Advanced Search

Custom Search

Followers

Akhirnya, Pendidikan Seks Dilaksanakan.

PUTRAJAYA: Kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai Januari depan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datu Dr Julaihi Bujang, berkata pendedahan pendidikan seks itu akan diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.

“Pengetahuan mengenai pendidikan seks itu mewakili 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan,” katanya.
Julaihi berkata, enam tunjang menjadi teras pengisian pendidikan seks yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahun Satu hingga Enam mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

“Perkembangan manusia mendedahkan murid mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia, manakala perhubungan pula menjurus mengenai kasih sayang dan persahabatan. Murid turut didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa, manakala kebolehan dalam membuat keputusan menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

“Turut diberi penekanan adalah kesihatan dan tingkah laku seksual yang membicarakan amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids, manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat dan perundangan,” katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di sini.

Julaihi berkata, keputusan menjadikan pendidikan seks sebagai pengisian utama subjek Pendidikan Kesihatan diambil selepas mengambil kira maklum balas dan pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Aids Malaysia menerusi perbincangan meja bulat yang diadakan bagi memastikan kurikulum yang dibentuk memenuhi keperluan semasa pendidikan negara.

Beliau berkata, guru yang terbabit dengan pengajaran subjek berkenaan sudah diberi kursus, manakala bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid mengikutinya, tahun depan.

“Kita amat berharap ibu bapa tidak bimbang dengan perkembangan terbaru ini, malah kita sendiri akui apa saja perkara baru membabitkan dasar atau kurikulum pasti ada yang sukar menerima dan memahaminya.

“Apapun, kita yakin jika pelaksanaannya (pendidikan seks) dapat dijalankan dengan baik dan lancar, masyarakat khususnya ibu bapa pasti memberi sokongan dan kerjasama terhadap pembaharuan ini,” katanya.

sumber: Berita Harian Online
_____________________________________________

Saya tidak mampu untuk memberikan pandangan secara tepat, kerana saya tidak tahu apakah isi kandungan modul pendidikannya, InsyaAllah saya akan cuba bertanyakan kepada rakan-rakan guru untuk pengetahuan lanjut, cuma kemungkinan nama pendidikan ini adalah lebih sesuai jika dinamakan dengan Pendidikan Kesihatan.

p/s: PPSMI dimansuhkan selepas mendapat bantahan dan merugikan pihak kerajaan kerana perlu berbelanja besar. Pendidikan seks...?

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...