Advanced Search

Custom Search

Followers

Kesilapan Yang Membawa Kepada Kematian.

Shah Alam: Aminulrasyid, 15, dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 Shah Alam.

Sehubungan itu Kementerian Dalam Negeri menubuhkan satu panel khas bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati polis, awal pagi semalam di Seksyen 11, Shah Alam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata panel khas itu akan diketuai oleh Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop, bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan menentukan siapa yang bersalah dalam insiden.

"Masih terlalu awal untuk menentukan siapa salah dan siapa yang betul, biarkan kami membuat siasatan dahulu, siasatan bersandarkan prinsip kebenaran bagi mengelakkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat, terutama yang membabitkan kes tindakan polis," katanya.

Justeru, beliau meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi dan tuduhan melulu hingga mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pihak dan individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap kejadian itu termasuk menjadikannya isu politik sehingga mengelirukan orang ramai.

Dalam masa yang sama Norsiah Mohamad, ibu kepada Aminulrasyid Amzah, remaja yang ditembak mati awal pagi semalam ketika didakwa cuba melanggar beberapa anggota polis, meminta supaya allahyarham anaknya tidak digelar penyamun atau penjenayah kerana beliau lebih mengenali siapa sebenarnya anaknya itu.

"Sebagai ibu yang melahirkan dan membesarkannya saya sangat terluka dan mohon supaya jangan gelarkan arwah anak saya sebegitu rupa. Tidak adil menuduh anak saya sebegitu tanpa pengesahan," katanya kepada pemberita di rumahnya ketika dikunjungi Menteri Pertanian dan Indusri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, hari ini.

Di sebalik penemuan parang oleh polis dalam kereta dipandu Aminulrasyid, kakaknya, Nor Azura Amzah, 39, berkata adiknya itu mungkin panik selepas melihat rakannya lari daripada kereta dinaiki mereka.

Noh pula berkata, beliau akan membangkitkan isu kematian remaja itu dalam mesyuarat Kabinet esok bagi meminta supaya polis menjalankan siasatan kes itu secara adil.

Beliau berkata, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, sendiri telah memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara terperinci dan tidak akan melindungi pihak yang terbabit.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, berkata Umno negeri sedia membantu termasuk dalam memberikan khidmat guaman terbaik kepada keluarga itu jika diperlukan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pula meminta agar siasatan polis dilakukan dengan jujur dan telus dalam usaha mengenal pasti perkara sebenar yang berlaku.

Beliau juga berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, Rodziah Ismail, akan memantau keadaan sebelum mengambil langkah yang sepatutnya berhubung kebajikan keluarga itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata: "Polis hanya boleh menembak apabila nyawa mereka sendiri terancam atau apabila nyawa orang awam terancam (sedangkan) di dalam kereta tidak ada walau sebilah senjata seperti yang didakwa polis sebelum ini".

Bercakap pada sidang media yang sama, Yaakub Sapari, Exco Kerajaan Selangor yang juga Adun Kota Anggerik turut menyuarakan rasa kecewa dengan insiden yang membabitkan rakyat di Dun beliau.

Sumber: Bernama, Berita harian, http://networkedblogs.com.

__________________________________

Pada Pendapat anda apakah Menteri Pelajaran Malaysia juga perlu mengambil berat akan kes ini? Saya berpendapat YA!!!...

Kerana Sepotong Alasan

Salam sejahtera didoakan kita semua berada di bawah rahmat dan lindungan Allah SWT hendaknya...

Minggu ini khutbah Jumaat di kawasan saya membincangkan mengenai tajuk 'Jaga Tepi Kain Orang'. Sebuah ulasan yang mantap buat mereka yang khusyuk mendengar dan mungkin tiada kesan buat mereka yang terlentok tunduk untuk menunjukkan betapa tawaduknya mereka...

Tertarik dengan pepatah melayu ini ingin saya ingatkan diri saya dan anda mengenai salah faham terhadap istilah ini, terdapat segelintir masyarakat yang menyalahkan penggunaan pepatah 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Mereka beranggapan bahawa istilah ini tidak boleh diguna pakai berikutan sikap masyarakat yang semakin rosak keutuhan dalam hidup bermasyarakat kerana sikap tiada tegur-menegur dan mengambil endah tidak endah dengan keadaan sekeliling menyebabkan berlakunya kes-kes seperti dera dan zina berikutan memegang teguh pada pepatah ini.

Saya berpendapat bahawa pepatah ini tidak salah. Orang dahulu menggunakan istilah ini untuk mengelakkan umpatan dan fitnah. Dahulu waktu sosial isi rumah terutama wanita akan berkelompok dan bersembang-sembang lalu mengungkit hal-hal rumah tangga orang dan menimbulkan fitnah, lalu istilah ini mungkin lahir berikutan kisah umpatan mereka yang tidak sudah.

Saya beri contoh A menghadapi masalah rumah tangga, lalu B yang berjiran dengan A akan menyebarkan berita ini sesama jiran tetangga yang lain dan mereka akan mengumpat. Lalu kawan mereka yang C pun berkata 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Maksudnya istilah ini amat sesuai supaya kelompok tersebut tidak meneruskan hasrat mereka untuk mengumpat kerana mengumpat ini pasti akan mendatangkan tokoh-tambah dalam cerita yang sebenar, lalu cerita dari B lain, sampai telinga C jadi cerita lain, sampai telinga D jadi cerita lain dan seterusnya. Jadi istilah ini amat sesuai buat mereka 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Itu orang dahulu-kala, tetapi orang zaman sekarang gunakan pepatah ini untuk beralasan supaya tidak menyibuk dalam hal-hal masyarakat. Mana mungkin hal-hal kezaliman pun kita hendak gunakan pepatah tersebut. Nampak sangat kita pada masa ini hanya menggunakan pepatah tersebut semata-mata untuk beralasan agar tidak menyusahkan diri.

Kerosakan yang berlaku pada hari ini adalah akibat daripada tiada sikap tegur- menegur. Benar, semua akui perkara tersebut tetapi sejauh manakah sikap cakna yang kita ambil?. Seru kepada kebaikan maka 'mengajak' kepada kebaikan dan bukannya sekadar bercakap belakang sembang-sembang dengan jiran-jiran lain dan mengumpat. Dalam erti kata lain kita perlu tegur dan bukannya mencanang cerita hebah ke sana-sini akan keburukan tersebut.

Dua perkara penting yang Allah peringatkan kepada hambaNya ialah (1) ajak buat baik, dan (2) cegah kemungkaran.

Jadi pada waktu ini sama-sama kita tanya pada diri masing-masing adakah kita telah mengajak kepada kebaikan? Jawapannya mungkin Ya...

Cegah kemungkaran? Jawapannya mungkin tidak.

Apakah kita masih ingin beralasan dengan pepatah 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'?

Zaman sekarang kita takut untuk menegur kesilapan kerana kadang-kala masyarakat kita sendiri memberi jawapan yang tidak munasabah.

"apa kau sibuk, kau pun sama saja"

Ironinya mengajak buat baik susah bagi kita kerana kita sendiri pun tidak buat perkara yang baik, hendak cegah mungkar, kita juga yang buat mungkar. Jadi kesudahannya orang pun beranggapan bahawa amalan tegur menegur itu adalah kerja pendakwah? Siapa? Ustaz ustazahlah...

Saya tergelak sinis, sedar atau tidak kita semua adalah pendakwah. Tanya diri kita dan beritahu pada Allah apakah kita tidak pernah menegur kesilapan dalam keluarga, adik-beradik? Atau tidak pernah ke kita mengajak orang untuk berbuat baik walau sekecil zarah?

Maka kita semua memang seorang pendakwah...

"ustaz, sudah ramai ustaz, ustazah yang berceramah, dalam TV, dekat Surau, Masjid dan merata-rata tempat, mengapa masih lagi ada kerosakan pada masyarakat kita terutama remaja dan orang muda?"

Jawapannya mudah, kerana tiada amalan menyampaikan, kita dengar untuk diri kita dan tidak menyampaikan, kita belajar untuk diri kita dan tidak menympaikan, kita tahu tetapi kita buat-buat tidak tahu.

Pada pandangan anda apakah sikap itu akan membantu masyarakat kita?

Firman Allah SWT:

”Dan hendaklah di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka adalah orang-orang yang berjaya”.

Ali-Imran : 104

Saya mohon pada diri saya dan anda agar kita sama-sama berdoa untuk kesejahteraan muslim sedunia khasnya Malaysia...

Peranan Seorang Pendidik.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Menteri Perdana Negara Malaysia telah mengarahkan satu jawatankuasa untuk mengkaji tekanan terhadap kerja yang perlu dilakukan oleh guru-guru.

Guru-guru dikatakan tidak bekerja hanya sebagai pendidik malah turut dikatakan berperanan melakukan kerja-kerja pengkeranian yang pelbagai itu dan ini. Apatah lagi bagi sekolah-sekolah yang terlalu mengejar glamour dan kemasyhuran...

Dalam hal sebegini guru besar dan pengetua (kepala sekolah) berperanan tinggi dalam menangani tekanan guru terhadap kerja-kerja sebegini yang mana akhirnya seolah-olah memperjudikan nasib pelajar-pelajar yang akan terabai dari aspek pembelajaran. Mudahnya pelajar hanya diberi kerja yang banyak, lalu ditanda di dalam kelas bersama-sama pelajar dan menghukum pelajar yang tidak melakukan kerja.

Akhirnya aktiviti sedemikian akan memenuhi ruang dan masa yang diperuntukkan untuk sesi pembelajaran. Jadi di manakah letaknya sesi penerangan dari guru? Anda nilai sendiri...



Kekreatifan guru dikatakan amat penting dalam mengawal kelas pembelajaran agar ia nampak menarik dan menghasilkan suasana yang penuh minat, masalahnya (maaf berkata) tidak ramai guru-guru yang kreatif sebegini, bahkan puluhan tahun pengalaman dalam mengajar juga tidak mampu untuk menghasilkan guru-guru sebegini. Puncanya, (sensitif untuk dikatakan)

Saya pernah memasuki dunia perguruan dengan mengajar pada 3 situasi yang berbeza.

1. Pelajar pendidikan khas yang bermasalah dalam pembelajaran (kematangan berfikir tidak sama dengan umur, contohnya umur 12 tahun tetapi tahap pembelajarannya ialah untuk 9-10 tahun). Hyperaktif, pasif, disleksia termasuklah yang terencat akal.

2. Kelas perdana seperti kelas harian biasa.

3. Kelas pembelajaran agama untuk Sek. Ren Agama.

Pengalaman yang saya fikir cukup berharga sebelum memasuki dunia trainer dan consultancy. Dalam kes tekanan kerja guru saya berpendapat bahawa ia bergantung hebat kepada kepala sekolah. Salah sebuah sekolah ditempat saya mengajar cukup menyibukkan saya dengan kerja-kerja pengkeranian dan akhirnya saya akui ada masanya saya terlepas pandang untuk menumpukan penuh pada sesi pembelajaran dalam kelas (kesibukan sehingga terlupa untuk masuk ke kelas (",))



Antaranya, fail meja, fail guru, fail kelas, rekod keluar masuk kelas, rekod kehadiran pelajar, catitan bayaran dan ini tidak termasuk lagi untuk urusan program, tanda buku latihan, kretif modul pembelajaran dan aktiviti, kehadiran harian, rekod jumlah kehadiran pelajar, dan mungkin ada lagi yang tidak tersenari di sini. Ini yang menyebabkan terdapat kes yang menetapkan guru-guru sesi persekolahan petang 'punch out' pada pukul 7.00 petang. Kasihannya mereka.



Terdapat juga sekolah yang membuatkan saya cukup tenang untuk mengajar, kerja tidaklah terlalu banyak sehingga berlakunya tekanan bahkan keseronokkan mengajar membuatkan saya terasa sedih untuk meninggalkan sekolah tersebut. Tetapi saya terfikir bahawa begitulah kerja sebenar seorang guru, penumpuan penuh dapat dilakukan pada sesi pembelajaran, modul dicari untuk melakukan sedikit aktiviti bagi melahirkan susana kelas yang menyeronokkan sehingga meninggalkan kesan pada diri pelajar untuk tidak melupakan kelas tersebut.

Dari aspek yang lain kita sedar akan beberapa kepentingan tertentu, contohnya terdapat sebuah sekolah yang terlalu mengejar glamour sehingga guru-guru dipaksa untuk memikirkan caranya untuk mempromosikan sekolah. Pelik tetapi inilah hakikat yang berlaku pada sesetengah sekolah di Negara Satu Malaysia malah terdapat segelintir guru-guru yang terpaksa memikirkan cara dan urusan bagi mendapatkan dana untuk sesuatu program. (Belum lagi memikirkan masalah disiplin pelajar)

Jika dinilai semula, di sinilah juga bermulanya peranan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). PIBG yang sebenar bukan sekadar hadir meeting dan memberi pendapat dan memohon kelulusan untuk membenarkan anak-anak mengikuti program tambahan anjuran pihak sekolah. Bahkan jika benar terdapat sekolah-sekolah yang ingin mendapatkan tempat dan nama di mata negara kerja-kerja sebegini seharusnya dibantu oleh pihak PIBG dan mungkin turut dibantu oleh alumnai sekolah. Jika kerja-kerja pencarian dana, urusan program pun dilakukan guru maka jangan marahlah kalau anak-anak kita terabai.



Sepakat membawa berkat. Orang tua-tua dulu memang pandai berkata-kata kerana zaman dahulu ibu bapa turut membantu guru-guru menangani masalah anak-anak, kalau palajar ponteng sekolah ibubapa yang hukum, tidaklah pening untuk guru-guru memikirkan masalah disiplin pelajar.

Kini guru-guru tidak sahaja dibebankan oleh masalah pelajar, pengurusan sekolah malah masalah ibubapa juga tidak terkecuali termasuklah campurtangan mereka yang adakalanya memberi tekanan kepada guru-guru. Kes ibubapa tampar guru? banyak yang berlaku tetapi disunyikan, lalu berlakulah dendam, 'anak kau diabaikan'. Pada pandangan anda mungkin atau tidak hal sebegini akan berlaku?



Sedihnya, anak-anak akan terkapai-kapai mencari arah dan jalan hidup sedangkan kita pula masih terus berkelahi sesama sendiri yang akhirnya akan merugikan bangsa kita sendiri.

"Lantaklah anak cucu aku, aku dah mati nanti pandai-pandailah mereka hidup"

Andai semuanya berfikir sebegini, logiklah zaman kemusnahan dan bala akan berlaku.

Sama-samalah kita mohon perlindungan dan rahmat dari Allah SWT, mengapa perlu sombong dan angkuh dengan Allah? sedangkan mendidik, mengajar, memelihara anak-anak dan remaja perlu disertakan bantuan dan pertolongan dari Allah SWT.

"Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang"

Surah Yusuf : 64
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...