Advanced Search

Custom Search

Followers

Terkelu lidah tidak bertulang, terbisu bahasa tidak terbilang.

Salam hormat, salam harmoni dan salam perpaduan 1Malaysia. Sekali lagi saya sering ketinggalan untuk menyampaikan pandangan, kerana kekangan masa saya tidak sempat mengarang serungkai kata mengikut keadaan dan ketepatan masa. Peduli apa, biarpun isu PPSMI kini agak hangit kerana Malaysia kini yang terlalu ghairah mengejar perpaduan dengan 1Malaysia, kerajaan perpaduan, royalti minyak negeri, kerjasama UMNO-PAS dan juga perhimpunan GMI, pada saya ia perlu dihangitkan lagi dan isu pendidikan tetap yang utama kerana pendidikan dan pembelajaran itu merupakan roh kepada sesebuah ketamadunan manusia.


Berbalik kepada pengumumam kabinet yang memutuskan untuk tidak meneruskan dasar PPSMI, saya memikirkan 2 perkara.


1. PPSMI vs 1Malaysia.

Saya berpendapat awal bahawa PPSMI merupakan penghalang utama kepada dasar baru kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia. Pernah dengar kecelaruan dalam istilah bahasa kebangsaan yang diajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia? Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Kita ketahui bahawa 9 cabaran dalam menjadikan Negara Malaysia sebagai sebuah negara maju dan yang utama adalah perpaduan rakyatnya. Semua juga maklum bahawa bahasa umum yang kita gunakan adalah milik orang melayu dan dikenali sebagai bahasa melayu, namun niat baik sesetengah pemimpin pula cuba untuk memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Negara Malaysia dengan harapan ia dapat digunakan untuk membentuk perpaduan.


Namun begitu, bagaimanakah bahasa ini boleh dikatakan berfungsi pada hasratnya sekiranya Malaysia tidak menggunakan lagi bahasa melayu sebagai bahasa pengantar utama, apakah najib cuba mengatakan bahawa PPSMI ini terlalu berkesan sehingga takut rakyat Malaysia khususnya di kawasan bandar akan mengurangkan penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar utama? Maka di situ apakah mungkin akan menyebabkan perpaduan kaum dikatakan kurang berjaya kerana tidak menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan? Saya tidak fikir pemansuhan ini merupakan satu keputusan politik untuk menagih undi rakyat di Manek Urai ataupun pihak tertentu merasakan demonstrasi pemansuhan PPSMI itu berjaya dengan keputusan kerajaan untuk menghentikannya. Apa yang pasti kebenaran itu terbukti bahawa perpaduan itu hanya terbentuk cantik dengan penggunaan bahasa yang diketahui oleh rakyat Malaysia iaitu bahasa melayu.


Sebab itu saya memikirkan bahawa dasar PPSMI ini sebenarnya kontra dan tidak terdapat sebarang titik persamaan dengan dasar 1Malaysia. Bukan kerana masalah pembelajaran semata-mata, tetapi desakan pemansuhan yang melibatkan golongan cerdik pandai serta guru-guru yang masing-masing merupakan kakitangan kerajaan mampu untuk menggugat perpaduan dan keamanan Negara Malaysia.


2. Melayu masih ditakuk lama.

Begitupun saya tidak menolak punca ia dimansuhkan akibat daripada kelemahan sistem pembelajaran PPSMI ini di luar bandar, kemahiran guru juga adalah terhad (maaf tetapi ini hakikat), guru mampu untuk mengajar mengikut silibus, namun tidak mampu untuk menghurai panjang (menggunakan ayat sendiri) pada sesebuah topik. (Melainkan guru itu memang berada pada bidangnya iaitu guru bahasa inggeris)


Jika tidak silap saya pada isu pembukaan kuota UiTM kepada bukan melayu menjadi satu isu besar malah ada yang mengambil kesempatan membuat provokasi kepada kerajaan pembangkang Negeri Selangor supaya tidak menyentuh isu perkauman, Tun Dr. Mahathir pula mengeluarkan kenyataan bahawa melayu belum bersedia untuk bersaing.


Begitu jugalah yang saya lihat di kacamata PPSMI yang mana melayu masih belum mampu untuk menerima revolusi pendidikan secara glokal. Kajian yang menunjukkan kelemahan masih pada sekolah-sekolah melayu dan rata-rata adalah orang melayu ataupun penduduk bumi di Malaysia.


Amat memalukan, apa sahaja pembaharuan yang cuba di bawa melayu tetap yang terkial-kial mencari penyelesaian. Apa yang dikecewakan bukannya penyelesaian untuk membantu bersama memajukan anak-anak, tetapi mencari penyelesaian untuk memansuhkan pula.


Benarlah seperti tajuk penulisan ini, memang saya terkelu seribu bahasa.


Haaaiiii....... Melayuu.......


Kalau dilihat lagi Kementerian Pelajaran sibuk untuk menghadkan jumlah matapelajaran SPM untuk pelajar-pelajar sekolah menengah kepada 10 matapelajaran sahaja sedangkan pelajar sekolah rendah boleh dikira hampir kepada 19 matapelajaran yang dipelajari tanpa pilihan. Tidak salah jika saya mengatakan dasar pendidikan Kerajaan Malaysia kini cuba memperjudikan nasib anak-anak Malaysia, try and error. Sampai bila?


Suruhanjaya Diraja patut ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan di Malaysia keseluruhannya. Kajian perlu dilakukan sebelum keputusan dibuat, jangan buat keputusan, tidak berkesan, mansuh, buat lain, tidak berkesan, mansuh. Itu macam kambing pun akan lari, anjing pun akan makan tuan.


Sejahtera Malaysia, bangkit umat Islam, utamakan anak-anak Malaysia pewaris pimpinan akan datang. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, pendidikan tunjang ketamadunan.


Maaf atas kekasaran bahasa, memang disengajakan, untuk bacaan umum. Sekian. Saya sudi menerima maklum balas dari anda semua.


(Jutaan kemaafan, penulisan agak terburu-buru kerana saya mengejar masa)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...