Advanced Search

Custom Search

Followers

PPSMI; Saya Menyalahkan Pelaksana

Salam hormat…


Apabila menyentuh isu PPSMI ada segelintir yang tidak berani untuk menyuarakan kebenaran akibat daripada sesetengah pihak yang telah mempolitikkan keadaan. Apa yang saya harapkan ialah jangan meletakkan saya pada mana-mana parti politik selepas anda membaca pandangan saya ini. Ini kerana saya merupakan dikalangan mereka yang berkecuali dan saya adalah Parti Islam se-Dunia.


Melihat dari kacamata masa hadapan, PPSMI secara ikhlas saya mengatakan bakal membawa satu revolusi yang besar kepada sistem pendidikan Negara Malaysia melihatkan kepada saingan dunia kini. Malaysia juga mungkin bakal menjadi antara negara yang mempunyai pelajar yang semakin tinggi taraf pembelajarannya. Jika projek PPSMI ini berjaya mencapai sasarannya saya yakin dalam tempoh 15 tahun level-level universiti sudah boleh di ajar di sekolah menengah dan level-level sekolah menengah boleh diajar di sekolah rendah begitulah seterusnya.


Saya tahu, penelitian saya terhadap rakan-rakan yang merupakan guru dalam projek ini masing-masing meluahkan kesukaran yang amat sekali, sama ada untuk memberi faham, termasuklah murid-murid yang sukar untuk memahami.


Cuma kadang-kadang saya agak sukar untuk menerima alasan daripada organisasi atau pertubuhan yang membantah. Perlindungan bahasa, kesucian bangsa menjadi pertikaian kepada isu ini. Saya ada melihat beberapa sepanduk sepanjang kempen membantah diadakan ‘jangan membunuh bahasa ibunda’.


Saya kurang pasti akan maksud sepanduk tersebut, apakah hanya mempelajari matematik dan sains dalam bahasa Inggeris cukup mudah untuk membunuh bahasa ibunda kita? Kita tidak disuruh untuk bersajak atau deklamasikan syair dalam bahasa Inggeris, ini bererti bahawa bahasa kita masih terlindung. Cuma alasan bantahan masih boleh diterima sekiranya saman dibuat di bawah perlembagaan yang melindungi bahsa melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Ramai juga yang berpendapat bahawa kita mampu untuk maju seperti bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa mereka sebagai pengantar pembelajaran. Benar, saya akuinya. Tapi cuba kita lihat dengan lebih mendalam perbezaan diantara bahasa melayu dan bahasa-bahasa bangsa lain yang dikatakan mampu untuk maju. Saya bagi contoh bahasa Jepun, Korea, Jerman, Russia, Itali, Perancis dan China. Selain daripada keistimewaan bahasa mereka, mereka turut mempunyai alphabet yang tersendiri. China sebagai contoh yang mana alphabet mereka dipenuhi dengan kesenian alam semulajadi. Russia walaupun menggunakan alphabet A,B,C namun mereka juga ada menggunakan alphabet * dalam sebutan mereka.


Ada juga sesebuah bangsa yang mempunyai bahasa dan alphabet yang tersendiri namun tidak mampu untuk maju. (Tidak perlu untuk disenaraikan di sini kerana ia dianggap satu isu sensitif, mereka adalah golongan minoriti)


Sebenarnya keistimewaan bahasa melayu semakin hari semakin berkurangan. Bahasa melayu bukan sahaja dicedok daripada bahasa-bahasa arab malah penggunaan bahasa melayu moden banyak yang diadaptasi daripada perkataan-perkataan Ingeris yang rata-rata dicedok juga daripada bahasa perancis dan sunskrit.


Keaslian bahasa melayu klasik mungkin tidak kekal lama, masih segar diingatan saya sewaktu zaman kanak-kanak dahulu yang mana setiap kali saya pulang ke kampung saya akan mengalami masalah berbahasa dengan orang tua-tua di sana, atuk, nenek, peniaga-peniaga. Boleh dikatakan mereka menggunakan bahasa melayu klasik. Banyak benda yang sukar untuk saya fahami. Mengapa mengekalkan penggunaan ini yang tidak dibela oleh pejuang-pejuang bahasa (mohon izin).


Robok, Supik, Bangsal, Sepatu. Mungkin segelintir anak-anak sekarang tidak memahaminya bukan? Apa yang pelik masih ada lagi segelintir anak-anak moden yang tidak dapat membezakan di antara laci, rak dan almari.


Kita juga tidak mempunyai alphabet yang tersendiri, mungkin tulisan jawi itu boleh dianggap sebagai keistimewaan tulisan bahasa melayu, (setahu saya ’tulisan jawi’ itu bermaksud tulisan orang jawa)


Apapun pada saya PPSMI dilihat tidak dilaksanakan dengan begitu serius oleh pihak terlibat. Guru-guru yang bijak membantu mungkin sanggup untuk membuat tuisyen secara ikhlas untuk mengajar subjek ini, masalahnya ialah bukan semuanya yang sanggup. Bagaimana pula dengan masalah para guru yang tidak dilatih?


Kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk projek ini, tetapi hasilnya masih tidak memuaskan. Tidak berani untuk saya katakan ada sesetengah pihak yang melesapkan wang tersebut, Kementerian? Pejabat Pendidikan Daerah? atau Consultant yang terlibat untuk melatih guru-guru ini?


Sebenarnya saya melihatkan bahawa Malaysia menghadapi masalah perlaksanaan. Cetusan idea sudah cukup banyak untuk memajukan Malaysia, tetapi perlaksanaannya masih dilihat gagal.


Menggadaikan dua subjek utama semata-mata untuk mengejar satu subjek teras? Saya tidak fikir itu satu langkah bijak. Apakata sekiranya kita melaksanakan projek PPSMI ini pada mana-mana sekolah yang berminat sahaja. Cuba anda semua teka sekolah jenis apa yang paling banyak akan menerima projek ini? (tidak dihuraikan kerana ia juga satu isu sensitif)


Mengapa kita melihat kepada yang negatif sedangkan benda yang positif bakal muncul. Berakit-rakit kehulu, berenang-berenang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.


Hakikatnya, semua pihak perlu berganding bahu, jangan kerana politik anak-anak kita bakal menghadapi kesukaran di masa akan datang. Jangan terkejut sekiranya anak-anak ini bakal menyumpah kita pada suatu hari nanti.


Daripada tujuh pilihan hasil daripada rundingan meja bulat oleh Kementerian Pelajaran bersama pakar-pakar pendidikan dalam Malaysia, saya pula ingin mengemukakan idea yang kelapan. Saya akan siarkan dalam penulisan yang akan datang.



Saya sudi untuk menerima maklum balas anda semua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...