Advanced Search

Custom Search

Followers

Berpakat untuk Berpecah!

Maklum balas yang saya dapat daripada penulisan lalu membuatkan saya sedikit terkilan. Ada yang mengatakan bahawa bahasa dan perkataan tersebut tidak patut saya siarkan melalui blogspot ini kerana ia memberikan gambaran negatif kepada blogspot saya berikutan bahasanya yang kurang elok untuk dibaca dan didengar.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada yang sudi memberi maklum balas dan pandangan. Namun pada saya setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza. Cuma persoalan yang bermain di fikiran saya ialah mengapa sensitif terhadap penulisan saya sebaliknya tidak sensitif kepada mereka yang mengamalkan kata-kata sepeti itu. Ini hanya kajian bebas dan tidak memaksa sesiapa untuk menerima keputusan kajian ini bulat-bulat. Jika benar anda sensitif, tegurlah anak-anak dan remaja-remaja kita bermula daripada mereka yang hampir dengan kita.

Apa pun penulisan kali ini saya ingin memfokuskan berdasarkan tajuk di atas. Baru-baru ini sebuah artikel daripada majalah Islam telah tertulis mengenai perpecahan dikalangan umat Islam kini seperti satu pakatan. Saya ulang ayat tersebut iaitu seperti satu PAKATAN.

Maknanya perpecahan ini seperti satu rancangan dan seolah-olah kita sememangnya berpakat untuk berpecah. Mana tidaknya, apa yang terjadi hari berjalan sungguh lancar, ada sahaja asbab yang menjadi kepada perpecahan dan perbalahan antara kita.



Dalam buku penulisan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni 'beginilah zaman memotivasikan kita' mengingatkan kita bahawa perpecahan dan kacau bilau dan sifat tidak senang dikalangan kita adalah disebabkan setiap daripada kita telah melanggar ketertiban dan peraturan yang telah ditetapkan di dalam kehidupan terutama dari Allah Taala.

Jadikan renungan dan istiqomahlah dalam amalan.

Wallahu A'alam.

Bahasa Pasar @ Kasar?

Salam sejahtera dan didoakan moga kita berada di bawah Rahmat Allah Taala hendaknya.

Pertamanya saya mohon jutaan kemaafan kerana berbahasa 'kurang enak' pada penulisan kali ini, semuanya adalah untuk memberi faham kepada pembaca sekalian.
_________________________________________________________________

Baru-baru ini kajian yang dilakukan terhadap sekumpulan kanak-kanak dan remaja menunjukkan bahawa 65% pertuturan harian mereka adalah berunsurkan negatif, sama ada pertuturan lisan atau tanpa lisan termasuklah kata-kata kesat, kurang elok atau isyarat-isyarat lucah juga sembang-sembang yang berkaitan perkara negatif. Apa yang membimbangkan peratusan ini semakin meningkat pada setiap kali tambahan sampel kajian dilakukan. Sampel kajian di ambil sekitar kawasan perumahan kos rendah, kawasan rumah terancang dan teres, anak-anak kawasan elit dan juga kawasan perkampungan.

Negatif tidak semestinya lucah, namun jika pertuturan tersebut tidak berunsur lucah sekalipun ia tetap mengandungi unsur negatif, contohnya perkataan 'gila'.

Ada yang menjadikan GILA sebagai satu simbolik sebagai membawa maksud 'bersangatan'. Contoh ayat: "Best gila", "sejuk gila".

Jadi macam mana kalau tiba-tiba hendak memuji seseorang yang hebat?
"FUh... ko ni memang gila lah".

Sekali pandang macam orang tu gila, tetapi mungkin tidak berniat untuk mengatakan orang itu gila, cuma hendak tunjukkan kesangatan bahawa orang itu banar-benar hebat.

Ayat-ayat ni memang popular ketika zaman saya sekolah dahulu, tetapi tidak ramai yang berbahasa begini berbanding masa kini yang puratanya digunakan oleh remaja.

Macam mana pula dengan 'sial'?

Tentu anda pernah dengar ayat-ayat ini:
"Boring sial", "hebat sial", "sakit sial".

Ayat ini pun menunjukkan kesangatan pada sifat-sifat tersebut, tetapi NEGATIF.

Sewaktu saya duduk melepak dengan sekumpulan remaja, ada sesuatu yang menggelikan hati saya, hendak dijadikan cerita ketika duduk bersembang di bibir taman permainan tiba-tiba sekumpulan remaja wanita sedang melintas jalan dihadapan kami. Tanpa diduga salah seorang remaja yang bersama-sama saya tadi berkata "awek tu cun sial".

Dah tu semua remaja lelaki yang bersama saya tadi manyambung-mennyambung perkataan tersebut "cun sial", "cun sial", "cun sial".
Lepas seorang-seorang yang menyebut perkataan itu.

Lalu terdetik di hati saya dengan monolog "kesiannya awek-awek tu, cun memang cun tetapi sial"...

Agak-agaknya kalau 40 orang yang berkata sial, silap-silap jadi betul awek-awek tu sial.

Na'uzubillah min Zaalik...

(jadi awek-awek sekalian, sila-silalah tutup aurat tu sebelum ada yang memuji anda 'sial' (",) )

Sesungguhanya perkataan-perkataan sebegini sememangnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada orang lain, merangsang emosi seterusnya mungkin boleh menyebabkan berlakunya pertelingkahan dan pergaduhan.

Suka untuk saya mengingatkan kembali untuk sama-sama kita memperbetulkan 'life setting' tentang kaitan pertuturan dan emosi atau bahasa mudah kita 'perasaan'.

Dalam babak-babak marah kita selalu dengar ayat 'aku pun ada hati dan persaan!'

Kata orang-orang tua pula "kerana mulut badan binasa"

Kena sangatlah tu, pertuturan dan emosi memang berkaitan. Tidak kiralah sama ada pertuturan lisan atau bukan lisan. Memang sah 'makhluk' jenis ini melahirkan emosi.

Lihat saja pada pergaduhan yang terjadi semestinya berlaku kerana makhluk ini. Lirik-lirik mata sahaja sudah boleh menyebabkan pergaduhan, tidak silap saya 'pandang 'slack'' (macam mana eja slack pun saya kurang pasti). Aksi ini dan kata-kata negatif sebegini sudah semestinya boleh mencetuskan pergaduhan terutama di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang berdarah panas.

Oelh itu kebijaksanaan ketika berkata-berkata sememangnya menjadi keutamaan sepanjang kita bersosial. Saya ingin menyampaikan maksud penulisan ini melalui sebuah kisah raja di timur tengah.

Raja tersebut bermimpi bahawa giginya tercabut satu demi satu sehinggalah habis. Raja yang ketakutan tadi memanggil ahli nujum diRaja untuk menafsirkan mimpinya. Ahli nujum pun berkata "berita buruk tuanku, tuanku akan kehilangan semua ahli keluarga tuanku seorang demi seorang sehinggalah habis dan tuanku akan hidup keseorangan"

Dengar sahaja kata-kata tersebut raja pun murka lalu menjatuhkan hukuman pancung terhadap ahli nujum tersebut. Raja masih tidak berpuas hati, dia kini memanggil ahli nujum yang lain. Setelah diceritakan raja terbabit tentang mimpinya, ahli nujum itu pun berkata "mimpi itu sebuah berita gembira buat tuanku, tuanku mempunyai umur yang panjang berbanding ahli keluarga tuanku yang lain".

Kata-kata ahli nujum tadi benar-benar menggembirakan raja tersebut lalu menghadiahkan harta yang banyak kepada ahli nujum tersebut.

Apa yang anda dapat dalam cerita ini? Tentu sekali setiap perkara yang ingin kita katakan mempunyai tujuan dan maksud tertentu, tetapi cara dan kaedah pertuturan tersebut boleh membantu anda untuk tidak merosakkan emosi ramai pihak.

Bertindak bijaklah ketika berkata-kata. Gunakan ilmu ini untuk menegur, berbicara dan memuji...

Semoga berjaya. Salam cemerlang, salam dakwah, salam amalan dan salam kasih-sayang...

Hari tu Keliru, Hari ni ...

Penulisan yang agak lama berlalu menimbulkan sedikit kekeliruan dan penulisan kali ini saya tidak pasti apakah yang sesuai untuk dikatakan. Keliru, bingung, pening atau apa?.

Sebelum itu saya rasa tidak lambat untuk saya mengucapkan jutaan tahniah kepada mereka yang berjaya dan cemerlang dalam SPM baru-baru ini, kepada mereka yang berjaya mungkin sedang menikmati sesuatu yang tidak dapat dirasai oleh mereka yang kurang cemerlang keputusan SPMnya. Namun, keputusan yang merosot bukanlah menjadi kesalahan kepada individu yang telah penat berusaha, ujian Allah dalam pelbagai bentuk, bahkan tafsiran untuk mendapatkan hikmah setiap kejadian perlu dicari dan dirasa dengan penuh kesabaran.

Keputusan peperiksaan hanyalah satu wasilah keduniaan, berjaya atau tidak menjadi ukuran melalui kehidupan yang penuh tanggungjawab. Hari ini kita boleh lihat berapa ramai mereka yang cemerlang tetapi gagal dalam kehidupan. Berapa ramai yang keputusannya sedang-sedang tetapi berjaya dalam kehidupan. Sebabnya anda sendiri pun tahu... Apa yang penting ialah bagaimana caranya untuk terus hidup di bumi Allah ini untuk memenuhi fitrah kejadian kita sebagai khalifah.

Bagi keputusan SPM 2009 pula apa yang membuatkan saya tertanya-tanya ialah mengenai pengumuman terhadap pelajar terbaik SPM 2009. Jika tidak silap saya pelajar yang mendapat jumlah A tertinggi ialah Habibah Hanan dengan memperolehi 10A+ dan 5A maknanya ialah 15A manakala pelajar yang diumumkan terbaik oleh pihak Kementerian iaitu Gladys Tan Yee Kim pula hanya memperoleh 10A+. Apa sudah jadi?

Hai... benarkah ia berkaitan politik? Masing-masing punya perspektif.

Benarlah seperti yang saya katakan bahawa keputusan peperiksaan hanyalah wasilah dunia, berjaya atau tidak bukanlah menjadi satu perjanjian untuk diterima. Sama-samalah kita untuk tidak terlalu mengharapkan pengiktirafan manusia, disisi Allah adalah yang lebih utama. Sabar...

WaAllahu a'alam...

Masing-Masing Punya Peranan.

(Ulasan saya di bawah teks ini)

Ibu dibelasah lima pelajar perempuan depan anak
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2010/03/12

PETALING JAYA: Seorang eksekutif wanita dibelasah sekumpulan enam pelajar perempuan Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di sini, di depan anaknya dan puluhan pelajar lain, kelmarin.

Ibu berusia 33 tahun itu dikatakan diserang di luar kawasan sekolah berkenaan, kira-kira jam 1.15 tengah hari, selepas memarahi seorang daripada pelajar terbabit yang mengganggu serta mengejek anak perempuannya yang juga pelajar Tingkatan Lima sekolah itu.

Zatul Bazamah Zainal Abidin, dikatakan ditendang, dipijak dan rambutnya ditarik oleh kumpulan pelajar terbabit hampir setengah jam sebelum kejadian itu dileraikan tiga anggota polis yang tiba sebaik menerima panggilan orang ramai. Berikutan kejadian itu, Zatul Bazamah yang mengalami kesakitan di seluruh badan, membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Arjunaidi berkata, polis juga sudah mengambil keterangan semua enam pelajar terbabit, kelmarin.

Sementara itu, Zatul Bazamah berkata, sebelum kejadian itu, beliau yang menunggu anaknya pulang dari sekolah, melihat seorang pelajar terbabit mengganggu dan mengejek anaknya.

“Saya turun dari kenderaan dan bertanya kepada pelajar perempuan itu kenapa dia mengganggu anak saya. Bagaimanapun, pelajar itu menjawab secara kasar dan bertanya siapa saya untuk masuk campur urusannya menyebabkan saya hilang sabar dan menolak kepalanya tetapi dengan perlahan.

“Sejurus selepas itu, pelajar perempuan terbabit bersama lima rakannya menyerang saya. Ketika itu, anak saya tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menjerit dan cuba meleraikan pergelutan,” katanya.

Zatul Bazamah berkata, bulan lalu beliau juga pernah membuat laporan polis terhadap pelajar perempuan terbabit kerana sering mengganggu dan mengugut anaknya.

“Saya tidak pasti kenapa pelajar perempuan itu selalu mengganggu dan mengugut anak saya. Saya berharap pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri mengambil perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya.

___________________________________________

Kes macam ini susah sikit nak beri komen, kerana pelbagai aspek perlu di ambil kira sebelum mengambil tindakan tertentu. Lagipun kes sebeginikan sudah menjadi kebiasaan di telinga kita. Apa yang perlu dikecoh-kecohkan, memang semua sudah tidak ambil peduli selagi kejadian ini tidak terkena batang hidung sendiri.

Saya boleh bayangkan bagaimana agaknya kejadian tersebut, rupa pelajar yang sering diejek dan juga rupa pelajar yang memukul puan tersebut. Huh... Nampaknya peranan kita semakin besar, bibit-bibit kudis kini sudah menjadi nanah, hanya tunggu masa untuk berdarah. Jika tidak dirawat pasti merebak ke anggota lain. Jika hendak dirawat pula mesti mencari punca atau ibu kepada masalah ini, Tapi.....

Persoalannya ialah di manakah ibu kudisnya?

Mudah sahaja, ibu kudisnya terletak di hati, kita sibuk duduk mencanang istilah barat 'Emotional Quotient', sedangkan ia sememangnya penekanan yang telah sekian lama diterapkan dalam Islam. Penerapan nilai inilah yang tidak di ajar kepada anak-anak zaman ini. Teori yang diajar di sekolah-sekolah seperti pendidikan sivik dan moral masih dilihat kaku sekiranya ia tidak praktikkan. Bukankah kelihatan cantik sekiranya teori di ajarkan di sekolah manakala praktiknya dibantu oleh ibubapa dan masyarakat.

Modalnya, hanya sedikit tenaga dan suara untuk membina sosial dalam keluarga terlebih dahulu sebelum masanya mereka duduk ditengah-tengah lembaran masyarakat yang sebenar. Jika ini yang tidak serapkan dalam diri sejak diperingkat kanak-kanak maka kes sebeginilah akibatnya...

Bala Buat Masyarakat Yang Enggan.

Budaya masayarakat kita semakin kurang keutuhannya. Manatidaknya pelbagai kes dan maksiat yang berleluasa dan masing-masing hanya mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri dengan beralasan bahawa ia tiada kena mengena dengan diri dan keluarga mereka.

Apabila ditanya ramai yang mengatakan bahawa 'aku hanya mampu membenci dengan hati'...

Siap bagi hadis untuk menyokong hujah mereka, "barangsiapa melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya (menegah dan menghalang) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah lisan (percakapan) dan jika tidak mampu hendaklah dengan hati"

tetapi mereka sengaja tidak menghabiskan bacaan hadis tersebut yang mengatakan bahawa "sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman" (merujuk kepada mencegah mungkar dengan menggunakan hati)

Baru-baru ini kes penderaan yang mengakibatkan kematian iaitu adik Syafia Humairah menjadi bukti dan saksi kepada kelemahan hidup rakyat Malaysia sebagai satu masyarakat. Rakyat Malaysia dilihatkan begitu mudah untuk mengajak membuat sesuatu kebaikan malangnya tidak mudah untuk kita menegur kesilapan. Takut di ugut, bergaduh, dibenci, dan di tuduh 'sibuk menjaga tepi kain orang'.

Ilham untuk menulis tajuk ini lahir selepas saya membelek latihan ilmiah tulisan sendiri sewaktu belajar di KUIS, latihan ilmiah setebal 85 muka surat dan sebesar saiz A4 ini membincangkan mengenai kes penzinaan dan kaedah pensabitannya di negeri selangor. (boleh membacanya di perpustakaan KUIS)

Hasilnya, saya menjumpai satu hadis riwayat al-Hakim yang berbunyi:
"Daripada ibnu Abbas r.a bersabda Rasulullah s.a.w: Jika jelas akan penzinaan dan riba pada sesebuah perkampungan itu, maka sesungguhnya halallah pada diri mereka itu akan azab Allah".

Hadis ini jelas menunjukkan begitu pentingnya kita hidup dalam satu kemasyarakatan untuk mengekalkan keutuhan dan kebajikan ummah agar tiada bala yang akan menimpa satu kampung hanya kerana beberapa kesalahan yang dilakukan oleh ahli qaryah yng tidak bertanggungjawab.

Allah juga turut memperingatkan kita bahawa perlunya kita untuk tidak mementingkan diri dan mengabaikan ahli yang lain, seperti firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahlimu daripada neraka..."
(Surah AtTahrim ayat ke 6)

Cukuplah dengan kematian adik Syafia Humairah yang memberi peringatan kepada kita betapa pentingnya hidup dalam satu keluarga sebagai saudara sesama Islam. Sebuah penderaan yang disaksikan oleh penduduk kampung tetapi tiada teguran dan tindakan oleh masyarakat setempat, bahkan menurut akhbar ibunya telah bersekedudukan selama hampir 6 tahun sehingga melahirkan anak luar nikah yang berusia 1 tahun dan 6 bulan.

Walaupun ibu Syafia menafikan keadaan itu tetapi mengapa pula kematian Syafia Humairah dituntut oleh keluarga teman lelaki ibunya? Sebuah kemusykilan yang hanya Allah, keluarga mereka dan orang kampung sahaja yang tahu.

Alfatihah buat arwah adik Syafia, juga sekalung fatihah buat hati-hati ibu dan keluarga adik Syafia serta penduduk kampung yang telah "MATI"

Wallahu A'alam.

INFO: Kronologi kes penderaan kanak-kanak sehingga mendatangkan kematian
(Sumber: Berita Harian)

# Kuala lumpur, 27 Februari 2010 - Seorang budak perempuan berusia tiga tahun, Syafia Humairah Sahari mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka, di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, baru-baru ini.

Mangsa dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan.

Kanak-kanak malang itu dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB) ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa mangsa mati akibat kemalangan jalan raya.

# Kuantan, 25 Disember 2009 - Sepasang suami isteri yang menghantar bayi perempuan berusia tujuh bulan dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Intensif (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan mendakwa anak mereka itu tidak sedarkan diri dan mengalami sawan. Bagaimanapun, pasangan berkenaan ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Doktor yang merawat bayi itu mengesyaki sesuatu berlaku pada bayi berkenaan dan melaporkannya kepada polis yang kemudian, menahan bapa mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bersama isterinya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Bagaimanapun, hasil laporan doktor yang melakukan pemeriksaan menunjukkan mangsa mengalami pendarahan otak, mata, sawan serta kesan lebam pada tubuh.

# Kangar, 8 Disember 2009 - Sepasang kekasih dari Kampung Repoh di sini bertindak mendera anak luar nikah mereka berusia 22 bulan hingga mati sebelum bertindak melaporkan kanak-kanak berkenaan mengalami demam biasa.

Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata pasangan yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan itu bertindak mendera mangsa selepas tidak tahan dengan tekanan hidup mereka.

# Kajang, 21 Oktober 2009 - Kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang lelaki Afrika didakwa sanggup mendera, merogol dan meliwat anak kekasihnya yang baru berusia tiga tahun sehingga kanak-kanak itu menemui ajal.

Malah, kekasih wanita terbabit yang juga seorang janda berusia 24 tahun tergamak bersekongkol dengan warga asing itu apabila sanggup berbohong dengan mereka cerita kononnya anaknya mati akibat didera pembantu rumah.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati fakta dalam keterangan diberikan wanita yang bekerja sebagai setiausaha itu meragukan sebelum merumuskannya sebagai pembohongan apabila mendapati wanita terbabit tidak pernah menggaji pembantu rumah yang didakwa melarikan diri sejurus selepas tragedi menyayat hati itu.

# Georgetown, 30 April 2009 - Akhbar melaporkan perbuatan seorang bapa mendera anak perempuannya sehingga mati sebelum ditanam di kawasan padang, kira-kira dua kilometer dari rumah mereka di Kampung Pisang, Air Itam, tiga tahun sebelum kejadian akhirnya terbongkar selepas didedahkan salah seorang kakak mangsa.

Kakak mangsa serta dua lagi adik-beradiknya juga mengaku pernah didera dan dicabul bapa mereka, yang dikatakan tidak bekerja serta mempunyai tiga isteri dan 10 anak. Anak dibunuh itu pula adalah hasil perkahwinannya dengan isteri kedua.

# Johor Bahru, 7 Januari 2009 - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh anak tirinya berusia tujuh tahun pada 27 Disember 2008.

Lelaki itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak warga Thailand mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Siwakorn Sukuntha, di sebuah rumah, di No 08-04, Blok A, Kondominium Pulai View, Taman Kobena, Tampoi, di sini, antara jam 9 malam, 24 Disember hingga 1 tengah hari 27 Disember 2008.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...