfirullahal 'Azim...

Saya beristighfar panjang kerana kenyataan yang jahil ini. Begitu mudah spekulasinya mengenai sebab kebanjiran anak luar nikah di Malaysia.

Namun begitu saya juga memuji kerajaan negeri Melaka yang berpendapat membenarkan lelaki di bawah umur 18 tahun dan perempuan di bawah umur 16 tahun untuk bernikah awal demi mengelakkan masalah kebanjiran anak luar nikah di negara umat Islam ini. Saya ada satu sangkaan buruk terhadap cadangan ini, tetapi saya tidak ingin nyatakan kerana ia hanyalah satu sangkaan buruk, perkara buruk tidak elok untuk dikongsikan. Harap Maaf!!!

Walaupun idea ini kurang tepat sekurang-kurangnya Melaka ada juga memikirkan jalan penyelesaian untuk rakyat mereka. Saya tidak mahu menghujah mereka kerana keputusan mereka turut mendapat sokongan Mufti, atas hujah apa itu saya tidak pasti. Saya menghormati ahli agamawan mereka.

Iklan: kampung saya juga di Melaka.

Tetapi saya ingin betanya kembali kepada rakyat Malaysia, apakah anak luar nikah ini ramai yang dilahirkan oleh kalangan mereka yang berada di bawah umur? Atau sama sahaja jumlahnya dengan mereka yang berada di tahap umur tamat sekolah?

Jawapannya ada pada akhbar-akhbar tempatan.

Ingat! Pernikahan adalah satu tanggungjawab dan bukannya sebagai lesen untuk bermain seks. Jika itu yang terjadi maka perceraian juga boleh jadi sebegitu mudah dan awal. Soal sahaja pada remaja terlanjur yang berada dirumah-rumah perlindungan, benarkah mereka terlanjur sebab tidak dapat nikah awal? atau ada sebab lain?

Saya akui kesusahan untuk bernikah sama ada kerana belanja yang tinggi ataupun tidak direstui antara yang menjadi punca penzinaan, tetapi kesnya kecil, kebiasaan mereka yang tidak direstui atau susah untuk bernikah pasti akan lari ke siam. Ironinya susah untuk mendengar jawapan kepada alasan berzina kerana

"susah nikah bang"
"nak nikah mak tak bagi bang sebab tengah sekolah"

sebaliknya punca utama mereka berzina ialah kerana

"seronok r bang tengok dalam video buat, kami pun nak buat gak"
"mula-mula nak cuba je bang, lama-lama macam ketagih pula"
"saya kena rogol bang, pastu kena buang dengan keluarga, jadi alang-alang dah kena buang baik saya main-main seks je bang"
"boring r bang, mula-mula teman lelaki ajak tidur rumah, pastu dia ajak tengok video lucah sama-sama, lepas tu kami try r bang"
"nak cuba 'senjata' dulu bang, nanti baru tahu dah boleh kahwin ke tak, takut nanti isteri lari pula"

dan macam-macam lagi.

Apapun remaja kita semakin berada dilapisan tahap bahaya, pendedahan mereka pada dunia seks terlalu luas dengan internet, video, kecanggihan telefon bimbit dan sebagainya. Namun perlu juga kita tahu bahawa keluasan mereka pada ilmu agama amat tipis sekali menyebabkan dunia tanpa sempadan tidak seimbang dengan penerimaan jiwa remaja zaman kini.

Mudahnya adalah hukuman, bukankah setiap kesilapan dan kesalahan itu perlu disusuli dengan hukuman supaya lebih terdidik dan menerima pengajaran? Gubal sahaja Akta Kesalahan Jenayah, jatuhkan hukuman pada mereka yang melakukan seks bebas. Bukan dengan mewujudkan sekolah untuk remaja yang terlanjur atau rumah perlindungan untuk anak-anak zina.

Tiada lain hanya hukuman sahaja yang pasti dapat mengurangkan kebanjiran anak zina di Negara Malaysia.

HUKUM lah mereka sebelum mereka mencaci kita kerana tidak mengajar dan memperingatkan mereka atau sebelum azab Allah SWT yang lebih besar akan menimpa kita.

"Daripada ibnu Abbas r.a bersabda Rasulullah s.a.w: Jika jelas akan penzinaan dan riba pada sesebuah perkampungan itu, maka sesungguhnya halallah pada diri mereka itu akan azab Allah".

Hadis riwayat al-Hakim

Jejak Hidayah

Salam sejahtera,

Saya berniat untuk berkongsikan cerita disebalik hidayah. Bukannya hidayah pada nama manusia, tetapi hidayah dari Allah SWT untuk merubah diri.

Telah banyak kisah yang saya dengar disebalik berubahnya seseorang insan yang bernama manusia kerana bertuahnya mereka mendapat hidayah dari Allah SWT. Apakah kita belum mendapat hidayah? WaAllahu a'alam...

Sebenarnya mungkin ada tetapi kita tidak sedar kehadiran hidayah tersebut.

Silap dan rugilah pada mereka yang menunggu hidayah sebaliknya tidak mencari hidayah tersebut. Ramai yang mengaku hendak merubah, meluahkan perasaan ingin berubah, ada rasa untuk berubah, menjadi lebih baik, tetapi usahanya tiada. Maknanya dia hanya menantikan hidayah dan bukan mencari hidayah.

Baru-baru ini terdapat sebuah penceritaan hidayah yang sampai ke telinga saya. Al-kisahnya terjadi hampir sebulan yang lalu, ibu kepada sahabat saya juga merupakan seorang pengetua di sebuah sekolah menengah telah meninggal dunia kerana kemalangan. Dijadikan cerita sebelum berakhirnya sesi persekolahan pada hari itu pengetua tersebut telah memanggil tiga pelajar yang dicop 'nakal' oleh pihak sekolah untuk ditarbiah. Bahasa pelajar, membebel...

Kebetulan cerita ini diceritakan oleh pengarah pelajaran negeri yang mana anak buahnya merupakan salah seorang pelajar diantara tiga pelajar yang dipanggil terbabit.

Sebelum kemalangan pada hari tersebut pengetua ada berpesan:

"Ini kali terakhir saya memarahi kamu, dan saya memarahi kamu kerana saya sayangkan kamu"

Memang benar, itulah marah tarbiah yang terakhir daripada seorang pengetua kepada ketiga-tiga pelajar terpilih itu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Berita ini benar-benar mengejutkan ketiga-tiga pelajar terbabit dan mereka tergamam apabila mendengar berita kematian pengetua yang suka memarahi mereka apatah lagi kata-kata terakhir daripada pengetua tersebut yang masih terngiang-ngiang di kepala telinga mereka.

Tetapi kejadian terbabit telah merubah perangai mereka bertiga, menjadi pelajar yang lebih berdisiplin, mudahan berkekalan. Terkorbannya seorang pengetua menyedarkan tiga pelajarnya yang boleh dikatakan 'nakal'.

Inilah akibatnya menunggu hidayah, mereka yang menunggu hidayah beerti menunggu pengorbanan nyawa seseorang dan adakalanya belum tentu lagi berubah apabila orang yang disayangi terkorban. Berbanding mereka yang mencari hidayah memerlukan pengorbanan jiwa dan raga, fizikal dan mental, terus ikhlas mencari keredhaan Allah SWT dan hidayahnya.

Allah SWT berfirman:

...Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpinpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.
Al-kahfi:17

Pada penulisan akan datang saya kongsikan sebuah lagi cerita hidayah yang diterima oleh kedua ibubapa yang 'teruk' hanya melalui kejadian aneh pada anak kesayangannya yang berusia empat tahun.

Untuk akhirnya, soalkan pada jiwa anda, apakah analisa anda? Anda menunggu hidayah atau mencari hidayah?

Hanya kerana Hari Kelahiran.

Setiap tahun kita akan meraikan hari kelahiran masing-masing sama ada secara majlis ataupun sekadar mengingatinya. Kecuali bagi mereka yang lahir pada tarikh 29 februari tahun lompat. Kemungkinan mereka ini lebih galak untuk menyambutnya mengikut tarikh kelahiran Islam.

Namun sedar atau tidak hari tersebut tidak mampu untuk memberikan janji kepada tahap kematangan individu, muda ataupun tua tarikh tersebut bukanlah penentunya.

Sebaliknya tempoh dan jenis pengajaran yang diterima menjadi ukuran sebenar kepada kematangan seseorang individu.

Umur yang lanjut juga belum tentu dapat mematangkan diri. Bahkan adakalanya yang muda lebih matang berbanding yang tua.

Perkara ini kita boleh lihat melalui pergaulan kita sesama rakan samada rakan sebaya mahupun bukan.

Sheikh 'Aid al-Qarni dalam bukunya bertajuk 'Begini Zaman Memotivasikan Kita' ada menyebut, elakkan daripada jumpa rakan yang apabila bertemu suka sangat menunjukkan kehebatan masing-masing kerana dibimbangi timbul rasa hati yang tidak disenangi.

Benar, adakalanya kita tidak suka pada sesetengah sikap rakan kita. Saya berpendapat bahawa itu semua adalah lumrah, mengapa perlu mengeluh? Ia harus ditempa walaupun sakit. Apa yang perlu adalah bersedia menghadapi atau kurangkan sahaja pertemuan.

Mereka lempar batu kita ambil dan jadikan hiasan aquarium.

Mereka lempar najis kita ambil dan jadikan baja.

Berbalik kepada hari kelahiran, saya sengaja menulis kerana ia bersempena hari kelahiran saya yang semestinya makin meningkat dewasa. Mana tidaknya

Emak saya bertanya, hari lahir yang keberapa ye?
Saya menjawab, hari lahir yang ke ***
Reaksi emak saya, haaa... dah boleh kahwin...

Saya tersengih panjang. Bergurau barangkali.

Abah pula sponsor kek, dah lama tak makan kek katanya.

Saya menjemput anak-anak jiran meraikan, bayangkan, majlis sambutan hari lahir 'baby tua'

Segan rasanya, namun yang dijemput tidak ambil peduli, habis kek di makannya.

Walaupun majlis tersebut bersempena hari kelahiran saya, namun tidak lebih dari itu saya hanya menganggap bahawa ia seperti majlis makan dan menjamu untuk ceriakan kanak-kanak sambil mengeratkan lagi hubungan kejiranan.

Cuma apa yang saya ingin kongsikan ialah, semasa sambutan tersebut berlangsung terlintas di fikiran saya mengenai kepantasan masa yang berlalu membuatkan saya teringat dengan zaman ketika saya adalah seorang kanak-kanak, yang mana tidak disangka-sangka saya adalah sebegini keadaannya kini.

Keadaan di mana bebanan kian terasa, bebanan yang makin hari dirasa meningkat, bebanan menyeru kepada keteguhan ummah, dan ketinggian Islam.

Apakah anda juga rasa seperti apa yang saya rasakan kini?

Aku dan Kau Hanyalah Seorang Hamba!

Salam sejahtera kepada sahabat pembaca dan pengunjung sekalian.

Peristiwa Isra' Mikraj banyak memberi kita maksud di sebalik significant pada setiap perkara yang berlaku, pelbagai tafsiran dan maksud yang dikehadapankan oleh ahli agamawan untuk menyampaikan kepada kita setiap pengajaran yang pastinya tidak akan ditinggalkan walau sejarak zarah.

Antaranya adalah mengingatkan kita sebagai hamba Allah SWT.

Disaat manusia kini terkeliru diantara tanggungjawab kejadian sebagai khalifah ataupun hamba, kita perlu mengingatkan diri bahawa keduanya adalah tanggungjawab yang perlu dipikul.

Menyampaikan dakwah, agama Allah SWT, sunnah Nabi SAW dengan menyeru kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran maka kita telah berusaha untuk menjadi khalifah yang soleh, namun begitu adakalanya keasyikan kita sebagai khalifah akan mula goyah tanpa rasa kehambaan kita kepada Allah SWT. Puncanya keikhlasan mula dipertikai, semangat kian pudar, mengejar ganjaran dan melupakan mereka yang susah.

Ingatlah, hanya dengan mengingatkan diri sebagai hamba Allah SWT sahajalah yang akan membuatkan kita tunduk dengan penuh tawaduk dan istiqomah dalam beriman dan beramal.

Pada pengetahuan anda, apakah hebat sangat seorang hamba ini? Jika dilihat ketika kewujudan penggunaan hamba zaman dahulu kala, hendak dicerita pasal seorang hamba tidak dapat di zahirkan dengan kata-kata akan kepayahannya dalam kehidupan. Berkhidmat seumur hidup hanya kepada arahan tuan semata-mata.

Tetapi inagtlah, betapa Allah memuliakan hambaNya. Firman Allah SWT:

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan HAMBA-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Surah Al-Israa' : 1

Lihatlah, bagaimana seorang hamba di perjalankan oleh Allah SWT untuk dipertemukan dengan kejadian-kejadian yang penuh peristiwa dan diakhirkan dengan tanggungjawab.
Apakah ia? tentu sekali solat. Solat diwajibkan ke atas seorang hamba, mereka yang meninggalkan solat beerti mereka alpha bahawa mereka adalah hamba. Allah SWT tidak mengatakan KHALIFAH di dalam ayat ini, tetapi Allah SWT mengatakan HAMBA

Berdasarkan kisah Sultan Ahmad pada kurun ke-17, beliau telah meletakkan satu palang melintang di pintu masjid yang menjadi tempat persinggahannya setiap waktu untuk menunaikan solat, tujuannya adalah supaya apabila beliau yang hadir dengan menunggang kuda sampai dipalang tersebut, beliau akan turun dari kudanya dan berjalan kaki masuk ke dalam masjid, ini adalah kerana untuk mengingatkan bahawa beliau adalah hamba.

Ironinya, hari ini ramai diantara kita yang alpha dan lalai adalah kerana kita lupa bahawa kita adalah hamba Allah SWT. Seperti kisah Sultan Ahmad ini, kita perlu mencari satu cara untuk mengingatkan diri kita sebagai hamba Allah SWT, supaya setiap gerak-geri kita akan terkawal dan penuh tawaduk dan bersikap soleh.

Kita rasa diri kita tidak cukup sempurna? Kita hanyalah hamba.
Kita rasa diri kita sudah cukup hebat? Kita hanyalah hamba.
Kita fikir tiada siapa yang lebih berkuasa dari kita? Kita hanyalah hamba.
Ingatlah bahawa kita hanyalah seorang hamba. Kita malu apabila dikatakan hamba cinta, kita malu apabila dikatakan hamba kereta, kita malu untuk digelar hamba harta dan dunia, tetapi hakikatnya kita tidak pernah malu untuk digelar hamba kepada Allah SWT. Jadi apakah yang membuatkan kita untuk tidak mengingatkan diri sebagai hamba Allah SWT. Tiada alasan.

WaAllahu a'alam...

Kenali Pemikir Kanan dan Kiri.



Salam sejahtera kepada semua pengunjung blog penganalisis minda. Semoga sihat pada masanya. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Kerana adakalanya kita perlu terluka atau rasa sedikit demam, selsema atau batuk kerana ia merupakan kifarah dosa. Itu tandanya Allah sayangkan kita, untuk mencuci sedikit dosa-dosa kecil yang terkumpul dalam roh supaya lebih tersusun rohaninya. Bila difikir-fikir kembali, jika terlalu lama tidak demam rasa lain macam pula, macam ada yang tidak kena. Bimbang Allah sudah tidak hirau akan kita lagi... Mudahan setiap perkara yang berlaku kita menjumpai hikmahnya... Amin...

Baik, merujuk kepada penulisan lepas dan selesainya kursus panjang yang diikuti, maka seperti yang dijanjikan untuk saya berkongsikan sedikit ilmu yang saya pelajari dan mungkin ada segelintir di antara kita yang telah mengetahuinya.

Sebenarnya banyak cara dan kaedah untuk kita mengenali bagaimana cara individu tertentu berfikir, sama ada menggunakan otak kiri mahupun otak kanan.

Salah satunya adalah melalui mata, contohnya ketika soalan yang diutarakan kepada anda, adalah perlu untuk anda melihat mata mereka yang bertanya, perhatikan gerakan iris matanya menghala ke kiri ataupun ke kanan.

Kerana iris yang menghala ke kanan ataupun ke kiri ketika individu sedang bercakap membantu kita untuk menjadi pendengar terbaik, kerana apa?

Kerana kita dapat pastikan apa yang dikatakan itu adalah rekaan mahupun hakikat. Apapun, ketika kita ditanya janganlah terlalu takut untuk melihat mata mereka yang betanya kerana di situ terletak banyak faedahnya, iris yang menoleh ke kiri bererti dominan percakapannya adalah hasil daripada otak kanan, begitu juga sebaliknya.


Iris mata dikatakan banyak membantu dalam mengenal pasti carta pemikiran seseorang

Selain itu pergerakan tangan dan kakinya juga membantu sedikit sebanyak dalam da'ie untuk mengenal pasti pemikiran mereka yang bertanya diluahkan melalui isi kiri mahupun kanan.

Oleh itu, biasakan untuk kita mendengar soalan dan jangan terlalu awal untuk mencantas soalan tanpa sebab, kerana soalan itu terdapat dalam 3 keadaan.

1. soalan yang cuba untuk menguji penceramah.
2. soalan yang logik dan memerlukan jawapan yang logik.
3. soalan yang kreatif dan memerlukan jawapan yang kreatif.

Untuk itu, banyakkan pengalaman dalam mendengar soalan-soalan supaya kematangan menjawap soalan dari kita lebih bijak dalam mengatur susur kata agar jawapan untuk soalan yang dikemukakan adalah tepat dan memuaskan.

Ada seorang individu bertanya, apakah kita yang tentukan hidup kita dan bukannya Allah, kita yang berusaha dan hasilnya adalah kerana usaha kita...

Jawapan ini mungkin tidak tepat, tetapi individu tersebut bertanya menggunakan otak kreatif beliau. Lalu jawapannya begini:

Pagi tadi saudara ada membuang air besar?

ADA.

Pukul berapa?

PUKUL 8.

Baik, kalau begitu apakata saudara ambil sehelai kertas dan tuliskan, pagi tadi pukul 8 pagi saudara telah membuang air besar, kemudian tuliskan bahawa pukul 9 nanti saudara akan membuang air besar sekali lagi. Boleh?

WaAllahu a'alam...

Pemikir Kanan dan Kiri



Salam sejahtera didoakan rahmat Allah melindungi sekalian sahabat dengan rasa syukur atas nikmat Allah SWT.

Pertamanya ingin saya ucapkan ribuan kemafaan berikutan kesibukan masa dan kekangan untuk memperolehi kemudahan komputer dan internet membuatkan mutakhir ini saya tidak sempat untuk menulis sedikit perkongsian ilmu.

Namun atas kesempatan yang sebentar ini saya mengambil kepantasan yang mungkin untuk berkongsi kepada anda semua sedikit tips yang difikirkan perlu. Sukalah saya maklumkan kepada anda semua bahawa saya tidak dapat menulis dan mengisi perkongsian untuk laman ini sehingga ‘kursus’ panjang yang sedang saya ikuti tamat yang mana dijangkakan pada pertengahan bulan julai ini.

_____________________________________________


Pernah satu ketika dahulu isu soal jawab agama yang mengelirukan telah menyebabkan ramai yang cuba larikan diri untuk mendalami ilmu agama. Adapun beberapa sikap golongan agamawan Malaysia yang suka mencantas soalan-soalan dari mereka yang serba ingin mengetahui secara langsung telah membuatkan fikiran mereka kusut dan terbantut dengan soalan-soalan yang tidak terjawab. Akhirnya, amalan feqh kehidupan termasuklah halal dan haramnya pun dilanggar sebegitu sahaja.

Benar. Segelintir orang Islam kini suka bertanyakan soalan-soalan yang adakalanya tidak masuk dek akal. Bertanyakan mengenai hukum-hakam dan zat-zat Allah yang memungkinkan mereka akan mendapat dosa yang besar apabila mempersoalkannya. Ada juga mereka yang suka bertanya soalan secara bertubi-tubi dan berkali-kali seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh ahli agamawan Islam seolah-olah seperti mahu golongan agamawan ini memberitahu bahawa perbuatan mereka yang bertanya ini adalah halal walau pada hakikatnya ia adalah haram.

Akhirnya satu kes yang saya dengar baru-baru ini terdapat seorang mahasiswa yang menyatakan kekecewaan untuk mendalami ilmu Islam kerana soalannya banyak dicantas oleh ahli agamawan.

Baik, dalam menjawab soalan dari mereka yang suka bertanya, perkara utama yang kita ada semestinya ilmu dan semua maklum mengenainya. Tetapi ilmu semata-mata juga tidak membantu dalam urusan dakwah kerana MENJAWAB SOALAN SECARA TEPAT dan MEMUASKAN merupakan kelebihan para da’ie.

Dalam menjawab secara tepat dan mampu memuaskan hati mereka yang bertanya perkara utama yang perlu ditentukan ialah kenal pasti otak mana yang digunakan mereka ketika bertanyakan soalan tersebut. Jika mereka bertanya menggunakan otak kreatif maka kita sebagai ahli agamawan juga perlu menjawab secara kreatif. Dan jika mereka bertanya menggunakan otak logik maka jawapan yang tepat juga perlu melalui ilmu dan logik.

Ini kerana mereka yang berfikir secara kreatif lebih suka mendengar jawapan secara kreatif, tidak seperti mereka yang berfikir secara logik dan hakikat, golongan kreatif ini agak berat untuk menerima jawapan secara logik akal yang tinggi bahasanya seperti mengeluarkan hujah hadis dan al-quran. Bukanlah saya mengatakan tidak perlu hujah hadith dan Al-Quran, Cuma saya bermaksudkan bahawa melihat kepada ’thinking level’ mad’u merupakan perkara yang utama dan perlulah diteliti berat sebelum memberi jawapan.

Mereka yang bertanya menggunakan otak kreatif ini perlu diberi jawapan secara kreatif sebelum dikuatkan dengan hujah dari Al-Quran dan Hadith. Hal ini saya pelajari daripada satu kisah dan keadaan.

Dijadikan cerita terdapat seorang ustaz yang tidak kurang popularitinya di media itu dan ini, beliau suka memberi contoh-contoh lawak di dalam ceramahnya, jika didengar pasti tidak kering gusi. Pada satu masa ustaz tersebut dijemput untuk berceramah pada golongan terpelajar iaitu staf di sebuah IPT tempatan. Lawak demi lawak yang dikaitkan ustaz ini dalam hujahnya mengejutkan saya apabila terdapat hampir 20 peratus dikalangan pendengar TIDUR... Aiseh, tak lawak ke cerita ustaz ni...?

Lalu seorang lagi penceramah yang tidak kurang hebatnya yang apabila berceramah di surau pasti akan membuatkan orang hampir terlena kerana ’kelembutan’ suaranya dalam berceramah. Namun apabila berceramah kepada staf tersebut dan walaupun dalam intonasi yang perlahan ia tetap membuatkan mereka khusyuk mendengar kerana Ilmunya tepat dengan tahap pemikiran mereka.

Lihat! Maka inilah yang saya maksudkan dengan melihat kepada carta pemikiran dan penggunaan otak kiri dan kanan mereka yang bertanya.

Bagaimana mengenal pastinya? Saya akan berikan contoh pada penulisan akan datang. Bagaimanapun saya memohon jutaan kemaafan berikutan kekangan masa menghalang saya untuk bebas menulis dengan penuh tenang.

WaAllahua’alam...

Sehingga bertemu pada penulisan akan datang. Wassalam...
(Saya mohon doa saudara untuk keselamatan diri saya dilindungi Allah SWT. Amen...)

Teorinya kemas, praktikal bagaimana?

KUALA LUMPUR: Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan.

Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.
Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Ketika ini, kebanyakan sekolah, terutama sekolah di bandar, mengalami masalah kepadatan kelas sehingga ada yang melebihi 40 murid, menyebabkan guru menanggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid yang berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan.

“Berdasarkan cadangan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah mengatasi masalah kepadatan bilik darjah supaya mencapai jumlah ideal 25 pelajar, termasuk menambah bilangan kelas di sekolah. Jika dilaksanakan, kementerian juga perlu menambah guru.

“Bagaimanapun secara prinsip, persetujuan sudah dicapai dalam jawatankuasa itu supaya setiap cadangan disokong dengan fakta saintifik yang bernas bersama anggaran kos supaya dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan,” katanya semalam.
Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.

Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.



Sumber itu berkata, 40 cadangan yang disenaraikan selepas beberapa siri mesyuarat adalah hasil penelitian mendalam dan semakan semula terhadap beberapa kajian utama yang pernah dijalankan mengenai beban tugas guru sebelum ini, termasuk Laporan Tan Sri Abdul Rahman Arshad pada 1997.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian daripada saranan dicadangkan oleh pertubuhan perguruan yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan, di samping pemantauan dan hasil soal selidik dengan guru peringkat akar umbi.

Katanya, satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.

Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’

Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.

sumber: beritaharian online...

Ini Bukan yang Pertama!



Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menghebahkan bahawa kerajaan Malaysia baru sahaja meluluskan lesen judi untuk bola sepak. Mengikut pengamatan saya tiada akhbar yang memaparkan tindakan kerajaan ini. Apa yang hendak dihairankan, ini bukannya lesen pertama untuk aktiviti haram di sisi Islam yang diluluskan oleh pihak kerajaan.

Arak, judi, semuanya sudah.

Walaupun pelbagai bantahan dilakukan namun ia tidak memberi sebarang kesan kerana ia merupakan keputusan kabinet. Cuma, amat mengecewakan kerana ia diluluskan oleh sebuah negara yang menerajui negara-negara Islam yang lain (OIC).

Saya akui kelemahan diri yang mana hanya mampu untuk membenci dengan lisan (menceritakan keburukan kepada masyarakat) tangan (menulis di sini), dan hati (tidak sama-sama berjudi)...

Anda bagaimana?...

Jawatan Dari Maha Agung...

Semalam merupakan hari indah bagi mereka yang telah menyusun hebat tentatif kehidupan harian mereka. Segala amalan akan tertulis berikutan jiwa-jiwa mereka yang memandu diri untuk melakukan kebaikan dan kejahilan yang disengajakan.

Apatah lagi mereka ini sememangnya hidup berpandu kepada arah keduniaan kerana bimbang jauh ketingalan berbanding dengan manusia sekeliling. Pendek kata, hari ini kita terlalu mengejar hak dan pengiktirafan manusia. Akhirnya kita sedikit terpesong dengan beberapa niat yang mungkin pada mulanya ikhlas namun dicucuk sedikit rasa sesal dan seolah-olah menyalahkan diri sendiri dan takdir berikutan implikasi yang diduga tidak sama seperti implikasi hakikat yang dirasa.

Hendak dikisahkan baru-baru ini seorang pelajar yang baru pulang dari luar negara bertanyakan satu soalan yang membuatkan saya ternganga. Tempoh pengajian beliau tidak pula ditanya kerana tergamamkan soalannya. Apa yang diceritakan beliau di 'ia' kan sahaja tanpa sebarang bantahan bahkan hanya mengangguk menandakan diri sebagai pendengar yang terbaik juga cuba memupuk emosi beliau untuk terus bercerita dengan memastikan dirinya selesa dan rapat untuk menceritakan tanpa sebarang hijab yang menyebulungi rasa malu untuk meluahkan sesuatu.

Yakin dan percaya masih ada benda yang ingin ditanya dengan 'lebih' berdasarkan nada dan emosi beliau, akhirnya berjaya dihurai hanya dengan menggunakan psikologi emosi untuk beliau lebih senang meluahkan sesuatu.

Soalannya mudah? Maksudnya mudah diluah, namun sukar untuk memberi kata jawab yang tepat. "Macam mana nak hidup?"

Tergamam bukan?...

Benar, ramai graduan yang tidak mendapat sponsor untuk belajar di luar negara menghadapi sedikit kesukaran untuk memulakan langkah membina kerjaya di Negara sendiri kerana caranya sungguh fleksible...

Bergantung kepada jiwa dan perasaan yang dibina, soalan ini mungkin menunjukkan bahawa beliau seperti meminta-minta dan tidak mahu untuk memulakan langkah dari bawah. Benar, selain akhirat, dunia juga merupakan tuntutan untuk kita memegang watak hamba Allah, bahkan dunia juga merupakan stesen untuk mengumpul markah-markah serimbun yang mungkin untuk diterima amalan hingga menjadi tiket ke syurga.

Namun dunia bukanlah segala-galanya, tetapi ia merupakan segalanya.

Apapun soalan itu hanya didiamkan dan meminta untuk beliau berfikir sendiri apakah jawapan yang sesuai untuk dirinya, kerana nyawa dan nafas diberi dengan takdir dan susunan Ilahi. Maka lamunan yang terbuai dibias dengan nikmat yang dirasa untuk sebuah nilai kemanusian. Dari itu datangnya rembesan nafsi-nafsi yang pasti mendukacitakan pada sesiapa yang terlutut dipadang lapang hanya kerana mengalah dan menyalah.



Mudahnya, panduan yang dicari bukan sebulat hakiki, perlu ada keyakinan diri dan bertindak mengikut rohani, gunakan otak seni dan logik untuk membina sikap, kerana mereka yang menggunakan otak seni semata-mata mempunyai dua kemungkinan, jika dia menemui jalan baik, dia akan baik sungguh-sungguh, tetapi jika dia bersikap jahil maka jahilnya juga adalah bersungguh-sungguh. Maka jawatan dari Allah jualah merupakan jawatan yang tidak membolehkan anda 'resign' sesuka hati, melainkan...

Innalillahi wa innailaihi roji'un...

Kesilapan Yang Membawa Kepada Kematian.

Shah Alam: Aminulrasyid, 15, dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 Shah Alam.

Sehubungan itu Kementerian Dalam Negeri menubuhkan satu panel khas bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati polis, awal pagi semalam di Seksyen 11, Shah Alam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata panel khas itu akan diketuai oleh Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop, bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan menentukan siapa yang bersalah dalam insiden.

"Masih terlalu awal untuk menentukan siapa salah dan siapa yang betul, biarkan kami membuat siasatan dahulu, siasatan bersandarkan prinsip kebenaran bagi mengelakkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat, terutama yang membabitkan kes tindakan polis," katanya.

Justeru, beliau meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi dan tuduhan melulu hingga mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pihak dan individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap kejadian itu termasuk menjadikannya isu politik sehingga mengelirukan orang ramai.

Dalam masa yang sama Norsiah Mohamad, ibu kepada Aminulrasyid Amzah, remaja yang ditembak mati awal pagi semalam ketika didakwa cuba melanggar beberapa anggota polis, meminta supaya allahyarham anaknya tidak digelar penyamun atau penjenayah kerana beliau lebih mengenali siapa sebenarnya anaknya itu.

"Sebagai ibu yang melahirkan dan membesarkannya saya sangat terluka dan mohon supaya jangan gelarkan arwah anak saya sebegitu rupa. Tidak adil menuduh anak saya sebegitu tanpa pengesahan," katanya kepada pemberita di rumahnya ketika dikunjungi Menteri Pertanian dan Indusri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, hari ini.

Di sebalik penemuan parang oleh polis dalam kereta dipandu Aminulrasyid, kakaknya, Nor Azura Amzah, 39, berkata adiknya itu mungkin panik selepas melihat rakannya lari daripada kereta dinaiki mereka.

Noh pula berkata, beliau akan membangkitkan isu kematian remaja itu dalam mesyuarat Kabinet esok bagi meminta supaya polis menjalankan siasatan kes itu secara adil.

Beliau berkata, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, sendiri telah memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara terperinci dan tidak akan melindungi pihak yang terbabit.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, berkata Umno negeri sedia membantu termasuk dalam memberikan khidmat guaman terbaik kepada keluarga itu jika diperlukan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pula meminta agar siasatan polis dilakukan dengan jujur dan telus dalam usaha mengenal pasti perkara sebenar yang berlaku.

Beliau juga berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, Rodziah Ismail, akan memantau keadaan sebelum mengambil langkah yang sepatutnya berhubung kebajikan keluarga itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata: "Polis hanya boleh menembak apabila nyawa mereka sendiri terancam atau apabila nyawa orang awam terancam (sedangkan) di dalam kereta tidak ada walau sebilah senjata seperti yang didakwa polis sebelum ini".

Bercakap pada sidang media yang sama, Yaakub Sapari, Exco Kerajaan Selangor yang juga Adun Kota Anggerik turut menyuarakan rasa kecewa dengan insiden yang membabitkan rakyat di Dun beliau.

Sumber: Bernama, Berita harian, http://networkedblogs.com.

__________________________________

Pada Pendapat anda apakah Menteri Pelajaran Malaysia juga perlu mengambil berat akan kes ini? Saya berpendapat YA!!!...

Kerana Sepotong Alasan

Salam sejahtera didoakan kita semua berada di bawah rahmat dan lindungan Allah SWT hendaknya...

Minggu ini khutbah Jumaat di kawasan saya membincangkan mengenai tajuk 'Jaga Tepi Kain Orang'. Sebuah ulasan yang mantap buat mereka yang khusyuk mendengar dan mungkin tiada kesan buat mereka yang terlentok tunduk untuk menunjukkan betapa tawaduknya mereka...

Tertarik dengan pepatah melayu ini ingin saya ingatkan diri saya dan anda mengenai salah faham terhadap istilah ini, terdapat segelintir masyarakat yang menyalahkan penggunaan pepatah 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Mereka beranggapan bahawa istilah ini tidak boleh diguna pakai berikutan sikap masyarakat yang semakin rosak keutuhan dalam hidup bermasyarakat kerana sikap tiada tegur-menegur dan mengambil endah tidak endah dengan keadaan sekeliling menyebabkan berlakunya kes-kes seperti dera dan zina berikutan memegang teguh pada pepatah ini.

Saya berpendapat bahawa pepatah ini tidak salah. Orang dahulu menggunakan istilah ini untuk mengelakkan umpatan dan fitnah. Dahulu waktu sosial isi rumah terutama wanita akan berkelompok dan bersembang-sembang lalu mengungkit hal-hal rumah tangga orang dan menimbulkan fitnah, lalu istilah ini mungkin lahir berikutan kisah umpatan mereka yang tidak sudah.

Saya beri contoh A menghadapi masalah rumah tangga, lalu B yang berjiran dengan A akan menyebarkan berita ini sesama jiran tetangga yang lain dan mereka akan mengumpat. Lalu kawan mereka yang C pun berkata 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Maksudnya istilah ini amat sesuai supaya kelompok tersebut tidak meneruskan hasrat mereka untuk mengumpat kerana mengumpat ini pasti akan mendatangkan tokoh-tambah dalam cerita yang sebenar, lalu cerita dari B lain, sampai telinga C jadi cerita lain, sampai telinga D jadi cerita lain dan seterusnya. Jadi istilah ini amat sesuai buat mereka 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Itu orang dahulu-kala, tetapi orang zaman sekarang gunakan pepatah ini untuk beralasan supaya tidak menyibuk dalam hal-hal masyarakat. Mana mungkin hal-hal kezaliman pun kita hendak gunakan pepatah tersebut. Nampak sangat kita pada masa ini hanya menggunakan pepatah tersebut semata-mata untuk beralasan agar tidak menyusahkan diri.

Kerosakan yang berlaku pada hari ini adalah akibat daripada tiada sikap tegur- menegur. Benar, semua akui perkara tersebut tetapi sejauh manakah sikap cakna yang kita ambil?. Seru kepada kebaikan maka 'mengajak' kepada kebaikan dan bukannya sekadar bercakap belakang sembang-sembang dengan jiran-jiran lain dan mengumpat. Dalam erti kata lain kita perlu tegur dan bukannya mencanang cerita hebah ke sana-sini akan keburukan tersebut.

Dua perkara penting yang Allah peringatkan kepada hambaNya ialah (1) ajak buat baik, dan (2) cegah kemungkaran.

Jadi pada waktu ini sama-sama kita tanya pada diri masing-masing adakah kita telah mengajak kepada kebaikan? Jawapannya mungkin Ya...

Cegah kemungkaran? Jawapannya mungkin tidak.

Apakah kita masih ingin beralasan dengan pepatah 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'?

Zaman sekarang kita takut untuk menegur kesilapan kerana kadang-kala masyarakat kita sendiri memberi jawapan yang tidak munasabah.

"apa kau sibuk, kau pun sama saja"

Ironinya mengajak buat baik susah bagi kita kerana kita sendiri pun tidak buat perkara yang baik, hendak cegah mungkar, kita juga yang buat mungkar. Jadi kesudahannya orang pun beranggapan bahawa amalan tegur menegur itu adalah kerja pendakwah? Siapa? Ustaz ustazahlah...

Saya tergelak sinis, sedar atau tidak kita semua adalah pendakwah. Tanya diri kita dan beritahu pada Allah apakah kita tidak pernah menegur kesilapan dalam keluarga, adik-beradik? Atau tidak pernah ke kita mengajak orang untuk berbuat baik walau sekecil zarah?

Maka kita semua memang seorang pendakwah...

"ustaz, sudah ramai ustaz, ustazah yang berceramah, dalam TV, dekat Surau, Masjid dan merata-rata tempat, mengapa masih lagi ada kerosakan pada masyarakat kita terutama remaja dan orang muda?"

Jawapannya mudah, kerana tiada amalan menyampaikan, kita dengar untuk diri kita dan tidak menyampaikan, kita belajar untuk diri kita dan tidak menympaikan, kita tahu tetapi kita buat-buat tidak tahu.

Pada pandangan anda apakah sikap itu akan membantu masyarakat kita?

Firman Allah SWT:

”Dan hendaklah di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka adalah orang-orang yang berjaya”.

Ali-Imran : 104

Saya mohon pada diri saya dan anda agar kita sama-sama berdoa untuk kesejahteraan muslim sedunia khasnya Malaysia...

Peranan Seorang Pendidik.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Menteri Perdana Negara Malaysia telah mengarahkan satu jawatankuasa untuk mengkaji tekanan terhadap kerja yang perlu dilakukan oleh guru-guru.

Guru-guru dikatakan tidak bekerja hanya sebagai pendidik malah turut dikatakan berperanan melakukan kerja-kerja pengkeranian yang pelbagai itu dan ini. Apatah lagi bagi sekolah-sekolah yang terlalu mengejar glamour dan kemasyhuran...

Dalam hal sebegini guru besar dan pengetua (kepala sekolah) berperanan tinggi dalam menangani tekanan guru terhadap kerja-kerja sebegini yang mana akhirnya seolah-olah memperjudikan nasib pelajar-pelajar yang akan terabai dari aspek pembelajaran. Mudahnya pelajar hanya diberi kerja yang banyak, lalu ditanda di dalam kelas bersama-sama pelajar dan menghukum pelajar yang tidak melakukan kerja.

Akhirnya aktiviti sedemikian akan memenuhi ruang dan masa yang diperuntukkan untuk sesi pembelajaran. Jadi di manakah letaknya sesi penerangan dari guru? Anda nilai sendiri...



Kekreatifan guru dikatakan amat penting dalam mengawal kelas pembelajaran agar ia nampak menarik dan menghasilkan suasana yang penuh minat, masalahnya (maaf berkata) tidak ramai guru-guru yang kreatif sebegini, bahkan puluhan tahun pengalaman dalam mengajar juga tidak mampu untuk menghasilkan guru-guru sebegini. Puncanya, (sensitif untuk dikatakan)

Saya pernah memasuki dunia perguruan dengan mengajar pada 3 situasi yang berbeza.

1. Pelajar pendidikan khas yang bermasalah dalam pembelajaran (kematangan berfikir tidak sama dengan umur, contohnya umur 12 tahun tetapi tahap pembelajarannya ialah untuk 9-10 tahun). Hyperaktif, pasif, disleksia termasuklah yang terencat akal.

2. Kelas perdana seperti kelas harian biasa.

3. Kelas pembelajaran agama untuk Sek. Ren Agama.

Pengalaman yang saya fikir cukup berharga sebelum memasuki dunia trainer dan consultancy. Dalam kes tekanan kerja guru saya berpendapat bahawa ia bergantung hebat kepada kepala sekolah. Salah sebuah sekolah ditempat saya mengajar cukup menyibukkan saya dengan kerja-kerja pengkeranian dan akhirnya saya akui ada masanya saya terlepas pandang untuk menumpukan penuh pada sesi pembelajaran dalam kelas (kesibukan sehingga terlupa untuk masuk ke kelas (",))



Antaranya, fail meja, fail guru, fail kelas, rekod keluar masuk kelas, rekod kehadiran pelajar, catitan bayaran dan ini tidak termasuk lagi untuk urusan program, tanda buku latihan, kretif modul pembelajaran dan aktiviti, kehadiran harian, rekod jumlah kehadiran pelajar, dan mungkin ada lagi yang tidak tersenari di sini. Ini yang menyebabkan terdapat kes yang menetapkan guru-guru sesi persekolahan petang 'punch out' pada pukul 7.00 petang. Kasihannya mereka.



Terdapat juga sekolah yang membuatkan saya cukup tenang untuk mengajar, kerja tidaklah terlalu banyak sehingga berlakunya tekanan bahkan keseronokkan mengajar membuatkan saya terasa sedih untuk meninggalkan sekolah tersebut. Tetapi saya terfikir bahawa begitulah kerja sebenar seorang guru, penumpuan penuh dapat dilakukan pada sesi pembelajaran, modul dicari untuk melakukan sedikit aktiviti bagi melahirkan susana kelas yang menyeronokkan sehingga meninggalkan kesan pada diri pelajar untuk tidak melupakan kelas tersebut.

Dari aspek yang lain kita sedar akan beberapa kepentingan tertentu, contohnya terdapat sebuah sekolah yang terlalu mengejar glamour sehingga guru-guru dipaksa untuk memikirkan caranya untuk mempromosikan sekolah. Pelik tetapi inilah hakikat yang berlaku pada sesetengah sekolah di Negara Satu Malaysia malah terdapat segelintir guru-guru yang terpaksa memikirkan cara dan urusan bagi mendapatkan dana untuk sesuatu program. (Belum lagi memikirkan masalah disiplin pelajar)

Jika dinilai semula, di sinilah juga bermulanya peranan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). PIBG yang sebenar bukan sekadar hadir meeting dan memberi pendapat dan memohon kelulusan untuk membenarkan anak-anak mengikuti program tambahan anjuran pihak sekolah. Bahkan jika benar terdapat sekolah-sekolah yang ingin mendapatkan tempat dan nama di mata negara kerja-kerja sebegini seharusnya dibantu oleh pihak PIBG dan mungkin turut dibantu oleh alumnai sekolah. Jika kerja-kerja pencarian dana, urusan program pun dilakukan guru maka jangan marahlah kalau anak-anak kita terabai.



Sepakat membawa berkat. Orang tua-tua dulu memang pandai berkata-kata kerana zaman dahulu ibu bapa turut membantu guru-guru menangani masalah anak-anak, kalau palajar ponteng sekolah ibubapa yang hukum, tidaklah pening untuk guru-guru memikirkan masalah disiplin pelajar.

Kini guru-guru tidak sahaja dibebankan oleh masalah pelajar, pengurusan sekolah malah masalah ibubapa juga tidak terkecuali termasuklah campurtangan mereka yang adakalanya memberi tekanan kepada guru-guru. Kes ibubapa tampar guru? banyak yang berlaku tetapi disunyikan, lalu berlakulah dendam, 'anak kau diabaikan'. Pada pandangan anda mungkin atau tidak hal sebegini akan berlaku?



Sedihnya, anak-anak akan terkapai-kapai mencari arah dan jalan hidup sedangkan kita pula masih terus berkelahi sesama sendiri yang akhirnya akan merugikan bangsa kita sendiri.

"Lantaklah anak cucu aku, aku dah mati nanti pandai-pandailah mereka hidup"

Andai semuanya berfikir sebegini, logiklah zaman kemusnahan dan bala akan berlaku.

Sama-samalah kita mohon perlindungan dan rahmat dari Allah SWT, mengapa perlu sombong dan angkuh dengan Allah? sedangkan mendidik, mengajar, memelihara anak-anak dan remaja perlu disertakan bantuan dan pertolongan dari Allah SWT.

"Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang"

Surah Yusuf : 64

Berpakat untuk Berpecah!

Maklum balas yang saya dapat daripada penulisan lalu membuatkan saya sedikit terkilan. Ada yang mengatakan bahawa bahasa dan perkataan tersebut tidak patut saya siarkan melalui blogspot ini kerana ia memberikan gambaran negatif kepada blogspot saya berikutan bahasanya yang kurang elok untuk dibaca dan didengar.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada yang sudi memberi maklum balas dan pandangan. Namun pada saya setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza. Cuma persoalan yang bermain di fikiran saya ialah mengapa sensitif terhadap penulisan saya sebaliknya tidak sensitif kepada mereka yang mengamalkan kata-kata sepeti itu. Ini hanya kajian bebas dan tidak memaksa sesiapa untuk menerima keputusan kajian ini bulat-bulat. Jika benar anda sensitif, tegurlah anak-anak dan remaja-remaja kita bermula daripada mereka yang hampir dengan kita.

Apa pun penulisan kali ini saya ingin memfokuskan berdasarkan tajuk di atas. Baru-baru ini sebuah artikel daripada majalah Islam telah tertulis mengenai perpecahan dikalangan umat Islam kini seperti satu pakatan. Saya ulang ayat tersebut iaitu seperti satu PAKATAN.

Maknanya perpecahan ini seperti satu rancangan dan seolah-olah kita sememangnya berpakat untuk berpecah. Mana tidaknya, apa yang terjadi hari berjalan sungguh lancar, ada sahaja asbab yang menjadi kepada perpecahan dan perbalahan antara kita.



Dalam buku penulisan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni 'beginilah zaman memotivasikan kita' mengingatkan kita bahawa perpecahan dan kacau bilau dan sifat tidak senang dikalangan kita adalah disebabkan setiap daripada kita telah melanggar ketertiban dan peraturan yang telah ditetapkan di dalam kehidupan terutama dari Allah Taala.

Jadikan renungan dan istiqomahlah dalam amalan.

Wallahu A'alam.

Bahasa Pasar @ Kasar?

Salam sejahtera dan didoakan moga kita berada di bawah Rahmat Allah Taala hendaknya.

Pertamanya saya mohon jutaan kemaafan kerana berbahasa 'kurang enak' pada penulisan kali ini, semuanya adalah untuk memberi faham kepada pembaca sekalian.
_________________________________________________________________

Baru-baru ini kajian yang dilakukan terhadap sekumpulan kanak-kanak dan remaja menunjukkan bahawa 65% pertuturan harian mereka adalah berunsurkan negatif, sama ada pertuturan lisan atau tanpa lisan termasuklah kata-kata kesat, kurang elok atau isyarat-isyarat lucah juga sembang-sembang yang berkaitan perkara negatif. Apa yang membimbangkan peratusan ini semakin meningkat pada setiap kali tambahan sampel kajian dilakukan. Sampel kajian di ambil sekitar kawasan perumahan kos rendah, kawasan rumah terancang dan teres, anak-anak kawasan elit dan juga kawasan perkampungan.

Negatif tidak semestinya lucah, namun jika pertuturan tersebut tidak berunsur lucah sekalipun ia tetap mengandungi unsur negatif, contohnya perkataan 'gila'.

Ada yang menjadikan GILA sebagai satu simbolik sebagai membawa maksud 'bersangatan'. Contoh ayat: "Best gila", "sejuk gila".

Jadi macam mana kalau tiba-tiba hendak memuji seseorang yang hebat?
"FUh... ko ni memang gila lah".

Sekali pandang macam orang tu gila, tetapi mungkin tidak berniat untuk mengatakan orang itu gila, cuma hendak tunjukkan kesangatan bahawa orang itu banar-benar hebat.

Ayat-ayat ni memang popular ketika zaman saya sekolah dahulu, tetapi tidak ramai yang berbahasa begini berbanding masa kini yang puratanya digunakan oleh remaja.

Macam mana pula dengan 'sial'?

Tentu anda pernah dengar ayat-ayat ini:
"Boring sial", "hebat sial", "sakit sial".

Ayat ini pun menunjukkan kesangatan pada sifat-sifat tersebut, tetapi NEGATIF.

Sewaktu saya duduk melepak dengan sekumpulan remaja, ada sesuatu yang menggelikan hati saya, hendak dijadikan cerita ketika duduk bersembang di bibir taman permainan tiba-tiba sekumpulan remaja wanita sedang melintas jalan dihadapan kami. Tanpa diduga salah seorang remaja yang bersama-sama saya tadi berkata "awek tu cun sial".

Dah tu semua remaja lelaki yang bersama saya tadi manyambung-mennyambung perkataan tersebut "cun sial", "cun sial", "cun sial".
Lepas seorang-seorang yang menyebut perkataan itu.

Lalu terdetik di hati saya dengan monolog "kesiannya awek-awek tu, cun memang cun tetapi sial"...

Agak-agaknya kalau 40 orang yang berkata sial, silap-silap jadi betul awek-awek tu sial.

Na'uzubillah min Zaalik...

(jadi awek-awek sekalian, sila-silalah tutup aurat tu sebelum ada yang memuji anda 'sial' (",) )

Sesungguhanya perkataan-perkataan sebegini sememangnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada orang lain, merangsang emosi seterusnya mungkin boleh menyebabkan berlakunya pertelingkahan dan pergaduhan.

Suka untuk saya mengingatkan kembali untuk sama-sama kita memperbetulkan 'life setting' tentang kaitan pertuturan dan emosi atau bahasa mudah kita 'perasaan'.

Dalam babak-babak marah kita selalu dengar ayat 'aku pun ada hati dan persaan!'

Kata orang-orang tua pula "kerana mulut badan binasa"

Kena sangatlah tu, pertuturan dan emosi memang berkaitan. Tidak kiralah sama ada pertuturan lisan atau bukan lisan. Memang sah 'makhluk' jenis ini melahirkan emosi.

Lihat saja pada pergaduhan yang terjadi semestinya berlaku kerana makhluk ini. Lirik-lirik mata sahaja sudah boleh menyebabkan pergaduhan, tidak silap saya 'pandang 'slack'' (macam mana eja slack pun saya kurang pasti). Aksi ini dan kata-kata negatif sebegini sudah semestinya boleh mencetuskan pergaduhan terutama di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang berdarah panas.

Oelh itu kebijaksanaan ketika berkata-berkata sememangnya menjadi keutamaan sepanjang kita bersosial. Saya ingin menyampaikan maksud penulisan ini melalui sebuah kisah raja di timur tengah.

Raja tersebut bermimpi bahawa giginya tercabut satu demi satu sehinggalah habis. Raja yang ketakutan tadi memanggil ahli nujum diRaja untuk menafsirkan mimpinya. Ahli nujum pun berkata "berita buruk tuanku, tuanku akan kehilangan semua ahli keluarga tuanku seorang demi seorang sehinggalah habis dan tuanku akan hidup keseorangan"

Dengar sahaja kata-kata tersebut raja pun murka lalu menjatuhkan hukuman pancung terhadap ahli nujum tersebut. Raja masih tidak berpuas hati, dia kini memanggil ahli nujum yang lain. Setelah diceritakan raja terbabit tentang mimpinya, ahli nujum itu pun berkata "mimpi itu sebuah berita gembira buat tuanku, tuanku mempunyai umur yang panjang berbanding ahli keluarga tuanku yang lain".

Kata-kata ahli nujum tadi benar-benar menggembirakan raja tersebut lalu menghadiahkan harta yang banyak kepada ahli nujum tersebut.

Apa yang anda dapat dalam cerita ini? Tentu sekali setiap perkara yang ingin kita katakan mempunyai tujuan dan maksud tertentu, tetapi cara dan kaedah pertuturan tersebut boleh membantu anda untuk tidak merosakkan emosi ramai pihak.

Bertindak bijaklah ketika berkata-kata. Gunakan ilmu ini untuk menegur, berbicara dan memuji...

Semoga berjaya. Salam cemerlang, salam dakwah, salam amalan dan salam kasih-sayang...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...