Advanced Search

Custom Search

Followers

Peringatan Sesama Sahabat; Tanda Ukhuwah.

Sebenarnya, saya dalam tempoh menyiapkan penulisan ilmiah untuk dihantar ke Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ), apatah lagi masih berbaki dua kertas untuk ujian kedua universiti, tidak tahulah sama ada mampu untuk disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan ataupun tidak, saya perlukan booster untuk anjakan ini, semoga Allah swt menemukan ia dan semoga semuanya dipermudahkan Allah swt.

Namun dalam masa yang sama, saya juga terasa ada kurangnya jika tidak merebut kesempatan untuk menulis dan memberi sedikit peringatan kepada sahabat-sahabat pengunjung blog ini, apatah lagi di hari Jumaat yang penuh dengan berkat dan manfaatnya menjadi bukti sebagai salah satu usaha kita menuju kepada kebaikan untuk diperbandingkan dengan hari semalam.

Bercakap mengenai perkongsian, sukalah saya mengatakan bahawa betapa pentingnya sseebuah perkongsian. Ketepikan segala sangkaan negatif, lupakan ego buat sementara, apa yang perlu hanyalah sebuah perkongsian.


Perkongsian untuk kita memperingati sesama kita, sama ada duduk semeja, selepas solat, atau ketika bersembang, selitkan sedikit unsur ketuhanan. Itu sudah cukup untuk memastikan setiap pertemuan ada pahalanya dan tidak menjadi sebuah pertemuan yang sekadar biasa. Ingatlah bahawa dengan cara itu bukti tanda kita berkasih sayang.

1- Kita tidak dituntut untuk mendampingi seorang sahabat sahaja, bersama-sama walau ke mana, tetapi ingat, sahabat yang pelbagai memberi kita seribu satu pengajaran untuk menghadapi manusia.

2- Caranya juga pelbagai, peringatan secara serius, biasa, ataupun melawak tidak menjadi masalah. Apa yang penting, peringatan yang kita berikan, menberi manfaat kepada diri kita dan bukan untuk mereka semata.

3- Peringatan ini adalah pertemuan antara hati ke hati dan bukannya sekadar dari mulut ke telinga. Sebab itulah pentingnya keikhlasan jiwa kita untuk menyampaikan sesuatu, supaya ia lekat dan bukan sekadar singgah.

Jadi, marilah sama-sama kita memeriahkan apa sahaja perhubungan kita dengan peringatan, tidak kira sesama sahabat sejantina, mahupun yang bukan sejantina seperti tunang dan sebagainya.

Apa yang penting, setiap peringatan itu moga dinilai sebagai ibadat yang bakal memberikan kita ribuan kemanisan iman, dan kelazatan taqwa.

WaAllahu a'alam...

Firman Allah swt dalam surah Ali-Imran:

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman, (iaitu): "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu", maka kamipun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbakti." 3:193

Etika Emosi vs Etika Birokrasi.

Hasil daripada perbincangan saya bersama sahabat, dua perkara utama yang perlu dipertimbangkan oleh remaja intelek zaman ini untuk diperkuasai ialah pengurusan etika emosi dan etika birokrasi.

Mudahnya, etika birokrasi kita boleh pelajari melalui pengurusan dan pengalaman melalui kesatuan dan kepimpinan ketika berada di alam pembelajaran sebagai seorang mahasiswa. Penguasaan ilmu ini boleh dikatakan sangat penting kerana setiap pengurusan kita walau di mana sahaja kita perlu memahami konsep birokrasi, mereka yang tidak mampu untuk menguasai birokrasi ini tidaklah ada bezanya antara kita dan mereka yang tidak berkesempatan untuk bergelar mahasiswa.

Etika ini membolehkan kita memahami selok belok pengurusan untuk kemudahan sesuatu urusan, sama ada kita menghadapi birokrasi ataupun kita yang mencipta birokrasi. Mungkin ada lecehnya, tetapi sistem ini cukup memberikan impak yang besar dalam pengurusan yang melibatkan perkara-perkara utama sebagai teraju.

Etika emosi pula perlu kita kuasai juga melalui kehidupan dan pengalaman. Mereka yang telah merasa lebih mengetahui akan 'rasanya' berbanding mereka yang sekadar mengetahui tetapi tidak merasai. Mereka yang sudah merasai sesuatu bentuk emosi, samada emosi marah, geram, sabar, sunyi dan mungkin pernah merasai difitnah dan sebagainya lebih mudah menceritakan formula untuk memahami dan menghadapi etika emosi ini.

Berbanding mereka yang sekadar tahu, tetapi belum merasainya sendiri, maka formula yang diberitahu apabila ditanya bagaimana untuk menghadapi sesuatu bentuk emosi hanyalah sekadar formula yang diciplak, tidak asli dari pemilik diri yang sebenar.



Jadi, untuk menguasai kedua-dua etika ini wajib ke atas kita untuk menempuhinya sendiri. Sebab itu suka sangat saya mengatakan bahawa apabila terdapat sesuatu kesukaran, adalah tepat jika kita bertanyakan kepada mereka yang berpengalaman, tetapi menjadi satu kesalahan yang boleh dikesali apabila kita menyuruh mereka yang berpengalaman untuk melakukannya.

Hadapi sendiri, yakin diri, untuk peringatan saya, dan peringatan anda, supaya sama-sama kita mengusai kedua-dua etika ini yang pasti membolehkan kita pergi lebih jauh di dunia ini sebagai persediaan untuk menghadapi akhirat nanti. Mudah-mudahan. Amennn.

Firman Allah swt:

"Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa menghendaki pahala dunia, niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat itu. Dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur"

Ali-Imran 3:145

WaAllahu a'alam...

Memahami Konteks BAHASA Buat Pengkhususan Pengajian Islam.

Tahukah kita, betapa pentingnya untuk memahami konteks setiap perkataan yang dilafazkan. Sebagai pelajar agama, memahami sesuatu maksud perkataan adalah amat penting dalam menilai hukum dan meraikan kekhilafan yang berlaku antara dua insan.

Melihat kepada kes terkini di antara Tuan Zainul Rijal, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Mufti Perlis Dr. Juanda, saya terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan sekadar yang termampu dengan keterbatasan ilmu yang saya miliki.

Baca kes mengikut turutan : Dr Juanda , Tuan Zainul Rijal


Perlunya Memahami Bahasa.

Pada saya, masalah ini timbul disebabkan masalah bahasa. Di dalam pengajian Islam bahasa amat penting untuk kita memahami maksud sesuatu perkataan. Penafsiran bahasa sangat diambil berat oleh para ulama sebelum memahami konteks ayat-ayat Al-Quran dan Hadis untuk diterjemahkan mesra dengan Maqosid (tujuan) Syariah itu sendiri.

Ya, saya bukan pelajar di bidang bahasa, tetapi jika kita sebagai pelajar pengajian Islam kita sendiri maklum bahawa bahasa adalah kata kunci yang utama untuk memahami sesuatu ilmu dan untuk berkhilaf ilmu sesama kita.

Hatta, di antara 5 sebab yang dipersetujui ulama dalam bab dan asbab terjadinya khilaf sesama individu di pengkhususan Pengajian Islam, salah satunya adalah mengenai BAHASA, dalam memahami maksud sesuatu nas dan dalil.

Berdasarkan pengalaman sebagai pelajar yang pernah mempelajari ilmu undang-undang, saya terasa betapa payahnya untuk membicarakan kes di mahkamah Syariah di mana-mana negeri sekalipun. Penghujahan dan pembalasan hujah sangat memerlukan kekuatan bahasa untuk para peguam menerangkan ayat-ayat yang terkandung dalam enakmen-enakmen negeri yang sedia ada.

Hampir sahaja kami gagal menjawab soalan peperiksaan disebabkan tidak memahami kes, malah hendak menjawabnya juga perlu bermain dengan bahasa supaya hujah kami benar-benar kuat. Saya fikir, satu-satunya peperiksaan yang dibenarkan melihat buku ialah peperiksaan subjek undang-undang. (buku yang di maksudkan ialah enakmen-enakmen negeri)


Perkataan BUKTI dan SABIT mungkin puncanya.

Ya, Tuan Zainul Rijal bercakap di atas kapasiti beliau sebagai seorang pengamal undang-undang yang terikat dengan enakmen-enakmen yang sedia ada. Yang mana di dalam pembacaan undang-undang bukti dan sabit itu adalah dua perkara yang berbeza, bukti adalah benda yang dihujahkan dan sabit pula adalah penjatuhan hukuman.

Di dalam mahkamah Syariah sendiri, Qarinah bukanlah bukti yang boleh berdiri tunggal, ia hanyalah sandaran yang digunakan bersama bukti yang boleh berdiri tunggal (iaitu Iqrar dan saksi) yang mungkin bertujuan untuk menimbulkan syubhah kepada mereka yang membuat pengakuan melakukan kesalahan zina supaya pengakuannya itu tidak mengandungi unsur paksaan.

Hatta boleh juga menakutkan para saksi (menguji kebenaran kesaksian) yang cuba berniat jahat untuk melakukan fitnah terhadap perempuan atau lelaki ataupun mengelakkan para saksi itu daripada dipaksa.

Namun, Dr. Juanda pula bercakap atas dasar kapasiti sebagai seorang mufti yang dihormati. Yang mungkin (pada pendapat saya) memahami konteks bukti itu adalah pensabitan. Kerana zina disabitkan berdasarkan bukti.

Ini bermakna keduanya tidak menghadapi masalah, cuma ia mungkin akan mengelirukan sesetengah masyarakat.

Mencari kesalahan bukanlah motif penulisan, tetapi sebagai satu pengajaran dan ingatan buat pelajar Pengajian Islam supaya satu masa nanti kita perlu berhati-hati dengan bahasa, bukan sahaja bahasa arab, tetapi juga bahasa ibunda kita sendiri supaya kita tidak bertelagah hanya kerana salah memahami konteks bahasa.

Sebagai umat Islam yang dikurniakan akal, anda mampu menilai sendiri. Keterbukaan minda dan berlapang dadalah dalam berkhilaf sesama kita.

Sebab itu pada saya pentingnya kepada kita selaku pelajar pengajian Islam untuk mempelajari dan memahami ilmu Mantiq supaya kita dapat memahami maksud sebenar sesuatu pendapat dan yang penting ialah apa yang dikatakan oleh kita tidak mudah di manipulasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Melihatkan kepada kelemahan ini, dan juga melihatkan kepada pihak media yang suka memutarkan bahasa, maka eloklah untuk kita berdiam sahaja di hadapan media untuk mengelakkan kekeliruan masyarakat.

__________________________

1. Apa pun, saya suka melihat kepada cara Dr. Yusuf Al-Qaradawi mengeluarkan fatwa dan pendapat. Ketika berlakunya isu alkohol, beliau telah memanggil beberapa ahli saintis untuk memberitahu beliau apa itu alkohol. Ketika isu suntikan vitamin, beliau sekali lagi telah memanggil doktor pakar untuk ceritakan kepada beliau apa itu suntikan vitamin.

2. Melihat kepada maslahat ummah masa kini, saya amat bersetuju sekiranya jabatan mufti menerbitkan buku mereka sendiri seperti 'Bicara Mufti' dan elakkan daripada memberi pendapat kepada media, kerana editor-editor media adakalanya lebih hebat ilmu Mantiq berbanding kita. Mana tidaknya, mereka setiap hari bermain dengan bahasa.

3. Pihak guaman juga perlu melakukan sedemikian sekiranya mereka merasakan ada beberapa pendapat mereka yang telah dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan atau kurangkan memberi pendapat kepada pihak tersebut untuk maslahat dan kepentingan umum.

4. Antara mereka yang hebat ilmu Mantiq yang boleh kita contohi adalah Allahyarham Dato' Ustaz Hajji Fadzil bin Muhammad Noor. Sukar melihat media memanipulasi kata-kata beliau.

5.
Sebenarnya, saya tidak bercadang untuk menulis berkaitan isu ini, bahkan saya juga tidak tahu mengenai isu ini sehinggalah selesai menunaikan solat Jumaat yang mana datang seorang sahabat mengajukan isu ini untuk dibincangkan.

WaAllahu a'alam.

Islam dan Iman; Ada Bezanya.

Puas saya mencari apakah beza di antara orang yang beriman dan orang Islam. Sebagaimana yang kita maklum, Islam ialah melaksanakan rukun-rukun Islam yang lima:

1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Solat lima waktu.
3. Mengeluarkan zakat.
4. Berpuasa di bulan ramadhan.
5. Menunaikan haji pada waktunya.

Iman pula ilah meyakini dengan rukun-rukun iman:

1. Beriman kepada Allah swt.
2. Beriman kepada Malaikat-Malaikat Allah swt.
3. Beriman kepada Rasul-Rasul Allah swt.
4. Beriman dengan kitab-kitab Allah swt.
5. Beriman kepada hari kiamat.
6. Beriman kepada Qadar baik dan buruk.

Lalu apabila terdapat satu kata-kata yang berbunyi

1- "semua orang yang beriman itu adalah orang Islam, tetapi bukan semua orang Islam adalah orang yang beriman".

Terlintas difikiran saya, mengapa pula begitu?,

2- bukankah Iman kita selaku orang Islam akan berkurang disebabkan maksiat dan bertambah disebabkan amal ibadah?

3- Jadi ini bermakna orang Islam itu memang orang yang beriman, cuma sama ada imannya kurang, ataupun bertambah.

Ramai yang tidak mempersetujui kata-kata yang ke-3, YA, saya juga sangat bersetuju dengan kata-kata yang pertama (1), tetapi saya teringin sangat tahu apakah yang menyebabkan ia begitu? Apakah beza dan hakikat sebenar keduanya...?


Perbincangan Ilmiah

Perbincangan bersama pelajar arab yang selalu bersoal jawab dengan Doktor ketika sesi pembelajaran berjalan membuatkan saya tertarik untuk menyoal beliau dan jawapannya: Iman itu lebih tinggi daripada Islam, dan tidak semua orang mampu memiliki Iman. Islam itu berkaitan dengan perlakuan-perlakuan jawarih, dan Iman pula dalah berkaitan iqtikad di hati.

Saya membalas dengan contoh, dalam rukun Islam kita perlu mengucap dua kalimah syahadah dan Rukun Iman yang pertama adalah beriman kepada Allah swt.

Persolannya, jika kita tidak beriman kepada Allah swt, bagaimana kita akan sanggup untuk melafazkan kalimah syahadah? Sudah tentu kita melafazkan kalimah syahadah selepas diikuti dengan iman kepada Allah swt.

Jadi, bukankah ini bermakna Orang Islam juga adalah orang yang beriman?.

TIDAK, saya masih tidak berpuas hati, bukan itu jawapannya, hati saya masih kuat dengan kata-kata yang pertama, tetapi apakah beza keduanya...?

Perbincangan diteruskan lagi dengan seorang Imam di Masjid Mutah, Jordan. Beliau menjawab dengan jawapan yang hampir sama, Islam adalah perlakuan yang jawarih, manakala Iman sangat berkait rapat dengan hati yang sentiasa beriman kepada Allah swt.

Saya tidak berpeluang untuk bertanyakan Doktor pengkhususan AKIDAH sendiri, mungkin kerana masa dan pertembungan jadual sesama kami.

Akhirnya saya berfikir mungkin itulah jawapan yang sebenar, Islam adalah perlakuan dan Iman adalah keyakinan dan hati.

Walaupun hati saya masih tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, saya cuba untuk memujuk diri.


Menemui Jawapan

Dan sehinggalah saya ditakdirkan menghadiri kelas tafaqquh yang dikendalikan oleh Dr. Ridhuan yang turut membincangkan hadis sohih muslim berkaitan dengan Iman.

Ya, saya rasa mungkin itu jawapannya, memang benar. Semua orang yang beriman itu adalah orang Islam, tetapi bukan semua orang Islam itu adalah orang yang beriman.

KERANA kata kuncinya adalah satu, iaitu MUNAFIQ...

Munafiq juga adalah orang Islam, tetapi Islamnya adalah kepura-puraan untuk mengelirukan orang Islam yang lain. Orang munafiq hatinya tidak kepada Allah swt, MalaikatNya, KitabNya, RasulNya, Hari Qiamat, dan Qada' baik dan buruk.

Jadi, jika kita fikir kita orang Islam adalah orang yang beriman, maka lebih baik untuk kita muhasabah semula, Islamlah dengan sebenar-benar Islam, ISLAM YANG TIDAK DIUKUR HANYA PADA PERLAKUAN KITA DENGAN RUKUN-RUKUN ISLAM, kerana jika kita hanya beramal dengan rukun-rukun Islam semata, maka ternyata tidaklah ada bezanya antara kita dan orang Munafiq.

Maka hendaklah kita percaya dengan hati, dan meletakkan sepenuh i'tikad dan penuh rasa Iman kepada rukun-rukun Iman.

Semoga kita tergolong dalam golongan-golongan orang yang beriman.

Firman Allah swt:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."
Al-Anfaal 8:2.

WaAllahu a'alam...

_________________

p/s: Kadang-kadang terfikir juga, kenapalah tak terfikir perkataan munafiq tue, sedangkan tahu je kot munafiq tue apa... :)

Orang Tua Kita Semakin Tiada Titik Malu.

Saya menulis atas kapasiti sebagai anak Malaysia. Ya, sebagai anak muda Malaysia yang semakin menggeleng kepala melihat telatah orang-orang tua kita yang semakin hari semakin pelik. Kadang-kadang datang juga rasa jijik. Tetapi apakan daya, hakikat perlu diterima, mereka adalah orang tua kita.

Pertelagahan orang tua kita nampaknya makin memilukan hati, melibatkan perkara yang memang sukar untuk diterima akal dengan keterlibatan yang disaksikan sendiri oleh anak-anak kecil generasi Malaysia.

Persoalan yang kini mereka ajukan, (maaf, saya tidak tapis ayat ni)

"Ustaz, macam mana anuar main bontot"?

dan perkataan seks berlegar-legar dikepala mereka, hatta mereka sendiri pun mungkin akan berkata, "ala, pemimpin kitapun main seks haram, takkan kita tak boleh"

mereka sangkakan seks diharamkan negara dan bukannya diharamkan oleh agama.


Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan pembelajaran seks yang setengah dari orang tua kita fikir perlu didedahkan kepada anak-anak kecil, walaupun cadangan hanya diperingkat sekolah rendah, tidak mustahil dengan percampuran anak-anak yang belum mencapai umur 7 tahun dengan mereka yang sudah bersekolah rendah juga akan terpengaruh dengan benda-benda macam ni.

Ironinya, anak-anak yang tidak faham mengenai seks hatta tidak pernah dengar mengenai seks sekalipun, pada hari ini ia adalah satu kebiasaan di hati mereka, mereka terasa ala bisa sudah terbiasa...

Silap yang sangat besar, membenarkan sesuatu untuk mencapai tujuan politik tanpa melihat kesan kepada anak-anak sendiri, sungguh perkara ini di luar tabii manusia.

Mangsanya adalah ibubapa, dan guru-guru yang terpaksa menjawab soalan seperti yang saya nyatakan di atas.

Akibat yang besar pasti akan berlaku, ia sudah menjadi kudis, hanya menunggu nanah dan parah yang akan menyukarkan sesiapa untuk mengubati.

WaAllahu A'alam...

Firman Allah swt:

"...dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan..." 2:191

Hanya Kerana Setitik Benci.

Kesibukan bukanlah penghalang dan alasan untuk saya tidak melakukan penulisan untuk entri-entri yang terbaru, tetapi hakikatnya, YA, saya tidak mampu untuk menulis dalam tempoh beberapa minggu yang lalu berikutan masa yang terlalu padat dan disibukkan pula dengan aktiviti itu dan ini.

Ditambah lagi dengan beberapa masalah yang ditimpa berikutan bermulanya satu lagi pengalaman yang saya fikir sangat menyakitkan, kadang-kala seperti hendak lari dari masalah itu, tetapi hati ini benar-benar terikat, dan diikat.

Kekacauan jiwa benar-benar menguji tingkah-laku yang memberi impak yang sangat tinggi kepada kehidupan saya. Rutin harian jadi tidak menentu, rasa yang sangat pelik. Kurang pengalaman dengan masalah terbaru ini menyebabkan saya memikirkan jalan kedua iaitu mencari pakar-pakar untuk dibincangkan.

YA, semuanya kerana jiwa. Kekosongan, kesunyian, kekurangan dan cabaran kuasa Allah swt.

Kebenarannya, ia masih belum selesai 100%, sisa dan bakinya masih melekat kuat, pemikiran positif cuba membantu. Ternyata, soal jiwa, tuhan maha kuasa punya kehendaknya.

Benci, itulah kesilapan terbesar manusia, kesilapan metelakkan rasa benci yang teramat sehingga menyebabkan Allah menukarkan rasa itu kepada suka.

Jika kita tidak suka akan sesuatu, maka cukuplah sekadar menjauhinya, bukan dengan membenci.

Soal hati siapa yang tahu? Mereka yang rasa dan pencipta rasa iaitu Allah swt sahaja yang tahu.

Saya rasa anda juga pernah menghadapinya, suatu rasa yang kita cuba untuk mengelak, akan lebih kuat datang menerjah dada hanya kerana rasa tersebut kita tidak sengaja menyertakan bersama dengan rasa benci.

Akhirnya, tuhan menguji kita dengan menukarkan rasa benci itu kepada rasa suka. Jadi, jika anda tidak senang dengan sesuatu perkara, janganlah benci kepadanya, cukup sekadar menegah hati darinya.

Firman Allah swt :

"Boleh jadi kamu tidak suka sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." 2:216

WaAllahu A'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...