Advanced Search

Custom Search

Followers

Antara Akidah, Feqh dan Dakwah.

Siapa sangka, satu masa nanti saya akan ditemukan Allah swt dengan Brother Lim Jooi Soon. Seorang muallaf yang mahir dalam ilmu perbandingan agama ini merupakan antara salah seorang anak murid kepada pendebat perbandingan agama terkemuka dunia iaitu Ahmadeedat.

Tidak kurang juga sahabat seperjuangannya iaitu Brother Shah Kirit bin Kalkulal Govindji juga antara yang hebat dalam perdebatan perbandingan agama. Kagumnya, mereka berdua adalah muallaf.

Kini pertemuannya sudah, pertemuan yang sebentar, ilmunya sangat manfaat, mendedahkan kepada saya teknik-teknik baru dalam berdakwah yang saya fikir walaupun skill interaksi dikhususkan kepada non-muslim, namun ia sesuai untuk diaplikasikan kepada masyarakat muslim.

lalu membuatkan saya berfikir sejenak akan keperluan kepada seorang ahli agamawan untuk memahami interaksi akidah, feqh, dan dakwah dalam pengaplikasian kami kepada masyarakat mengikut kesesuaian.


Dakwah dan Syariah.

Saya teringat ketika saya belajar di IPT Malaysia satu ketika dahulu, pada asalnya pengkhususan saya adalah dibidang Dakwah. Namun setahun selepas saya berada di pengkhususan dakwah, saya beralih ke pengkhususan Syariah kerana ketika itu saya berpendapat bahawa "semua orang mampu berdakwah, tetapi untuk memastikan samada dakwah itu tepat dijalannya ataupun tidak adalah dengan ilmu Syariah" lagipun ironinya, masyarakat lebih suka bertanyakan bab hukum-hakam agama.

Selepas saya bertukar ke pengkhususan Syariah, saya jarang bertemu dengan sahabat-sahabat sekelas di pengkhususan dakwah dulu, dan apabila kami bertemu, kami akan berseloroh:

"Hei enta, amacam dakwah? ok?, berapa orang dah yang enta dah Islamkan?" kata saya berjenaka,

"hahaha" semua tergelak dengan style tersendiri.

gelak dan ketawa akan memecah kekakuan kami setiap kali pertemuan yang jarang-jarang,

dan mereka menjawab:

"haa, ok jer, masih dalam urusan dakwah, tidak ada masalah. enta sibuk-sibuk tanya orang ni, yang enta ni, dah berapa banyak masalah feqh yang dah diselesaikan?"

haha, tersengih secungkil gigi saya dibuatnya, jangan kata 'telah', entah berapa banyak yang mampu saya selesaikan masalah-masalah baru ketika itu, nak keluarkan hukum pun masih takut-takut.

Alhamdulillah, susunan takdir Allah swt sangat manis, Dia mentakdirkan saya menamatkan pengajian dengan pengkhususan Syariah, dan ilmu dakwah saya perolehi secara praktikal, dengan bergurukan beberapa pendakwah, saya ikut ke mana sahaja mereka pergi semata-mata untuk mempelajari teknik dakwah.

Benar, dakwah ini bukan sesuatu yang mesti diperolehi sekadar teori, praktikal adalah sesuatu yang sangat utama, mungkin ilmu kita banyak, tetapi untuk diaplikasikan kepada masyarakat tidaklah semudah ABC. Masyarakat adalah pelbagai, bukan kata perangai, malah cara penerimaan mereka terhadap dakwah juga adalah berbeza, dari aspek gaya bahasa mahupun tawanan jiwa.

Teknik-teknik baru akan dipelajari dari semasa ke semasa, apa yang penting adalah kita jangan takut untuk mencuba. Kesilapan besar ahli agamawan dalam berdakwah ialah mereka sangka ceramah dan tazkirah sudah mencukupi, jadi bagaimana dengan mereka yang berceramah sekadar "melepas bato' ditangga?" ia mesti dimuhasabah sebaiknya.


Dicop sekular.

Ketika giat aktif berdakwah di Malaysia, saya merasakan keperluan untuk berdakwah secara logik akal amat perlu, oleh itu kebanyakkan apa yang saya sampaikan lebih kepada tarikan berdasarkan akal, tidak banyak dalil-dalil 'Naqli' (Al-Quran dan Assunnah) yang saya kemukakan ketika memberi 'talk'.

Sehinggalah saya dicop sekular oleh beberapa teman, mana tidaknya, lihat sahaja kepada blog ini, namanya saja menunjukkan seperti saya ini tidak ke arah Islamic, sehinggakan pernah suatu ketika orang bertanyakan kepada saya, apa bendanya maksud Analisis Minda ni?

Saya kata, jangan begitu mudah cop saya itu dan ini, cuma kebetulan masyarakat yang mendengar 'talk' saya difikirkan tidak memerlukan begitu banyak dalil 'Naqli'.

Saya akui, selepas itu saya agak suram sedikit dari dunia dakwah untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar kepada saya, dan sehinggalah kini, selepas pertemuan dengan dua muallaf yang hebat berhujah dalam perbandingan agama membuatkan saya lebih yakin untuk terus menggunakan dalil-dalil akal, tetapi tidak pula keterlaluan, hanya mengikut kesesuaian.


Interaksi Akidah.

Saya ingat selama ini feqh dan dakwah sudah cukup untuk diaplikasikan kepada masyarakat, ternyata satu lagi yang dicicirkan dari landasan ilmu saya ialah ilmu akidah. Persoalan akidah masih lagi lemah dari aspek penguasaan.

Memang benar, Allah swt telah memerintahkan baginda SAW untuk menanam akidah ke jiwa masyarakat arab selama hampir 13 tahun sebelum memulakan hukum dan hakam dalam Islam. Cuma saya yang masih tidak jelas apa itu tanaman akidah ke dalam jiwa manusia sebelum mereka didakwah untuk menjiwai hukum-hakam dalam agama.

Tetapi dalam pertemuan bersama Brothers Shah Kirit dan Lim Jooi Soon membuka minda saya dengan seluasnya bahawa Feqh bukanlah segalanya, akidah juga mesti diutamakan. Baru saya faham, mengapa selama ini masyarakat kita terlalu susah untuk menjalankan hukum-hakam Islam sedangkan pelbagai jenis ahli agamawan sudah mengajar, samada di Masjid, di Surau, di Media-media, secara rasmi mahupun tidak.

Ini kerana akidah mereka masih ditengah-tengah antara mahu dan tidak mahu.

WaAllahu a'alam...

__________________________

Perjalanan hidup masih panjang, masih banyak yang perlu dipelajari, saya belum tahu jika ada lagi beberapa ilmu lain yang mesti dikuasai, didoakan semoga Allah swt menemukan saya kepadanya, amennn...

Mahasiswa Jordan; Akses Pemikiran Islam

Alhamdulillah berlangsunglah sudah sebuah program yang pada saya perlu didedahkan kepada mahasiswa Jordan selaku penuntut ilmu di bumi Isra' yang bakal membawa ayat-ayat Allah serta sunnah-sunnah rasulNya untuk disampaikan kepada masyarakat Malaysia khususnya.

Walaupun programnya hanya sehari namun ia tetap memuaskan sekadar apa yang ada untuk mencapai pelbagai objektif yang disusun oleh pihak penganjur. Apalah hak saya untuk komen dari aspek perlaksanaan program kerana saya juga belum pernah menguruskan projek-projek sebegini.

Namun tidaklah bererti penulisan kali ini untuk memberi komen mengenai perjalanan dan perlaksanaan program, cuma beberapa perkara atau ulasan isi program yang difikirkan perlu sekadar pengisian penerima.

Ringkasnya, saya sangat enjoy dengan aktiviti-aktiviti yang disusun penganjur, modulnya mungkin sama, tetapi pengolahan yang berbeza memberi saya lebih banyak idea sebagai satu persediaan wasilah dakwah suatu hari nanti.

Lama benar tidak menjadi peserta untuk sesuatu program, ikhlasnya, saya lebih suka untuk menjadi peserta kerana ia lebih enjoy daripada menjadi penggerak yang hanya memeningkan. Bagaimana dengan anda, setuju atau tidak?


PENYERTAAN.

Percayalah, dalam mana-mana program juga sudah pasti mengalami masalah penyertaan untuk mencapai sasaran seperti yang ditetapkan, tetapi bagaimana untuk menarik minat itu mungkin boleh difikirkan lagi.

Mereka yang tidak hadir tidak banyak sebabnya, malas dan membosankan mungkin satu momokan psikologi yang perlu direndahkan martabatnya. Tertarik dengan pantun tuan pengarah, cakap kat luar lebat, mengapa takut untuk hadir ke API (Akses Pemikiran Islam)?

Saya perasan juga seorang dua mahasiswa Jordan khususnya di Mutah yang 'cakap memang nak rak', 'gebang lebih', banyak perkongsian di ruangan-ruangan FB, pelbagai posting yang mereka rasa sudah cukup untuk dilihat hebat berbanding orang lain, padahal, posting-posting itu sudah basi bagi saya. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya mereka melatih diri untuk menjadi daie. Syabas, teruskan usaha kalian.


You will get back on what have you given.

Malangnya mereka yang lebih-lebih ini pula yang tidak hadir ke program. Pada saya mereka yang tidak hadir ke program merupakan ciri-ciri bakal ustaz-ustazah yang akan ditolak masyarakat. Kasar ke ayat ni? tidakkan...

Pancaran yang hebat dari seorang da'ie daripada program API ini sudah dapat dilihat aplikasinya sebelum program ini bermula lagi, dan inilah antaranya. Mereka memang tidak berminat untuk benda-benda sebegini. Mereka tidak meraikan mereka yang lain, jumud, fobia atau sebagainya.

Terpulanglah, pancaran mereka jelas kepada orang lain, mereka tidak meraikan masyarakat, pada anda, apakah orang sebegini akan diterima masyarakat? tentu tidak, bahkan mereka ini akan jauh dari masyarakat.

Bukan kata mereka yang berilmu tinggi, bahkan mereka yang biasa-biasa juga amat tidak menyukai mereka yang 'cakap tidak serupa bikin'. Ternyata ahli agamawan ini menghina diri sendiri.

Jadi percayalah, apa yang kita pancarkan, itulah yang kita akan dapat balik, apatah lagi dalam bab-bab yang abstrak.

Firman Allah swt:

"Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri..... "

Al-Israa' : 7


Cinta tidak berbalas.

Pancaran yang mulia pasti dibalas mulia. Tapi bagaimana rasanya apabila cinta kita tidak dibalas? pasti ramai yang berputus asa. Masyarakat yang terlalu memandang tinggi pada golongan agamawan ini pasti akan membalas benci sekiranya cinta mereka tidak dibalas, mereka menyanjung kita sebagai ahli agamawan tetapi kita membalas dengan 'kalau aku yang cakap, ceramah, ok aku datang, kalau tak aku duduk rumah'. Jelas bukan.?


You being on your trust.

Percaya dan yakinlah pada diri sendiri bahawa kitalah orangnya. Ya, dengan kepercayaan sebegitulah yang akan membuatkan akses pemikiran kita melahirkan gerakan yang akan menumpu pusat kepada kepercayaan tersebut.

Puak Qurdish satu masa dulu pernah mengalami kemunduran selepas mereka jatuh dijajah, bagaimana mereka bangun semula? Ya, dikalangan mereka pernah bangun dan berkata " kita bukan bangsa yang hina, kitalah bangsa pejuang agama, lihatlah kepada moyang kita Salahuddin Al-Ayubi, beliau pejuang agama, beliau telah membangunkan Islam, mengapa tidak kita?"

Dengan kata-kata ini dan kepercayaan mereka bahawa mereka boleh bangkit kerana pernah ada dikalangan mereka yang melakukan, maka benar, mereka telah bangkit dan membangun semula.

Jadi, percayalah pada diri sendiri, ia motivasi yang kuat buat semua.

Kesimpulannya, Akses Pemikiran Islam ini melatih kita untuk berfikir dalam keadaan mesra Islam. Jadilah apapun, jurutera, peguam, hakim, doktor, hatta apa saja pekerjaan kita, kita akan tersusun hidup dengan panduan Islam apabila kita mesra Islam.

Tolong dulu agama Allah, maka Allah akan menolong kita dan memberi kemenangan dalam pelbagai bentuk.

"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang. "

Ass Saff : 14


Ada beberapa modul lagi yang tidak diulas, tetapi dengan apa yang ada, semoga kita mengambil manfaat daripadanya.


CUMA.

Apa yang saya sangka, faham dan harapkan daripada program API sebenarnya adalah satu pendedahan kepada pemikiran atas goyahan dan kekacauan dek tujahan barat seperti serangan pemikiran barat dan campur aduknya yang berlaku dalam Islam. Mengikis sifat taksub, fanatik, dan mungkin pecahan-pecahan pemikiran Islam. Pecahan atas dasar jemaah, politik, perlembagaan, asasi dan sebagainya.

Juga bagaimana kita berfikir hatta menyampaikan pemikiran Islam itu kepada masyarakat. Sesuailah dengan tajuknya iaitu Akses Pemikiran Islam. Apa yang kita akseskan adalah pemikiran yang berpusatkan Islam. Tetapi apa yang ada, sekadar itulah kita menerimanya. Walaubagaimanapun program yang berlangsung adalah baik, satu ilmu yang baru, cuma mungkin apa yang dibincangkan adalah tidak setepat tajuk.

WaAllahu a'alam...

Aku Bukan Seorang Ustaz.

Membaca penulisan terkini daripada individu yang tidak asing lagi dikalangan kita Al-Fadhil Al-Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (UZAR) membuatkan saya berfikir sejenak, penulisan beliau yang lahir dari benak hati setelah menghadiri majlis Ilmu bersama ulama' terkemuka membuatkan saya juga turut merasakan aura tersebut sehingga merasakan diri yang sedia kerdil ini benar-benar bertambah kerdil.

Ada benarnya, acuan untuk mengatasi serangan dan mendamaikan antara ahli agamawan yang berfikir mengikut acuan tempat mereka belajar semata tanpa menerima pandangan dari pusat pengajian yang lain, bahkan ada segelintir yang memperkecilkan tempat pengajian yang lain perlu dilakukan oleh seseorangan yang diakui cerdas mindanya sejak zaman sekolah rendah lagi bahkan mesti dihormati dan diakui ilmunya oleh kebanyakkan ahli agamawan.

Begitulah betapa telitinya pandangan beliau untuk membentuk acuan kelahiran ulama' yang disegani khususnya Malaysia. Acuan yang hebat dan mahir dalam selok belok agama Islam mencerminkan kesungguhan beliau untuk mengelakkan perpecahan dikalangan mereka yang mengaji di Timur Tengah khususnya. Saya tidak pasti perbalahan yang bagaimana, kerana berdasarkan pengalaman saya, mereka yang saya jumpa rata-ratanya lepasan dari pelbagai IPT seperti Mesir, Madinah, Sudan, Afrika, India, Pakistan, Yaman dan pelbagai lagi tidak pula menunjukkan keegoan ilmu masing-masing, bahkan jika terdapat kekhilafan mereka sangat meraikan ilmu mereka yang lain. Tetapi, mereka-mereka yang saya jumpa itu mungkin graduan lulusan 20-30 tahun lepas. Mungkin juga UZAR bermaksudkan dan menfokuskan masalah itu kepada ustaz-ustaz (graduan) yang baru-baru ini. WaAllahu a’alam, itu saya tidak pasti.

Tetapi itulah hakikat mentaliti kita rakyat Malaysia, tidak mudah mengiktiraf ilmu orang lain hanya kerana satu atau dua kekhilafan yang berlaku dan tidak disetujui sama sekali. Seperti kata UZAR lagi, tidak setakat itu perlakuan para ustaz kita, bahkan ada yang mem'bantai' ustaz lain di dalam surau dan masjid sehingga menyebabkan berlakunya kekeliruan dan kecamukan minda masyarakat setempat yang benar-benar mengharapkan para ustaz ini untuk membimbing mereka. Akhirnya meninggalkan satu pertanyaan tanpa jawapan dikalangan masyarakat, yang mana satu betul ni?



Panggilan Ustaz.

Jika diteliti semula melihat kepada kebiasaan rakyat Malaysia yang terlalu mudah memanggil seseorang dengan panggilan 'ustaz'. Hatta pelajar yang baru sahaja memasuki sekolah menengah agama yang walhal baru sahaja berada di tingkatan satu kita sudah memanggil mereka dengan gelaran 'ustaz'.

Mudahnya, apabila pelajar sekolah agama pulang ke kampung, berkopiah, atau berjubah maka gelaran ustaz akan melekat pada dirinya. Jika dilihat dari satu sudut yang lain pula pelajar lepasan SPM yang mengajar di sekolah-sekolah rendah agama samada sementara menunggu panggilan ke universiti atau memang niat mengajar kerana menghadapi masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran juga kita sudah memanggil mereka dengan gelaran ustaz. Hakikatnya, begitulah mentaliti kita, ustaz adalah mereka yang berkopiah, mengajar agama, berjubah, sehinggakan pakcik-pakcik yang berjanggut juga dipanggil ustaz.

Pernah suatu ketika saya mengajar di sekolah kebangsaan, saya hanyalah guru Bahasa Melayu dan mengajarkan beberapa subjek bukan major saya seperti matematik, sukan, dan bahasa arab, malah saya juga turut mengambil alih tugas seorang ustazah yang sedang cuti bersalin mengajarkan subjek Pengajian Islam. Bukan sahaja kerana saya mengajar subjek pengajian Islam dan Arab, bahkan yang dahulunya pelajar-pelajar memanggil saya dengan gelaran 'cikgu', tiba-tiba bertukar kepada panggilan 'ustaz' hanya kerana kebetulan pada waktu temasya kesukanan sekolah tersebut saya diminta oleh guru besar untuk membacakan doa pembuka.

Bukanlah maksud saya untuk tidak meraikan panggilan ustaz tersebut, cuma saya berpandangan bahawa janganlah mudah untuk kita memanggil seseorang itu dengan gelaran ustaz, secara jujurnya saya juga kurang suka orang memanggil saya ustaz walaupun saya belajar di bidang Syariah. Kerana saya lebih mengetahui apa yang saya lakukan ketika di zaman kanak-kanak dan remaja, dan ia membuatkan saya malu untuk dipanggil ustaz.


Di negara-negara arab, 'ustaz' itu bermaksud professor, sehinggakan ada seorang pensyarah berkata, "tidak pernah aku melihat ustaz (professor) yang begitu ramai di sesebuah negara kecuali di Malaysia," dengan sinisnya.



Nama Ustaz Menjadi Buruk.

Sama nasibnya seperti gelaran 'guru' yang suatu ketika dahulu sangat dihormati sehinggakan adakalanya kata-kata guru lebih didengari daripada kata-kata ketua kampung. Kini di Malaysia gelaran ustaz ini menjadi sedikit buruk kerana beberapa individu yang tidak selayaknya dipanggil ustaz tetapi kita gelarkan mereka ustaz, kesnya, seperti 'ustaz mencabul murid', 'ustaz berkhalwat', juga kes 'ustaz menipu dalam skim pelaburan atau MLM'.

Bila perkara sedemikian terjadi, mulalah kita menunding jari menyalahkan pihak-pihak ustaz, sehinggakan ustaz kini sudah tidak lagi dihormati oleh masyarakat, hatta yang mampu menilai sama ada seseorang itu ustaz ataupun tidak hanyalah ustaz (ahli agamawan) itu sendiri.


Ulama' Tersembunyi.

Sebenarnya, ciri-ciri BAKAL ulama’ (selepas ini saya akan gelarnya ustaz) seperti yang disebutkan oleh UZAR ada di Malaysia, tetapi kerana beberapa masalah yang berlaku benar-benar menguji ustaz tersebut. Mungkin saya silap menilai, tetapi mungkin ada benarnya juga, saya pernah jumpa beberapa orang yang boleh dikatakan mahir dalam pelbagai bidang. Tafsir, hadith, feqh pelbagai mazhab, dakwah, hatta bahasa arabnya juga sangat mantap.


Ustaz pertama.


Ketika saya mengajar di sebuah sekolah rendah agama yang mana dalam sekolah tersebut hanya ada 3 orang guru lelaki termasuk saya, saya sempat berkenalan dengan seorang ustaz yang umurnya lebih 6 tahun daripada saya. Pada mulanya ego saya hanya memberi pandangan biasa sahaja kepada ustaz tersebut kerana mengetahui beliau hanyalah guru agama lepasan SPM sedangkan saya lepasan IPT tempatan. Tetapi pandangan saya berubah hanya selepas saya bersembang dengan beliau, bahasanya cantik, ulasannya padu, huraian hadithnya mantap dan rupa-rupanya ustaz ini merupakan bekas pelajar yang telah belajar 10 tahun lamanya di Yaman. Jadi mengapa ustaz ini memohon pekerjaan sebagai guru sekolah rendah agama dengan menggunakan SPM sedangkan dia mempunyai Ijazah? Ya, itulah jawapannya, dia memiliki sebuah Ijazah yang hanya kerana Ijazah tersebut tidak di iktiraf di Malaysia.


Namun jauh di raut muka dan matanya seperti ada sesuatu yang cuba dirahsiakan untuk tidak memberi tahu saya dari mana lagi tempat dia menuntut ilmu. Saya cuba untuk mencungkil rahsianya tetapi tidak berjaya, ternyata ilmu kalamnya begitu tinggi. Dia tidak dapat lagi meneruskan ke tahap kerjaya yang lebih tinggi, ujian Allah sangat besar padanya, mungkin sudah qada’ dan qadarnya begitu. Kadang-kadang saya terfikir juga, beruntungnya pelajar-pelajar sekolah rendah menuntut ilmu dengan seorang guru yang tinggi ilmunya, apa yang boleh dilakukan, mereka bukan tahupun, kanak-kanaklah katakan.


Namun peluang disitu tidak saya lepaskan, setiap kali waktu rehat kami, saya manfaatkan secukupnya untuk mempelajari beberapa ilmu (tanpa formal) dengan beliau. Saya terpaksa akui, bukan sahaja bahasa arabnya yang fasih, malah ulasan hadith, huraian tafsir juga begitu padu untuk didengari. Saya juga cuba sembang bab-bab yang berkaitan bidang saya, iaitu feqh dan dakwah, dan acap kali isu-isu semasa yang terjadi di Malaysia, saya cuba untuk mendapatkan pandangan beliau, saya membalas hujah dan ternyata, ilmu dakwahnya bahkan ilmu feqhnya juga begitu kemas dari aspek hujah beliau. Semoga kita bertemu lagi.


Ustaz kedua.


Ustaz ini saya ketemu ketika di sebuah program, sepanjang seminggu berprogram bersamanya saya tidak sempat bersembang lama dengannya, terikat dengan masa, adakalanya senggangan waktu yang sekejap itu saya curi-curi untuk mendapatkan sedikit ilmu. Ustaz ini merupakan bekas pelajar yang telah belajar di Pakistan sehinggakan tamat Sarjana Mudanya di sana, kemudian beliau menyambung ke peringkat Master di India. Semuanya dihabiskan masa lebih 10 tahun lamanya untuk mendapatkan ilmu setinggi itu, tetapi pengajiannya tergendala kerana sijil-sijilnya yang tidak diiktiraf.


Alhamdulillah rezekinya murah, beliau kini merupakan penceramah bebas yang tidak berapa dikenali ramai, beliau hanya mengambil semula B.A di IPT tempatan untuk mendapatkan iktiraf, lalu berceramah dengan sijil tersebut. Dengan kesempatan yang tidak seberapa ada, saya hanya dapat menimba beberapa ilmu (tanpa formal) dengan beliau. Semoga kita bertemu lagi.


Mungkin ada ramai lagi di luar sana yang kita tidak tahu, mereka sangat juhud menuntut ilmu, kadangkala pertemuan bersama mereka saya kenang-kenangkan untuk memotivasikan diri sendiri apabila terasa niat dihati sedikit terpesong dari tujuan asal untuk belajar sehingga melintasi laut Malaysia. Semoga Allah memberi hidayah dan petunjukNya.



Dua Golongan Pelajar Agama.

Pertembungan dua kekhilafan berlaku daripada rataan golongan yang belajar agama. Kepelbagaian latar belakang membuatkan kita saling kali khilaf. Memang khilaf tidak menjadi kesalahan di sisi agama, tetapi bagaimana untuk meraikan kekhilafan dengan minda yang terbuka, di situ ada masalahnya.


Guru saya pernah sebut, golongan yang belajar agama ini terbahagi kepada dua, yang pertama adalah PESAKIT, dan yang kedua adalah golongan PERAWAT.


Dulu, kini dan mungkin selamanya SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA DIANGGAP SEPERTI SEBUAH HOSPITAL di Malaysia, ia menjadi tumpuan ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka yang bermasalah dengan harapan anak-anak ini akan berubah kerana bimbingan dan suasana serta budaya Islam yang di amalkan oleh sesebuah sekolah. Tidak layak memasuki sekolah tajaan kerajaan, sekolah-sekolah swasta menjadi sasaran yang kononnya untuk membantu ibubapa yang kebingungan dengan sikap anak-anak yang bermasalah ini.


Sekolah saya antaranya yang menjadi sasaran tersebut. Berdasarkan pengalaman saya, pelajar yang bermasalah ini bukanlah tidak pintar, adakalanya keputusan mereka sangat cemerlang kerana terdapat dikalangan mereka yang markahnya cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (macam UPSR) jika hendak dibandingkan dengan saya.


Tetapi, TSUNAMI KERUNTUHAN AKHLAK REMAJA yang berlaku di zaman 90an iaitu zaman persekolahan saya dahulu di mana pada zaman itu baru munculnya istilah rempit, budaya punk, hip hop, mudah mendapatkan vcd lucah membuatkan golongan yang dikatakan bermasalah semakin hari semakin meningkat, dan mereka telah membanjiri sekolah-sekolah agama sehingga menyebabkan golongan yang satu lagi (PERAWAT) menjadi golongan minoriti bahkan hampir-hampir sahaja kami pula yang terpengaruh dengan mereka.


Saya pasti, keruntuhan akhlak pada zaman itu tidak sahaja memberikan kesan kepada sekolah saya semata bahkan sekolah-sekolah yang lain juga turut menerima tempiasnya. Saya pun tidak akui yang saya ini golongan PERAWAT, kerana pada mulanya saya juga tidak berminat untuk memasuki sekolah aliran agama kerana ’tidak bebas’ sebagai seorang remaja. Bahkan ’keputusan akademi’ saya juga lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan ’keputusan aliran agama’ bermula dari darjah enam, PMR dan sehinggalah SPM.


Sebenarnya terasa sangat bersyukur kepada Allah swt kerana dikurniakan ibubapa yang telah memaksa anaknya untuk memasuki sekolah aliran agama, kerana dari situ permulaan hidup saya bermula. Bagaimanapun bukanlah juga bermaksud saya ini golongan remaja yang bermasalah, cuma nakal-nakal remaja itu biasalah. Terima kasih sekali lagi kepada kedua ibubapa saya.


Golongan pesakit ini tidak banyak yang berjaya dipulihkan oleh sekolah-sekolah agama, kerana rata-rata sekolah terlalu fokus dengan silibus dan tumpuan untuk mendidik pelajar bagi mendapatkan markah yang cemerlang demi menjaga status sekolah masing-masing, menyebabkan mereka yang masuk sebagai pesakit keluarnya juga sebagai pesakit, bezanya jika dia masuk dengan ’kaki yang patah’ keluarnya dengan ’kaki yang berjengket’, tidak mampu untuk jalan dengan sempurna. Sekurang-kurangnya, ada juga bimbingan buat mereka. Dan saya percaya, antara perbalahan yang berlaku antara ahli agamawan melibatkan dua golongan ini. Bahkan jika berlaku sesama golongan pun, satu adalah kerana dia menggunakan ’feqh mudah’, dan satu lagi pula menggunakan ’feqh susah (ketat)’.


Saya rasa tidak perlulah saya menghuraikan golongan perawat, kerana mereka ini memang minat untuk belajar agama, keputusan yang cemerlang dari sudut aliran agama, cerdas minda dan cerdas akal. Tapi mengapa mereka tidak menjadi ulama' ...?



Peluang dan Ruang.


Mengapa Malaysia tidak melahirkan ulama’, perlu dilihat dari pelbagai sudut, ruang dan peluang banyak yang menyekat kelahiran ulama’ seperti yang kita inginkan. Taraf hidup moden, acuan pendidikan, peluang menyambung pelajaran, dan banyak lagi yang boleh difikirkan antara yang menyumbang kepada perkara ini. Dan sebagai tambahan, sejarah bagaimana individu itu membesar juga menjadi salah satu aspek yang perlu di ambil kira. Jika ada yang cerdas mindanya, mungkin mereka pula yang tidak berminat untuk menjadi ulama'.


Bahkan, kita sebagai rakyat Malaysia juga tidak meraikan para ulama' , dan itu juga boleh menjadi sebab dan membuatkan tidak ramai dikalangan pelajar-pelajar yang bercita-cita untuk menjadi ulama'. Dengan bahasa mudahnya, momokan psikologi.


Tidak pastilah di mana silapnya, jika hendak dikatakan kepintaran menjadi satu ukuran, pelajar pintar Malaysia yang memasuki Universiti Oxford sejak berumur 13 tahun telah menjadi pengajaran dan membuktikan bahawa kepintaran sahaja tidak guna untuk menjadi orang hebat. Mungkin sikap juhud menjadi ukuran yang tepat, mereka yang juhud dan cerdas dari aspek akal dan jasmaninya, kerana untuk menjadi ulama’, ilmu tidak dituntut di dalam universiti semata, tetapi ilmu yang ditalaqi juga menjadi kayu pengukur kepada tahap ulama’ seseorang. Bahan bacaan tambahan juga penting untuk meluaskan pandangan.


Pada saya, apa yang penting, sebagai seorang ahli agamawan, sikap keterbukaan untuk menerima pandangan orang lain adalah amat penting, kerana kejumudan kita hanya akan membuatkan kita tidak diterima ramai sekaligus menghalang usaha dakwah.


Masih ada banyak lagi yang ingin saya kongsikan, insyaAllah pada penulisan yang akan datang. Saya juga akui, banyak perkara yang telah saya padam semula sepanjang penulisan ini, semuanya kerana demi menjaga kemaslahatan dan mengambil langkah ’menutup pintu-pintu keburukan’ supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap pelajar-pelajar agama. Apapun saya mohon maaf kepada sesiapa yang merasakan perlu permohonan maaf dari saya.


WaAllahu a’alam...


_______________________


Bukanlah niat dihati belajar agama untuk digelar Ustaz,

Tetapi aku gunakan ilmu itu untuk memimpin diri sendiri,

Jika mampu, akan aku kongsikan kepada mereka yang memerlukan,

Tetapi melihat kebesaran Allah swt, menyanjungi RasulNya,

Mencapai matlamat fitrah kehidupan kepada sebab penciptaan,

Yang itu adalah lebih utama...

Dengan Nama Allah swt; Memimbing Kekeliruan Remaja Mumayyiz.

Mumayyiz, seseorang yang mampu untuk membezakan di antara yang baik dan yang buruk.

Ketika itu saya hampir sahaja mencecah ke umur 12tahun, tetapi masih kuat diingatan saya mengenai guru di Sekolah Rendah Agama yang mengatakan kami (merujuk kepada satu kelas) sudah pun dikira mumayyiz walaupun ada dikalangan kami yang masih belum baligh.

Saya tertanya-tanya, apakah itu mumayyiz, guru saya hanya menjawab bahawa mumayyiz itu adalah individu yang sudah mampu untuk membezakan di antara yang baik dan buruk samada untuk dilakukan atau untuk ditinggalkan.

Saya seperti tidak berpuas hati, sebabnya pada masa itu saya fikir saya masih lagi belum mampu untuk membezakan di antara yang baik dan buruk, sedangkan guru saya telah mengatakan kami yang baru berusia 12tahun sudah pun bergelar mumayyiz.

Betul, saya memang tidak faham dengan kata-kata guru saya mengenai mumayyiz, kerana pada waktu itu saya masih belum mampu untuk membezakan antara perkara baik dan buruk seperti yang dimaksudkan oleh guru saya tersebut.

Itu kisah dulu, ketika zaman persekolahan saya.

tetapi kini, dengan umur yang bukan sahaja hampir mengakhiri zaman remaja, bahkan sudah boleh bergelar bapa jika sudah sampai serunya, bersyukur kepada Allah swt kerana saya diberi kefahaman sedikit demi sedikit mempelajari untuk menempuh hidup sekaligus mengenali erti mumayyiz yang sebenar.

Entah bagaimana, saya sangkakan hanya saya sahaja yang terpinga-pinga di zaman sekolah rendah dahulu untuk memikirkan apa itu mumayyiz, tetapi rupa-rupanya masalah ini juga boleh dikatakan turut membelengu semua anak-anak yang sudah muayyiz.

Sehinggalah saya ditanya oleh pelajar-pelajar saya mengenai mumayyiz ini, tidak setakat itu, remaja yang belasan tahun, hatta umurnya sudah mencecah 20tahun pun masih tertanya-tanya apakah maksud disebalik kemampuan manusia untuk membezakan di antara yang baik dan buruk. Dan dari situ baru saya tahu bahawa saya tidak keseorangan terpinga-pinga untuk memahami maksud sebenar mumayyiz.

Memang mumayyiz bukan difokuskan kepada mereka yang bermula umur 12tahun, tetapi secara mudahnya peringkat umur mumayyiz adalah begitu. Cumanya, nafsu anak kecil yang terbawa-bawa oleh adik-adik kita membuatkan mereka kadang kala terlajak dalam menafsirkan perkara baik dan buruk. Sebab itu kadang kala mereka terlajak perbuatan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Mungkin kita juga begitu di zaman persekolahan dahulu.


DENGAN NAMA ALLAH SWT




Inilah yang saya katakan kepada mereka, untuk mengenal pasti sama ada sesuatu perkara yang ingin dilakukan adalah baik ataupun buruk, KUNCINYA adalah dengan lafaz nama Allah swt. Bismillah hirrahman nirrahim.

Ya, mulakan sesuatu perkara itu dengan lafaz bismillah, ramai yang mengetahui fadhilat memulakan pekerjaan dengan lafaz mulia ini, tetapi tidak ramai yang mengetahui hikmah disebalik pembacaannya untuk melakukan sesuatu perkara, kerana tidak mungkin kita akan melakukan perkara yang buruk dimulakan dengan nama Allah swt.

Ada ke orang yang apabila dia nak membunuh dia baca bismillah, lepastu dia pun bunuh orang...?

tiada...

Ada ke orang yang apabila nak berzina dia akan mulakan dengan bismillah, lepastu dia pun berzina...?

tiada...

Ada ke orang yang apabila dia nak sentuh tangan orang yang bukan dari ahli keluarganya (yang mahram) yang mungkin kononnya kekasih dia akan mulakan dengan bismillah...?

tiada...

Ada ke orang yang apabila dia nak mencarut kepada kawannya yang lain dia akan mulakan dengan lafaz bismillah...?

tiada...

Hatta, jika perkara itu boleh dimulakan dengan bismillah seperti mandi sungai, sedangkan ibu atau bapanyanya melarang dia untuk mandi di sungai, maka secara automatik, lafaz bismillah tidak terbaca sebelum terjun ke sungai.

Lihat, inilah panduan kita untuk membezakan antara perlakuan baik dan buruk, hanya dengan lafaz bismillah hirrahman nirrahim sudah cukup untuk membimbing kita mengenali yang mana satukah perbuatan yang baik untuk dilakukan dan yang mana satukah perbuatan yang buruk untuk ditinggalkan.

Ingat, kerana tidak mungkin kita akan memulakan sesuatu pekerjaan, perlakuan yang buruk dimulakan dengan lafaz nama Allah swt bismillah hirrahman nirrahim.

Semoga ini menjadi panduan buat kita semua.

WaAllahu a'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...