Advanced Search

Custom Search

Followers

Antara Hukum dan Dakwah [1]

Gambo Hiasan Ajerrr...


Tahukah anda akan kewujudan Filem Syukur 21? Atau, masihkah anda mengingatinya?

Sebuah Filem yang diterbitkan pada tahun 2000 ini dimuatkan dengan unsur-unsur Islam yang mana dibintangi oleh kumpulan nasyid yang terkemuka pada ketika itu iaitu kumpulan Raihan. Alasan mereka ia merupakan salah satu cabang dakwah.

Biarpun Filem ini mengandungi unsur-unsur Islam yang cuba diserapkan ke dalam lakonan, namun masih lagi saya ingat bahawa Filem ini juga mendapat tentangan oleh beberapa ilmuan Islam tentang lakonan yang dihukumkan haram dengan berhujahkan ’yang haram tetap haram’ dan ’matlamat tidak menghalalkan cara’ serta dalil-dalil lain. Namun ada juga yang menyatakan persetujuannya. Bagi mereka yang ada ketika zaman itu pasti mereka tahu bagaimana fenomena ini berlaku dan berlalu.

Bagaimana pula dengan perubahan muzik yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan nasyid pada sekitar tahun 2001-2003? Pada mulanya kemunculan mereka hanya berlatar muzikkan alatan muzik yang kebanyakkannya berasal daripada India dan Turki seperti bonggo, yanki, rebana, dan yang seangkatan dengannya.

Peredaran zaman demi zaman membuatkan sedikit demi sedikit alatan muzik berunsur tali telah dimasukkan ke dalam muzik iringan lagu-lagu nasyid, bahkan berlakunya juga revolusi yang dilakukan oleh kumpulan nasyid Rabbani yang mana telah mengikat kontrak bersama kumpulan KRU untuk menghasilkan lagu-lagu yang digemari oleh kebanyakkan orang muda. Rancak dan menggegar jiwa.

Dan pada ketika itu berlaku sekali lagi cakap-cakap antara ilmuan agama yang berpandangan dengan lagu-lagu nasyid tersebut. Pelbagai hujah telah dikeluarkan, seperti biasa perselisihan berlaku antara alasan dakwah dan hukum-hakam. Pendek kata, sekitar era itu, ia menjadi topik perbualan yang hangat antara ilmuan agama termasuklah masyarakat awam.

Hakikatnya, kekeliruan antara hukum dan dakwah telah mengikat pemikiran kita dari berkata bebas mengenainya. Pelbagai pendapat oleh ulama’-ulama’ mu’asaroh (semasa) menjadi topik bualan, sehingga mereka dilabelkan sebagai longgar dan ketat pada sesuatu hukum.

Kadang-kadang saya bertanya sendirian, APAKAH DAKWAH SENTIASA DIJADIKAN ALASAN UNTUK HUKUM BERSIFAT LONGGAR DENGAN MASYARAKAT? Semata-mata bertujuan menarik minat ramai untuk mendekati Islam dan sebagainya? Alasan kita supaya masyarakat faham Islam dan mendekati Islam. Saya bertanya, apakah Islam yang dimaksudkan oleh kita?

Adakah untuk masuk Islam? Atau mengikut suruhan Islam?
Adakah kita berdakwah pada akidah Islam? Atau berdakwah pada zahiriah Islam sekadar bersifat baik, berdisiplin dan memenuhi akhlak ajaran Islam?

Mungkin akan ada yang berkata, mulakan dengan mereka faham Islam, kemudian biar mereka nampak Islam itu indah dan mudah, kemudian baru suruh mereka melakukan suruhan Allah swt. Jawapan kita pelbagai.

Saya akui cabaran pendakwah kini semakin besar, dahulunya dakwah hanya menyeru orang bukan Islam kepada Islam, dan memberi tazkirah kepada orang Islam untuk sama-sama kekal berada di dalam keimanan, tetapi tidak pula bagi zaman kini, dakwah bukan sahaja untuk menarik yang bukan Islam untuk menuju Islam, bahkan dakwah juga dilakukan kepada orang Islam yang tidak mengikut Islam secara keseluruhan atau beragama Islam dan mengikuti ajaran Islam pada bab-bab tertentu.

Saya tidak fikir dakwah kita hanya untuk menyedarkan masyarakat supaya tidak melakukan maksiat, tetapi dakwah kita juga meliputi aspek perlaksanaan suruhan Allah swt yang termaktub pada 5 rukun Islam yang tentunya berkait rapat dengan akidah.

Masing-masing punya dalil kepada tegakan hujah tersendiri, tetapi pada saya, benda khilaf ini boleh dikategorikan sebagai syubhah, dan benda syubhah, tidak perlulah di tonjolkan, petik sahaja gitar secara tertutup, kerana jika kita menonjolkan benda syubhah, kita seolah-olah menghalalkan ia, sedangkan ulama’ yang membenarkan sekalipun hanya mengatakan ia adalah ’dibolehkan’, tetapi tidak sampai mengatakan ia ’mengharuskan’, dan dua perkataan ini punya perbezaan yang cukup ketara.

Pokoknya, saya bimbang jika kekeliruan ini berlaku pada ilmuan agama sendiri sehinggakan kita sendiri tidak dapat membezakan antara nilai Islam dan kelonggaran dakwah.

Nasihat saya ’kepada’ dan ’untuk’ saya, juga kita, ”jangan sampai hilangnya keistimewaan Islam hanya kerana alasan dakwah.”

Tanya pada diri, apabila kita beralasankan dengan alasan dakwah, apakah benar kita beralasankan dakwah, atau kita sebenarnya melonggarkan untuk manfaat diri kita sendiri?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...