Advanced Search

Custom Search

Followers

Love is Loving.

Jika begitu kita perlakukan pada mereka, maka (tidak mustahil) begitu juga anak kita bakal lakukan pada kita, dan jika begini, maka beginilah

-Saya didatangi seorang ibu yang mohon supaya menasihati anaknya yang akan belajar di luar negara untuk bernikah dengan lebih awal-

Saya memuji pelbagai pihak yang cuba melakukan pelbagai aktiviti keremajaan, pemuda, belia atau apa juapun istilahnya untuk generasi kini yng banyak menghabiskan masa tidak tepat pada luangannya. Melepak, berdatting bahkan berdua-duaan sememangnya ia amat membimbangkan ibu bapa dan keluarga. Namun saya tidak menafikan ada juga jenis keluarga yang tidak mengambil kisah akan perihal anak mereka, ia, cuma segelintir.

Namun, apabila ibu bapa didesak untuk membenarkan anak-anak mereka nikah awal kerana untuk mengelak zina, maka tibalah saatnya tiang pernikahan itu terbina atas nafsu semata, jadi, di manakah selebihnya tujuan pernikahan itu diletak?

Ustaz, kaunselor, motivator atau apa jua jenis rundingan juga tidak patut jika memberi nasihat dengan meletak diri dan melihat dari kacamata sebagai remaja semata, sedangkan mengapa tidak melihat dari kaca mata bonda & ayahanda? 

Perasaan anak kita selami, tetapi perasaan bonda serta ayahanda dinodai. Apakah mereka masih lagi perlu mengorbankan diri untuk anak-anak sendiri? Sampai bila?

waAllahua'alam...


Larang dengan Hikmah

Larangan juga perlu hikmahnya

Assalamualaikum, salam sejahtera, apa khabar, lama benar rasanya tidak menulis entri untuk blog ini, barangkali buzzy mencari tarbiyah, tarbiyah hati, jasad dan minda. Kali ini, saya ingin berkongsi maksud disebalik larangan.

Sebenarnya, perkataan 'jangan' tidak memadai untuk menghalang sesuatu tindakan, kerana ia mempunyai dua maksud:

1- larangan yang berbentuk tetap iaitu tidak sesekali dibenarkan, sampai bila-bila, sehingga kiamat
2- larangan yang membawa maksud kurang sesuai atau bukan pada keadaannya

di dalam Islam juga ada istilah Haram Muabbad (selama-lamanya), dan Haram Muaqqot (seketika/mengikut waktu)

sebagai contoh, adik beradik kandung dan susuan, haram bernikah selama-lamanya, dinamakan muabbad

manakala adik beradik ipar, haram sementara atau muaqqot, ketika dia masih ada ikatan bersama dengan adik beradik kandung kita, maka kita tidak boleh bernikah dengannya, jika adik beradik kita terputus hubungan dengan dia (ipar) sama ada disebabkan kematian, atau kerana perceraian, maka pada ketika itu, kita dibolehkan bernikah dengan bekas ipar tersebut.

Inilah yang saya maksudkan dengan beberapa bentuk larangan yang perlu diperjelaskan,

1- Ketika kita melarang mereka bercinta ketika di alam persekolahan, kita kena menjelaskan, bahawa larangan bercinta itu bukan kerana rasa cintanya, tapi kerana keadaannya yang masih sekolah, dalam erti kata lain, 'rasa' cinta itu tidak salah, bahkan kita perlu meraikan sebagai tanda kemunculan hormon ke atas kedewasaan mereka, cuma umur persekolahan bukanlah waktu yang sesuai untuk bercinta, alam mereka membuatkan mereka belum sesuai untuk bercinta secara serius,

Ini perlu kerana, larangan tanpa penjelasan, mampu membuatkan mereka tersalah anggap, berkemungkinan mereka akan berfikir bahawa larangan kita terhadap cinta dua jenis itu seperti kesalahan, maka mereka akan mula mencari kasih sayang sejantina dan nauzubillah (mohon perlindungan Allah untuk dijauhkan) bercinta sesama jenis.

2- Seorang bapa mengherdik anaknya yang membawa pulang piala johan lumba lari dari sekolah, bahkan membawa pulang pelbagai sijil penyertaan luar kokorikulum ke rumah, bahkan turut membezakan dengan anak jiran yang membawa pulang kad kemajuan dengan rekod cemerlang, ia, ketika musim peperiksaan,

penjelasan sebegini juga perlu dilihat sebagai sesuatu yang serius, pada hemat saya, andai ingin melarang sekalipun, larangan untuk bersukan ketika itu perlu diperjelaskan kerana, tempoh peperiksaan, seperti tahun UPSR, PMR ataupun SPM fokus pada ulangkaji lebih diperlukan, jika tidak, mungkin anak itu tidak lagi bersukan berikutan beranggapan bahawa bapanya tidak suka dia aktif dalam bersukan.

3- Kita melarang seorang kanak-kanak yang nakal daripada bersikap aktif, itu juga dilihat kurang tepat, kerana kita seperti mengatakan bahawa nakal itu merupakan satu kesalahan yang besar, sedangkan nakal itu diperlukan untuk minda bergerak aktif dalam tempoh tumbesaran seorang kanak-kanak,

Sebaliknya, dalam sesuatu majlis, atau dalam upacara tertentu, mengatakan dan menjelaskan kepada si kecil ia waktu yang tidak sesuai untuk bersikap aktif dan memerlukan lebih kepada bersifat baik, cermat dan hormat adalah lebih tepat, kerana larangan tanpa penjelasan, membimbangkan ia akan menjadi individu yang penakut kerana sering diherdik akibat sikap nakal semulajadinya, dalam erti kata lain, mengawal kenakalan.

dan masih banyak diluar sana contoh-contoh yang boleh dan dapat kita perhatikan, dan ingatlah, berkata KURANG SESUAI adalah lebih mulia daripada mengatakan JANGAN pada perkara yang boleh diperimbangkan. Ia mampu mengurangkan salah faham.

waAllahu a'alam...


 

Telur di Hari Lahir.



Isu sama, setiap kali menjelang pertengahan tahun, terutama bulan MEI isu telur bangkit, tahun depan pun barangkali apabila menjelang MEI status-status FB akan penuh dengan isu telur menyambut hari lahir, lalu berangkailah status-status dengan point dakwah, ukhuwah, open minded, maqosid dan macam-macam lagi. Mungkin barangkali kebanyakan dikalangan kita lahir di bulan MEI, atau kebanyakkan mereka yang lahir di bulan MEI yang banyak melakukan aktiviti telur-menelur ini. Hai, siapalah agaknya makhluk yang memperkenalkan aktivit menelur ni?

Sebenarnya ulama’ telah banyak membincangkan bab permainan dalam Islam. Permainan berunsur judi seperti main tikam-tikam tu haram, berunsur membazir ada keadaan dan tahap nilai bazirnya yang perlu di kira. Sepakat ulama mengatakan bahawa permainan sunnah hanya tiga, iaitu memanah, berkuda dan berenang. Adapun permainan-permainan lain hanya mengikut waqi’ masyarakat.

Kalau nak kata membazir pula, hurmmm, kita pun sejak kanak-kanak lagi dah buat permainan membazir ni, antaranya cari gula-gula dalam tepung, main baling-baling telur (dua orang berdiri dengan jarak jauh), cikgu kita pun kadang-kadang ada yang guna tepung buat line kat padang bagi acara sukan, kadang-kadang secara tak sedar kita juga banyak melakukan perkara yang membazir, makan tak habis, bazir masa, tengah makan kek pun segelintir dari kita ambil cream dan colet ke muka, erkkk, boleh nilai bazir tak tu?

Saya tidak melihat serius dari aspek hukum, cuma dari aspek adab ia dilihat kurang kerana melibatkan makanan, siapa kata pemuda-pemuda dulu tiada main aktiviti menelur ni, ada je, tapi telur mereka telur tembelang yang busuk, ada je nenek-nenek yang menembelangkan cucunya dengan telur tembelang yang sudah tiada nilai kenyang, tapi ada nilai ukhuwah, sebab itu ada pepatah melayu menyebut, umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut dikeluar, tepung tidak berselerak, sebabnya pada ketika itu nilai tepung amatlah berharga.

Saya tidak fikir permainan telur-menelur merupakan perkara serius, masing-masing punya hujah dan pendapat, terpulang, pada mereka yang nak melakukan aktiviti menelur, silakan, tetapi siapa yang tidak, tidak mengapa, tapi kita perlu sepakat, apabila di kalangan kita ada tahap sampai tidak cukup makanan, maka HARAM hukumnya permainan sebegitu.

Bagi yang suka beralasan ukhuwah, saya memetik kata-kata Prof. Dr. Abdul Nasir ‘Ulwan yang menyebut bahawa ‘ukhuwah ini hanya milik orang mukmin’. Kerana mana-mana perkataan ukhuwah yang disebut sama ada di dalam al-Quran mahupun di dalam al-Hadis gandingan perkataan UKHUWAH disebut juga perkataan MUKMIN. Sebabnya hanya orang mukmin yang boleh memandu kelakuan dan kebaikan ketika berukhuwah, lalu ukhuwahnya membawa ke jalan yang diredhai Allah swt. So jom kita nilai iman kita hari ini.


Saya syorkan anda membaca kitab ini untuk menilai semula landasan ukhuwah kita


"Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman, (iaitu): "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu", maka kamipun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbakti." 3:193

waAllahu a'alam...

p/s: tapi agak zalim jugak kan kalau kena telur time musim sejuk, kesian kawan tue nak mandi, tepung kira ok lagi, bersih-bersih macam tue je, papepun apa yang ditulis ni bukan satu galakkan ye. Oklah, ada banyak perkara yang lebih utama lagi yang nak difikirkan, chill out yoo...

Senget; Fatwa atau Kefahaman?


Muzakarah ke-99 Majlis Fatwa Kebangsaan yang membincangkan mengenai demonstrasi telah memutuskan akan pengharaman bagi umat Islam untuk menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Turut dibincangkan juga di dalam muzakarah tersebut adalah mengenai isu LGBT.

Saya cuba mencari maklumat penuh keputusan muzakarah tersebut di laman web e-fatwa, tetapi semasa penulisan ini dilakukan keputusan muzakarah itu belum boleh didapati di dalamnya, nampaknya kelajuan media cuba untuk melebihi kelajuan cahaya, apatah lagi fatwa mengenai perkara hangat sebegini, laju saja media berminat untuk sebarkannya.

Fatwa ini banyak mendapat tentangan daripada masyarakat yang kononnya berat sebelah, fatwa pada perkara yang berpihak pada kerajaan, pincang, senget, sumbang dan bermacam-macam lagi. Kesannya badan Fatwa Kebangsaan mendapat kritikan hebat dan masyarakat seolah-olah hilang kehormatan terhadap badan ini.

Memang benar ada yang mempersoalkan kenapa tidak diharamkan amalan kerajaan seperti dakwaan beberapa pihak seperti rasuah, curi duit rakyat, kerana bimbang ia seperti berat sebelah, Majlis Fatwa Kebangsaan seperti mendiamkan kesalahan pihak kerajaan.

Kita kena faham, bahawa tugas badan mufti adalah untuk mengeluarkan hukum yang tidak menjadi kebiasaan atau pada perkara-perkara yang tidak jelas, adapun bagi perkara yang jelas maka ia tidak memerlukan fatwa. Saya bagi contoh, andai kata mufti berkata arak itu haram, apakah dia sedang berfatwa? Tidak, ia sememangnya jelas haram dengan dalil yang jelas, tetapi sekiranya ia berkata sebaliknya, melanggar dalil yang jelas, maka itu baru dinilai sebagai fatwa.

Jadi, sekiranya kita berkata mengapa Majlis Fatwa tidak mengharamkan rasuah, salah guna kuasa, curi duit rakyat dan sebagainya, maka jawapannya, ia tidak memerlukan fatwa, kerana perkara sebegitu telah jelas dalil akan hukum haramnya, dan benda atau perkara yang sudah jelas akan keharamannya, ia tidak memerlukan fatwa. Cuma mungkin para mufti boleh menegur dengan kenyataan media secara peribadi kepada pihak kerajaan yang terlibat dengan pengharaman, walaupun tidak menggunakan Majlis Fatwa untuk berfatwa benda yang jelas keharamannya.

berhimpun dan berdemo, nampak macam tiada beza

Walaupun ada yang berkata bahawa salah faham berlaku kerana bahasa ataupun fatwa senget sebelah, tetapi pada saya, saya memahami secara konteks yang berlainan. Istilah demonstrasi ini perlu diteliti lebih mendalam, rakyat berdemo, pihak berkuasa juga pada hakikatnya berdemo, jika berdemo itu haram, jangan pula berkata berarak juga haram, berhimpun juga haram, kerana akan haramlah untuk berarak ketika maulid nabi apatah lagi berhimpun di perhimpunan sekolah. 

Hakikat haramnya adalah pada meraka yang merosakkan harta awam, jika demo pihak berkuasa yang mengganas, maka haramnya jatuh kepada pihak berkuasa, jika demo awam yang mengganas, maka haramnya jatuh kepada pihak rakyat.

Apa yang saya lihat, fatwa itu bersifat umum, siapa-siapa yang memasuki 'sebab haram' maka hukum haram itu berpihak kepada mereka. Pada saya, mengapa kita perlu melenting jika demo kita secara aman dan tidak menghasilkan sesuatu yang haram.

Saya menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, bagaimanapun saya masih merai dan melihat kepentingan hikmah dalam berfatwa.

waAllahu a'alam...

Firman Allah swt bermaksud:

"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya." al-Israa [17] : 36


Cecinta.

Tiadalah Makna Pada Kata Cinta Itu Melainkan Pemilik Yang Memberi Makna Kepadanya
Lama benar tidak menulis di blog sendiri. Saya agak terlena dan hanyut kesibukan dunia lain sehingga menyebabkan tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Sehingga jika ada kesempatan rehat yang seketika, saya lebih memilih untuk berehat fizikal dan mental. Jadi dengan kesempatan yang seketika ini saya cuba untuk mengisi sedikit perkongsian ilmu dan nasihat yang ada. dan Ia, tentang cinta. Cerita cinta memang tidak pernah habis.

Cinta manusia ataupun cinta tuhan bukan menjadi pembahagian dalam penulisan ini, tetapi C.I.N.T.A. itu sendiri dikisahkan berdasarkan rasa. Bagi remaja yang baru mengenal cinta, ia seperti sesuatu yang meriangkan hati, kerana cinta juga merupakan satu alam, apabila bercinta, cukuplah bersama dengan orang yang kita cinta, kita sudah merasakan seperti dunia ini "aku yang punya". Kuasa cinta itu sangat besar, kesanggupan setinggi gunung, biar meredah lantai berkaca, atau berenang di lautan yang penuh duri, tapi kerana cinta, apa saja "I sanggup korban untuk U".

Berbanding zaman dahulu-kala, kini alam cinta terlalu meluas, sehinggakan peluang untuk bercinta bagi kanak-kanak juga tersangat besar. Sekolah dan pusat tuisyen, antara ruang untuk menitipkan bibit-bibit cinta. Bagi yang dewasa pula titipan cinta berlaku bukan sahaja di universiti, malah di tempat kerja juga antara menajadi tempat untuk kisah permulaan cinta berlaku.

Cinta ini adakalanya dilihat bagus dari satu sudut, bagi adik-adik yang bersekolah, jika sang cinta mereka bersekolah di sekolah yang sama, biarlah demam atau sakit sekalipun, hari sekolah, mereka tetap ingin ke sekolah, kerana tidak melihat sehari bagaikan rindu seminggu. Biarlah melalui jalan yang jauh untuk ke pejabat guru, asalkan ia merupakan jalan untul melihat sang cinta, "apa yang nak dikisahkan".

Ironinya, cinta ini memang datang tanpa diduga, riak wajah dan riang hati, dapat dilihat dari kata mata yang sukar untuk menipu. Walaupun kini saya tidak dilamun cinta manusia, tetapi ia tidak menafikan kepakaran saya untuk mengesan mereka yang sedang bercinta, kerana, satu masa dahulu, saya juga pernah terlibat dalam gelombang cinta manusia.

Cinta ini hanyalah ilham, namun hati jualah yang menerbitkan perbuatan cinta, hati yang baik akan melahirkan cinta yang baik, tetapi hati yang busuk, sudah terntu, cinta juga terasuk.

Cinta ini bukanlah satu kelemahan, sebaliknya satu perasaan, jika terjatuh cinta, janganlah sibuk menyalahkan diri, kerana kita adalah ciptaan tuhan yang punya nafsu, tetapi jika hati tidak boleh nak rasa cinta, "haaa, itu yang problem tu". Perbezaan lelaki dan perempuan tidak banyak jauh bezanya, masing-masing terasa untuk ingin berpasangan. Cuma, saluran cinta itu adakalanya dilihat tidak seberapa tepat diamalkan oleh kebanyakkan daripada kita.

Cinta bermula daripada kenal, dari kenal datangnya rasa empati dan simpati, kemuncaknya adalah ikatan, diakhiri dengan hubungan iaitu hubungan dua kelamin. Saya rasa tidak perlu malu untuk menyebut, sebabnya remaja sekarang pun lebih advance dari saya, kata mereka "janganlah kolot sangat". Malangnya, tafsiran cinta kebanyakkan daripada kita ialah, cinta itu merupakan hubungan kelamin. Minta maaf lah ye, bukan saya kata, tapi tuhan kita yang kata, memang tiada kompromi, hubungan tanpa ikatan nikah, sememangnya haram.

Tahukah kita bahawa cinta itu merupakan hubungan yang "sangat sweet". "I belanja U today, esok U belanja I pulak ok". Kadangkala, belum lagi punya ikatan, sudah memanggil 'daddy' dan 'mummy'. Kalau nak nampak soleh sikit 'abi' dan 'ummi'. Goli den mendongarnya.

Saya berhenti menulis setakat ini, saya tinggalkan lebihan masa untuk anda mengetuk dan bertanya diri, cinta itu tidak buta eh, tapi cinta itu berkabus je, bayangkankan diri anda di dalam kabus, so, berhati-hatilah ye...




Hudud & Islamofobia...


Barangsiapa yang mentaati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya berjaya dengan kejayaan yang nyata.


Setelah sekian lama, kita melihat bahawa isu hudud ini seringkali tenggelam timbul, apabila ia tenggelam tidak semena-mena ia akan timbul semula, sama ada disebabkan oleh politik, kejahilanan pemahamam yang kadang-kala tidak masuk akal. Adakalanya kita melihat ia seperti dihangatkan semata-mata untuk melihat kepintaran seseorang, atau kejahilan seseorang atau hanya kerana ia perbalahan sesama kita dan di api-apikan.

Saya sering kali terdetik untuk menulis tentang hudud ini, tetapi memikirkan bahawa ia tidaklah terlalu serius kerana kehangatan hudud ini tidak lari dari serangan dan agenda politik tersendiri. Tetapi apabila melihatkan kejahilan kefahaman individu yang makin merebak entah sampai bila, akhirnya saya terpanggil untuk membetulkan sedikit pemahaman. Telah ramai ilmuan yang berkata mengenainya, saya hanya menambah.

Ironinya, telah banyak kaedah serta pelbagai ceramah dan seni dakwah yang sampai kepada masyarakat Malaysia khususnya untuk menerangkan bahawa hudud itu adalah begitu dan begini, tujuannya semata-mata untuk mempeingatkan kepada kita bahawa had Allah swt bukanlah satu senda gurauan.

Mungkin ada yang mengetahui, tetapi tidak beringat tentang fobia dalam Islam, kesan besarnya fobia masyarakat dunia tentang Islam adalah mengenai hudud. Bukannya syahadah, solat, puasa, zakat mahupun haji. Bagaimana kita melihat bahawa terlalu ramai yang tersalah sangka mengenai hudud Allah swt. Mungkin mereka terkesan dengan fobia mengenai cerita dan berita hudud.

Ya, siapakah yang tidak takut apabila melihat hukuman yang secara dasarnya memang tidak mampu untuk dilihat dengan kudrat pancaindera kurniaan Allah swt. Masih segar diingatan saya tentang sebuah kisah dari guru saya [bukan Malaysia], yang pada waktu itu dia masih dibangku sekolah, ketika di pekan dia melihat ramai yang menuju ke satu tempat, dia berhimpit dan ingin melihat apakah yang sedang berlaku di hadapan itu? Lalu beliau mendapati bahawa seseorang sedang dipancung, lalu lemah gemalai tubuh beliau melihat individu tersebut dipancung, beliau dibantu oleh rakannya untuk pulang keasrama. Itu kisah puluhan tahun dahulu, ketika itu beliau pun masih lagi di pangku sekolah, yang tidak biasa melihat darah dan hukuman sebegitu. Itu bukanlah hudud.

Jika dinilai dari aspek pancaindera kita sebagai manusia, apabila melihat sesuatu yang tragis kita anggap ia sebagai suatu kekejaman, sedangkan banyak lagi perkara tragis yang tidak kita tahu yang jauh lebih kejam dari hudud Allah swt, tragis lain merupakan kekejaman, tetapi hudud itu jauh bertujuan mendidik hambaNya untuk terpandu hidup di dunia ini.

Sebenarnya fobia masyarakat dunia kepada Islam dihebahkan lagi dengan salah faham orang Islam itu sendiri terhadap agama mereka. Jika dilihat ada kes berkaitan perogol beragama Islam yang dikerat kemaluannya, ada wanita yang berzina dipukul dan terbogel sebelum mati, ada kanak-kanak perempuan yang dirotan dengan kejam kerana telah memalukan keluarganya. Ini semua telah mem-fobia-kan masyarakat dunia dan telah menyebabkan salah faham berlaku dalam Islam.

Ya, sebagai Islam kita tahu ia bukanlah hudud Allah swt, tetapi masyarakat dunia telah sepakat mengatakan “Oh,! begini rupanya Islam mengajar penganutnya”

Begitu juga saya melihat video terbaru Tun mengenai tanggapan beliau terhadap hudud Allah swt. Apa yang diperkatakan beliau tidak banyak jauh bezanya dengan apa yang telah beliau katakan pada 4 tahun lalu ketika saya turut serta dalam pertemuan bersama beliau di pejabatnya.

Beliau sering memberi contoh tentang kes mengenai wanita yang mendakwa dirogol, lalu tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi, lalu telah diqazaf akibat tuduhan zinanya itu. Contoh itu berlaku pada sekitar tahun 2008 dan saya tidak akan sebutkan di negara manakah ia berlaku. Saya melihat bahawa ia seperti terkesan dengan fobia tentang hudud ini.

Saya suka melihat mereka yang dikatakan jahil dengan kacamata dakwah, kerana jika saya melihat dengan kacamata fiqh saya akan menghukum, dan jika saya melihat dengan kacamata ahli hadis saya akan syadid. Tetapi jika melihat dengan kacamata dakwah, kita akan senyum dan menjawab dengan hikmah.

Beliau bukanlah orang yang mahir tentang ilmu Islam, namun pemikiran dan logik akal manusia juga adakalanya perlu dirai, mereka yang tidak faham kita fahamkan, mereka yang tidak tahu kita tahukan mereka, jika kita yang mengaji pengkhususan agama pun kuat melatah, maka tidak ada bezanya antara kita dan masyarakat awam.

Saya cuba untuk memberikan sangkaan sebaik yang mungkin. Mungkin apa yang dibicarakan oleh beliau adalah mengenai tatacara hudud. Bagaimana mensabitkan kesalahan, bagaimana mengira sesuatu individu sebagai pesalah, bagaimana jika berlaku syubhah dalam sesuatu kes, dan sebagainya. Saya tidak mengulas lanjutnya.

Hudud itu bukanlah bukti bahawa tertegaknya dunia Islam, selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah, kita sekarang sedang menjalani semula kefahaman dan keteguhan pegangan terhadap Islam. Dakwah perlu berjalan semula, bukanlah maksud saya kita perlu bermula dari A, tetapi serba sedikit kesan daripada kejatuhan khilafah itu membuatkan kita perlu semula memberi kefahaman kepada masyarakat Islam tentang agama yang mereka warisi.

Ketahuilah, terbinanya Islam melalui 5 perkara:

Syahadah terhadap ketuhanan Allah swt yang tiada lain yang disembah melainkan dia, dan muhammad itu adalah utusan Allah swt, menunaikan solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, dan melakukan haji atas kemampuan. [Bukhari dan Muslim]

Lihatlah susunan kalimah ini, permulaannya bercerita tentang akidah, kemudian baru disusuli dengan kewajiban, kemampuan, perkongsian susah dan senang, dan pengorbanan. Sempurna semua, maka jalankanlah had Allah swt kepada yang melampau.

Fahamilah bahawa Islam itu cukup indah untuk dianuti dan di amalkan. Lengkap selengkap-lengkapnya.

WaAllahu a'alam...

Antara Hukum dan Dakwah [1]

Gambo Hiasan Ajerrr...


Tahukah anda akan kewujudan Filem Syukur 21? Atau, masihkah anda mengingatinya?

Sebuah Filem yang diterbitkan pada tahun 2000 ini dimuatkan dengan unsur-unsur Islam yang mana dibintangi oleh kumpulan nasyid yang terkemuka pada ketika itu iaitu kumpulan Raihan. Alasan mereka ia merupakan salah satu cabang dakwah.

Biarpun Filem ini mengandungi unsur-unsur Islam yang cuba diserapkan ke dalam lakonan, namun masih lagi saya ingat bahawa Filem ini juga mendapat tentangan oleh beberapa ilmuan Islam tentang lakonan yang dihukumkan haram dengan berhujahkan ’yang haram tetap haram’ dan ’matlamat tidak menghalalkan cara’ serta dalil-dalil lain. Namun ada juga yang menyatakan persetujuannya. Bagi mereka yang ada ketika zaman itu pasti mereka tahu bagaimana fenomena ini berlaku dan berlalu.

Bagaimana pula dengan perubahan muzik yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan nasyid pada sekitar tahun 2001-2003? Pada mulanya kemunculan mereka hanya berlatar muzikkan alatan muzik yang kebanyakkannya berasal daripada India dan Turki seperti bonggo, yanki, rebana, dan yang seangkatan dengannya.

Peredaran zaman demi zaman membuatkan sedikit demi sedikit alatan muzik berunsur tali telah dimasukkan ke dalam muzik iringan lagu-lagu nasyid, bahkan berlakunya juga revolusi yang dilakukan oleh kumpulan nasyid Rabbani yang mana telah mengikat kontrak bersama kumpulan KRU untuk menghasilkan lagu-lagu yang digemari oleh kebanyakkan orang muda. Rancak dan menggegar jiwa.

Dan pada ketika itu berlaku sekali lagi cakap-cakap antara ilmuan agama yang berpandangan dengan lagu-lagu nasyid tersebut. Pelbagai hujah telah dikeluarkan, seperti biasa perselisihan berlaku antara alasan dakwah dan hukum-hakam. Pendek kata, sekitar era itu, ia menjadi topik perbualan yang hangat antara ilmuan agama termasuklah masyarakat awam.

Hakikatnya, kekeliruan antara hukum dan dakwah telah mengikat pemikiran kita dari berkata bebas mengenainya. Pelbagai pendapat oleh ulama’-ulama’ mu’asaroh (semasa) menjadi topik bualan, sehingga mereka dilabelkan sebagai longgar dan ketat pada sesuatu hukum.

Kadang-kadang saya bertanya sendirian, APAKAH DAKWAH SENTIASA DIJADIKAN ALASAN UNTUK HUKUM BERSIFAT LONGGAR DENGAN MASYARAKAT? Semata-mata bertujuan menarik minat ramai untuk mendekati Islam dan sebagainya? Alasan kita supaya masyarakat faham Islam dan mendekati Islam. Saya bertanya, apakah Islam yang dimaksudkan oleh kita?

Adakah untuk masuk Islam? Atau mengikut suruhan Islam?
Adakah kita berdakwah pada akidah Islam? Atau berdakwah pada zahiriah Islam sekadar bersifat baik, berdisiplin dan memenuhi akhlak ajaran Islam?

Mungkin akan ada yang berkata, mulakan dengan mereka faham Islam, kemudian biar mereka nampak Islam itu indah dan mudah, kemudian baru suruh mereka melakukan suruhan Allah swt. Jawapan kita pelbagai.

Saya akui cabaran pendakwah kini semakin besar, dahulunya dakwah hanya menyeru orang bukan Islam kepada Islam, dan memberi tazkirah kepada orang Islam untuk sama-sama kekal berada di dalam keimanan, tetapi tidak pula bagi zaman kini, dakwah bukan sahaja untuk menarik yang bukan Islam untuk menuju Islam, bahkan dakwah juga dilakukan kepada orang Islam yang tidak mengikut Islam secara keseluruhan atau beragama Islam dan mengikuti ajaran Islam pada bab-bab tertentu.

Saya tidak fikir dakwah kita hanya untuk menyedarkan masyarakat supaya tidak melakukan maksiat, tetapi dakwah kita juga meliputi aspek perlaksanaan suruhan Allah swt yang termaktub pada 5 rukun Islam yang tentunya berkait rapat dengan akidah.

Masing-masing punya dalil kepada tegakan hujah tersendiri, tetapi pada saya, benda khilaf ini boleh dikategorikan sebagai syubhah, dan benda syubhah, tidak perlulah di tonjolkan, petik sahaja gitar secara tertutup, kerana jika kita menonjolkan benda syubhah, kita seolah-olah menghalalkan ia, sedangkan ulama’ yang membenarkan sekalipun hanya mengatakan ia adalah ’dibolehkan’, tetapi tidak sampai mengatakan ia ’mengharuskan’, dan dua perkataan ini punya perbezaan yang cukup ketara.

Pokoknya, saya bimbang jika kekeliruan ini berlaku pada ilmuan agama sendiri sehinggakan kita sendiri tidak dapat membezakan antara nilai Islam dan kelonggaran dakwah.

Nasihat saya ’kepada’ dan ’untuk’ saya, juga kita, ”jangan sampai hilangnya keistimewaan Islam hanya kerana alasan dakwah.”

Tanya pada diri, apabila kita beralasankan dengan alasan dakwah, apakah benar kita beralasankan dakwah, atau kita sebenarnya melonggarkan untuk manfaat diri kita sendiri?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...