Advanced Search

Custom Search

Followers

Air Mata Ramadhan.



Setiap tahun kita akan menanti ramadhan, masing-masing punya rasa terhadap suasana tersebut. Ada yang gembira, ada juga yang duka, mungkin kerana padanya ramadhan sama seperti bulan-bulan biasa, ada juga yang terasa biasa kerana jauh nun diperantauan.

Bagi mereka yang fakir, mungkin ia sesuatu yang menggembirakan kerana datangnya barang-barang tabarruk daripada mereka-mereka yang berkemampuan. Bagi yang baru kehilangan ahli keluarga pula mungkin akan terasa kekurangannya apabila suasana berbuka tidak lagi dipenuhi oleh individu tersebut.

Apatah lagi jika individu tersebut sangat meraikan ramadhan yang mana mungkin dialah yang baca doa ketika berbuka, atau dialah yang banyak karenah ketika berpuasa. Mungkin ia merupakan kenangan yang pasti menitiskan air mata.

Dan pasti pelbagai lagi yang akan mengingatkan kita dengan ramadhan. Pelbagai suka dan duga ketika ramadhan, ujian dengan lapar dan dahaga, bahkan ramadhan juga pasti akan menjadikan satu yang sia-sia jika tidak merebut apa yang telah dijanjikan ganjaran kepada kita daripada Allah swt.


Setiap titis air mata diharapkan punya nilai di sisi Allah swt sebagai bukti bahawa kita adalah hambaNya yang lemah serta mengharapkan perhatian dan rahmatNya.


Ada juga individu yang ingin ambil peluang untuk berubah, kerana ramadhan merupakan peluang yang sangat besar, alasan yang sangat relevan. Hakikat yang perlu kita terima ialah, MANUSIA MALU UNTUK MELAKUKAN KEBAIKAN.

Kita perlukan alasan untuk sesuatu, tidak ramai yang berani atas rasa seolah-olah diberi limpahan hidayah mainan,

”Sekejap je tue, esok lusa buat balik la tue”, persepsi manusia yang jangkal.

Itu hakikat, jadi ramadhan boleh menjadi alasan untuk menghilangkan rasa malu untuk berubah, perlahan-perlahan, serap kebaikan sedikit demi sedikit. Cuma ujiannya ialah, istiqomah dan untuk mengekalkan kebaikan.

Dan hakikat kedua ialah apabila kita cuba untuk berinteraksi dengan Allah swt, kita perlu bersendirian atau dalam istilah arab disebut berkhulwah. Suci hati, terangi peribadi, fikirkan diri.

Jika mereka bertanyakan tentang formula untuk merasakan kebaikan ramadhan ini, maka tidak lain dan tidak bukan ialah dengan menyucikan hati sebelum memasuki fatrah ramadhan. Bagaimana? Melihat kepada diri masing-masing, kerana ia tidak sama. Apa yang penting, air mata tentu akan mengalir dengan sendirinya jika kita ini benar-benar gerunkan dengan ayat-ayat Allah swt seperti firmanNya dalam surah an-Nahl [16] ayat 104:

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah (Al Quran), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka dan bagi mereka azab yang pedih.”

Semoga kita mengharapkan hidayah Allah swt datang pada ramadhan kali ini.

Firman Allah swt dalam surah al-Kahfi [18] ayat ke 17:

”Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Itu adalah sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Allah. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpinpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.”


WaAllahu a’alam…

Artikel ini turut disiarkan di laman web Ikatan Muslimin Malaysia

Mitos Pelajar Bidang Agama II



Pertama dan selamanya kita merafa'kan setinggi kesyukuran tanpa keraguan terhadap Allah swt atas segala macam bentuk nikmat yang dikurniakan kepada hambaNya. Juga selawat dan salam ke atas junjungan baginda Muhammad SAW yang menjadi perantara wahyu untuk disebarkan ke sekalian alam.

Seperti yang dikatakan pada penulisan yang lepas, saya ada menyatakan hasrat untuk menceritakan serba sedikit mengenai pengalaman dalam bidang kerjaya selaku pelajar pengajian Islam.

Ada seorang sahabat kita, dia telah mempelbagaikan kemahiran untuk tujuan dan faedah tertentu. Selain kemahiran dalam bidang pengajian Islam dia juga mahir dalam kemahiran seperti kesetiausahaan, perancangan kewangan, perancangan dan pengurusan program, protokol dan korporat, pengurusan organisasi, pelaburan antarabangsa dan juga analisa dan kajian.

Mungkin ada yang tertanya, bagaimana seorang pelajar pengajian Islam, selain ilmu agama bagaimana dia mampu mempelbagaikan kemahiran dunia?

Ini kerana sahabat kita ini suka meneliti benda-benda baru yang difikir perlu untuk maslahat. Sebagai contoh, bagaimana dia boleh ada kemahiran di pengurusan kewangan dan pemasaran. Bagaimana dia boleh terlibat, ini kerana ketika dia menyelami dunia tersebut, ia adalah pada waktu berlakunya krisis hukum-hakam mengenai pelaburan antarabangsa sekitar tahun 2009 kalau tidak silap saya.

Jadi dia telah menceburi bidang tersebut, belajar dan berkursus untuk melihat sendiri dari dalam apa itu pelaburan antarabangsa yang menjadi hangat diperkatakan halal dan haram ketika itu.


Bagi dunia korporat, dia telah menceburi dunia syarikat perundingan yang memerlukan dia berurusan dengan pelanggan-pelanggan yang pelbagai, dari sesempoi-sempoi pelanggan sehinggalah sekorporat-korporat pelanggan, antara korporat yang yang tinggi ialah projek-projek kerajaan negeri. Dalam usia yang muda dia telah diberi kepercayaan pihak syarikat untuk menjalankan projek yang bernilai lebih dari setengah juta.

Saya rasa anda pun tahu bagaimana untuk menguruskan projek yang bernilai sedemikian, tentu sekali memerlukan kepelbagaian kemahiran daripada perancangan dan pengurusan projek sehinggalah ke perancangan kewangan untuk mengecilkan kos operasi dalam masa yang sama menjaga kualiti dan kepercayaan pelanggan.

Seperti biasa, pengalaman-pengalaman sebegini membuatkan kemahiran PR dan percakapan itu sebagai suatu yang utama sekaligus melatih dia untuk lebih terkehadapan dalam dunia pengucapan dan persembahan.

Tetapi sebelum itu, dia juga ada memasuki dunia pemasaran dengan bekerja di syarikat pengaman, dan pada tahun 2008 pula telah meletup kes-kes berkaitan Multi Level Marketing (MLM) tentang halal dan haram yang membuatkan dia berminat untuk menceburi bidang tersebut untuk melihat sendiri dari dalam apa itu MLM. Bahkan pernah belajar dari sebuah syarikat MLM bagaimana untuk melakukan pemasaran yang mantap.

Jadi apakah kaitannya dengan pekerjaan seperti yang saya katakan pada penulisan lepas? Benar, yang saya maksudkan ialah bagaimana dia yang pada asalnya untuk melihat masalah-masalah hukum tentang sesuatu perkara menjadikan dia terlibat dengan perkara-perkara sebegini sekaligus memberikan kemahiran tambahan.

Kaitannya dengan dunia pekerjaan?

Ada, ketika di dunia kewangan dia pernah ditawarkan pekerjaan sebagai Eksekutif Pelaburan Antarabangsa yang menawarkan gaji lumayan serendah 100K perperson, tapi kerana pembahagian komisen yang tidak jelas menyebabkan dia tidak menerima jawatan tersebut, lagipun niat dia hanya untuk melihat dan mempelajari sebelum boleh mengeluarkan hukum-hakam Islam. Dia juga pernah ditawarkan jawatan sebagai jurucakap produk MLM dengan gaji yang boleh mencecah 3K, ditolak kerana bagaimana seorang pelajar agama akan mengajak orang untuk ber-MLM, ya, memang tidak semua MLM haram, tapi MLM syarikat yang menawarkan pekerjaan tersebut ada unsur-unsur syubhah dengan hukum dan unsur Money-Game.

Kesimpulannya, dunia kewangan memang menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan.

Dia tidak pernah menerima tawaran yang berkaitan bidang pelajaran dia ke...?

Ada, dia pernah ditawarkan untuk menjadi pegawai agama (Syarie) dan Imam di Australia, kerana Imam itu hanyalah sebahagian kerja, tetapi fokus utama adalah pegawai Syarie yang akan menguruskan program kemasyarakatan setempat, tetapi dia tolak atas sebab tertentu.

Dia juga ada mendapat tawaran untuk megurus dan menjadi tenaga pengajar di sebuah Pondok Moden di Pattani, tetapi juga menolak atas sebab-sebab tertentu.

Ketika di tahun 3 pengajian di IPT pula, semester 4 menyebabkan dia perlu mengambil subjek undang-undang, mungkin ada yang sangka dia pelajar undang-undang, lalu terdapat individu yang menawarkan kerja sebagai pem. guaman di firma guaman ayahnya.

Itu tawaran yang ditolak, ada juga tawaran pekerjaan yang diterima, walaupun gajinya tidak seberapa, tetapi kepuasan itu lebih utama. Dia telah memulakan langkah kerjaya sebagai perunding, selepas itu memperkasakan kemahiran sosial dengan menjadi guru kepada pelajar-pelajar kurang normal, kemudian beralih kepada pelajar-pelajar normal. Selain bekerja di bidang pemasaran, seterusnya dunia rundingan dan korporat, dan juga dunia kajian dan analisa ketika menjadi penyelidik di syarikat perunding.

Seronoknya berada di dunia perunding, pengalaman berjumpa dengan manusia yang pelbagai, peringkat umur, taraf darjat dan pangkat, bangsa dan agama, bahkan kemahiran berkomunikasi juga berbeza dan ini turut memberikan kemahiran dan pengalaman yang boleh dinilai sebagai emas.

Selepas SPM dahulu, dia pernah bekerja di kilang membuat speaker, itu menyebabkan dia punyai kemahiran dalam elektronik, malah di IPT dulu dia juga merupakan antara techno yang bertugas, lalu diasah lagi kemahiran berkaitan dengan bekerja di syarikat pengurusan program, bukan sahaja bahagian pengurusan pentas, bahkan turut membantu di bahagian eletrik juga susunan dan kekemasan P.A system yang memberikan 1st impression kepada pelanggan.

Dan selebihnya merupakan kemahiran yang dipelajari ketika bepersatuan. Ya, mungkin ramai lagi di luar sana terdapat lagi individu seperti dia, sebagai pelajar bidang agama selain memahirkan diri, kita perlu juga menyelami bidang-bidang tertentu sebelum memberi hujah agama.

Telah ramai orang dia bertemu untuk pelbagai ilmu yang dipelajari, pelbagai bangsa dan agama, jika hendak diberi penghargaan, mungkin tidak mampu dengan jumlah guru yang begitu ramai. Bahkan ramai tokoh kepimpinan negara dan tokoh berkaitan yang berpeluang ditemui sepanjang tempoh itu.

dan mungkin, kemahiran sosial juga memberikan peranan, mampu untuk menanamkan keyakinan masyarakat terhadap kita.

Pendek kata, Ilmu agama adalah asas, syariat Allah yang perlu tahu, tetapi masalah pekerjaan adalah sunnatullah yang mana konsepnya siapa usaha, dia dapat.

Lihat contoh kepada orang bukan Islam, mengapa mereka berjaya di dunia? Kerana hukum dunia memang begitu, siapa usaha, dia dapat. Jadi janganlah kita selaku pelajar agama hanya memfokuskan pengajian kita dan tidak mempelbagaikan kemahiran.

Jangan fikir benda ini tiada faedah, ia punya faedah, kita akan lebih dekat dengan masyarakat, bahkan dapat memudahkan kerja-kerja dakwah.

Saya rasa mungkin cukup sekadar itu perkongsian kisah dia. Semoga ia membuka titik akal yang membuka pemikiran pelajar bidang agama supaya lebih terkedepan kerana kita memerlukan keprofesional ulama.

Jangan terlalu fikirkan pekerjaan, ikhlaskan diri menuntut ilmu-ilmu Allah. Cuma dalam masa yang sama, kita hanya perlu berusaha untuk mencapai duniawi.

Firman Allah SWT dalam surah at-Talaq ayat 3:

"Dan dia memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu".

Ingat, Allah swt merakamkan perkataan tawakkal, dan seperti yang kita tahu, konesp tawakkal datang selepas usaha. Tanpa usaha, tawakkal juga tidak ada gunanya.

WaAllahu a'alam...

p/s

1. Tahukah anda kenapa dia banyak tolak beberapa tawaran-tawaran pekerjaan? Ini kerana dia ingin meneruskan lagi peringkat pengajian ke tahap lebih tinggi, selain memikirkan umur yang muda, otak tengah segar untuk menerima ilmu sebelum tua yang akan meletihkan.

2.Dikesempatan ini saya juga mengucapkan selamat memasuki fatrah Ramadhan al-Mubarak...

Mitos Pelajar Bidang Agama.

Benarkah pelajar bidang agama sukar untuk mendapatkan pekerjaan?

Sehinggakan ada seorang pelajar PhD di bidang pengajian Islam turut mengakui kebenarannya, malah memberikan bukti dengan pengangguran beliau sebagai pelajar dibidang agama selepas tamat menyempurnakan pengajian diperingkat Sarjana Muda (Master). Katanya, beliau menganggur hampir 2 tahun.

Tapi cerita itu tidak sedikit pun mematahkan hati para pelajar di bidang pengajian Islam untuk terus bergelar mahasiswa di sektor pengajian Islam.

Mungkin beberapa faktor menjadi sebab kebanjiran pelajar pengajian Islam antaranya:
1- Mudah mendapat tajaan termasuk zakat dan sumbangan.
2- Kos yuran yang murah berbanding pengajian di bidang lain.
3- Kesedaran.

Bahasa Arab, Feqh mahupun Usuluddin, masing-masing punya kelebihan untuk dikedepankan. Saya pula memilih bidang pengajian Islam sebagai asas untuk kehidupan. Dengan kenakalan ketika sekolah dahulu, mungkin saya perlukan asas agama untuk terus memandu hidup, sebab ceramah sana-sini tidak pernahnya masuk ke kepala, ada sahaja yang hendak membantah.

Jadi saya memilih untuk merasa sendiri bagaimana suasana untuk berada bersama-sama sebaris dengan agamawan-agamawan yang lain. Pada saya, cukuplah sekadar memandu diri, tetapi jika dapat dikongsikan kepada orang ramai, ia merupakan perkara yang tepat untuk dilakukan.


PENGKHUSUSAN BIDANG

Ironinya, pelajar pengajian Islam perlu mempelbagaikan kemahiran diri. Bukan sekadar ilmu agama, tetapi juga ilmu-ilmu tambahan. Ada banyak bidang yang boleh diceburi, jika berniat untuk ke sektor pendidikan, maka menjadi pakar dalam cabang ilmu seperti perbandingan agama, qawaid, usul feqh, bahasa dan lain-lain lagi boleh dikuasai.

Tetapi berbanding kepakaran yang diceburi di bidang lapangan mungkin juga boleh menjadi pilihan. Hairannya, apabila 'meletup' seseorang personaliti agama di sesuatu bidang, maka berbusu-busulah pelajar agama mengambil bidang tersebut. Sebagai contoh bidang ekonomi. Sedangkan banyak lagi bidang keperluan yang perlu dikaji sendiri oleh pelajar agama, untuk melihatkan keperluan masyarakat yang memerlukan kita selaku pelajar pengajian agama untuk terus membantu dalam beberapa sektor utama yang memerlukan kita.

Sebagai contoh, menguasai bidang feqh kosmetik, feqh makanan & minuman, feqh medic, feqh dakwah, guaman, bahkan bidang pemikiran seperti Institut Sosial Malaysia dan Institut minda juga mungkin memerlukan kepakaran pelajar agama untuk memasuki bidang-bidang tersebut. Bagitu juga dengan Institut-institut bahasa seperti pusat terjemahan negara, badan-badan Ngo, juga memerlukan kepakaran bahasa. Bahkan ekonomi sahaja masih terbahagi lagi kepada cabang-cabang kepelbagaian bidang seperti perancangan kewangan Islam yang dilihat kurang kepakaran berbeza dengan panel syariah kewangan, begitu juga campurtangan dalam undang-undang kewangan Islam, perlu dilihat lebih serius. Hatta sektor binaan juga memerlukan tenaga daripada pelajar pengajian Islam.

Kerjaya itu adalah sunnatullah, sesuai dengan konsepnya, siapa usaha dia dapat. Oleh itu pemilihan bidang yang tepat merupakan salah satu usaha, bahkan pelbagaikan kemahiran merupakan ketepatan penilaian dalam kehidupan. Bukan berserah semata (tawakkal).

Dan saya fikir mungkin banyak lagi bidang yang perlu dilihat bukan sahaja perlu ditunggu untuk mana-mana personaliti 'meletup' terlebih dahulu, bahkan selaku pelajar pengajian Islam perlu melihat dengan keluasan bidang yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat sejagat selari dengan kemajuan dan kemodenan yang semakin hari semakin pelik masalah-masalah agama yang berlaku.

Untuk itu, yakinlah dengan pilihan sendiri, apalah gunanya belajar hanya untuk diri sendiri, lebih baik jika dapat dimanfaatkan kepada masyarakat dan negara untuk pembangunan ummah. Rezeki adalah milik Allah swt, kesukaran mendapat kerja hanyalah satu mitos.

Sebagai bukti, InsyaAllah jika berkesempatan saya akan menulis pengalaman-pengalaman saya di sektor pekerjaan selaku pelajar pengajian Islam.

Firman Allah swt:

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.

Al-Hajj [22] : 78

WaAllahu a'alam...

DEMO oh DEMO!!!


BERSIH kian hampir, Pelbagai isu dipermainkan sebagai provokasi kepada kempen untuk menggalakkan penyertaan tidak kurang juga halangan dengan menakut-nakutkan.

Saya tidak mahu untuk berbicara dengan panjang lebar, kerana kenyataannya hampir jelas, telah ramai agamawan yang berbicara tentang hukum secara panjang lebar dengan hujah dan dalil yang didampingkan untuk sokongan kekuatan hujah.

Namun sedarkah kita, demonstrasi BERSIH dicetuskan oleh seorang individu yang tidak pernah menunjukkan rasa mahu menyokong Islam.

Buktinya daripada beberapa individu yang pernah melawan kes dimahkamah bahkan juga pada pelajar undang-undang yang mungkin pernah membaca kes-kes berkaitan yang melibatkan pembelaan dan pendakwaan 'beliau'.

Sebagai umat Islam kita perlu cakna dan MESTI mengetahui sebab berdemonstrasi. Semestinya untuk menentang kezaliman dan BUKANNYA membantu penentang-penentang Islam.

Tiada Tahaluf Siasi bersama mereka yang menentang Islam, tiada kerjasama kepada kekufuran. Walaupun sesetengah pendapat ulama' mengatakan harus bersama mereka yang kafir tetapi adil berbanding mereka yang Islam tetapi zalim, namun tiada kompromi kepada kafir yang menentang Islam.

Mengambil iktibar daripada pemilihan tentera yang diizinkan untuk berperang yang telah dilakukan oleh pejuang Islam terkemuka Salahuddin al-Ayubi, MAKA SAYA MENYERU BAHAWA UNTUK KITA SAMA-SAMA TERLEBIH DAHULU UNTUK MEMBERSIHKAN HATI SEBELUM TURUN UNTUK MEMBERSIHKAN KEZALIMAN, supaya agenda demo BERSIH ini mendapat pertolongan Allah swt.

Betulkan niat, bukan untuk suka-suka, membazir masa, tetapi untuk sesuatu yang bermakna sebagai permulaan membangkitkan semula Islam yang hampir terkubur dek kerana orang Islam sendiri.

Demo itu bersih, tetapi hati yang kotor boleh menyebabkan dosa tertimpa kepada individu tertentu.

Buktinya, hadith masyhur "setiap amalan bermula dengan niat ..... "

Sebab hadith ini adalah ketika berlakunya hijrah, bergantung kepada niat, hijrah itu tidak salah pada asalnya, tetapi individu tersebut sahaja yang akan ternilai dek kerana niatnya.

Katakan YA pada BERSIH.
Katakan TIDAK pada Ambiga.

INGAT!!! Salah niat, demo ini boleh bertukar menjadi haram...

WaAllahu a'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...