Advanced Search

Custom Search

Followers

KUkeTAhuWI


Sebelum anda membaca isi penuhnya, terlebih dahulu sukalah saya untuk membincangkan bersama anda dua (2) konsep yang berkaitan dengan bahasa dan perkataan.


1. MEMAHAMI DUA PERKATAAN

Pernahkah anda beberapa ketika mendengar dengan kata-kata bahawa "antara tahu dan rasa itu merupakan dua perkara yang berbeza" ?

Bahkan mereka yang tahu dan mereka yang rasa juga merupakan dua individu yang berbeza.

atau anda memang tidak pernah menerima kata-kata falsafah sehingga mengatakan ia merupakan permainan bahasa yang meletihkan minda?

atau anda tidak ingin mendalami berbahasan yang berkaitan dengan ilmu kalam (mantiq)?

Terpulang kepada persepsi masing-masing. Jelasnya, memang benar bahawa dua perkataan iaitu 'tahu' dan 'rasa' ini ada bezaanya. Bukan dari aspek lafaz dan ejaan, tetapi dari aspek makna yang perlu untuk difahami.

Sebagai contoh,

1. Mereka yang tahu bahawa air itu manis dengan mereka yang telah rasa bahawa air itu manis. Berbeza bukan?

2. Mereka yang tahu beratnya memikirkan kerja persatuan dengan mereka yang telah rasa beratnya kerja-kerja persatuan. Berbeza bukan?

3. Mereka yang tahu bahawa peperiksaan itu susah dengan mereka yang telah rasa memang peperiksaan itu susah. Berbeza bukan?

kerana mereka yang tahu belum tentu dapat merasa tahap dan taraf sesuatu sifat sehinggalah dia sendiri rasainya. Tahap manisnya air, tahap beratnya sesuatu benda dan taraf susahnya peperiksaan. Dan mereka yang tahu belum tentu dia merasa, hanya mereka yang telah rasa sahaja lebih mengetahui akan sifat sesuatu benda tersebut.

Boleh faham? Ok, habis, NEXT...


2. LINGKUP PEMIKIRAN

Perenggan ini bukannya berkaitan dengan bahasa, tetapi ia hanya melibatkan dua perkataan yang sering kita sebut, tetapi sukar untuk melaraskan makna bagi satu dunia. 'Hebat' dan 'terbaik' merupakan perkara subjektif yang dinilai beza disisi individu. Hak dan rasa hormat yang tinggi terhadap dua perkataan ini juga akan dinilai secara berbeza.

Sebagai contoh, siapa yang hebat?

"Owh, pada saya, dia yang hebat."

"Tidak, pada saya dia biasa-biasa jer, tue, yang tue baru hebat."

Pernah dengar dialog ini? Boleh faham apa yang saya hendak sampaikan?

Dalam hal ini, menilai seseorang individu yang dikatakan hebat dan terbaik adalah berbeza disisi masing-masing, melainkan ia diiktiraf oleh ramai orang dan juga oleh badan-badan atau mereka yang berpengaruh seperti badan pengkaji, dan sebagainya.

Tetapi secara individunya, kita sebenarnya mengalami masalah ruang lingkup pemikiran yang berbeza dalam sesuatu benda atau perkara.

Di sekolah sains misalnya? Siapakah yang hebat? Tentu sekali mereka yang dikatakan hebat adalah mereka yang hebat menganalisis dan berhipotesis, bahkan mampu mencipta itu dan ini, dengan keputusan peperiksaan yang tidak mampu dicapai oleh pelajar yang lain, semestinya ia akan diiktiraf hebat.

Di sekolah sukan pula, siapakah yang hebat? Tentu sekali mereka yang dikatakan hebat itu adalah mereka yang mampu bermain dengan semua jenis sukan, bahkan boleh mencatat rekod-rekod yang tidak mampu dicapai oleh pelajar yang lain.

Di sekolah tahfiz pula? Semestinya mereka yang boleh menjaga solat jemaahnya, mampu menghafal al-Quran dengan pantas, dilihat wara' dan sikah. Maka secara umumnya, mereka ini dilihat hebat.

Dan inilah yang saya maksudkan dengan Lingkup pemikiran.


PERMATA MUTAH

Begitu juga dengan perkara yang berlaku sehingga diperingkat universiti, dalam memilih pemimpin pelajar sekalipun kita akan menilai dari aspek yang sama berdasarkan tahap pendidikan. Tidak sama seperti di universiti-universiti tempatan yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dari pelbagai fakulti sama ada di bidang agama, sains, ekonomi, dan pelbagai lagi. Maka cabaran untuk dipilih sebagai pimpinan pelajar lebih luas.

Ini berbeza dengan Permata Mutah yang melihat kepimpinan individu berdasarkan nilai dan lingkupan tertentu iaitu tahap wara' nya, sikah nya, tawadu' nya, seseorang pemimpin kerana kita berada di ruang lingkup pemikiran pelajar-pelajar agama.

Sedangkan menilai pemimpin yang menyelia persatuan itu perlu dilihat dari aspek yang lebih terbuka sehingga ke satu tahap pengurusan yang mesti dilihat lebih terkehadapan. Ya, benar, semua mampu mengurus, tetapi antara cekap dan tidak cekap, kemas dan tidak kemas, pantas dan tidak pantas amat berbeza.

Jika pengurusannya dikatakan hebat, ya, memang hebat, tetapi hebatnya dinilai ditahap itu, yang mungkin kerana kita tidak pernah melihat pengurusan yang lebih hebat dari itu. Betul atau tidak betulnya cara pengurusan itu, dan ini dinilai oleh kita berdasarkan ruang lingkup pemikiran yang terhad.

Oleh itu, tidak hairanlah jika apa yang berlaku pada pemilihan kepimpinan pada bila-bila masa sahaja pun akan terjadinya begitu, kerana apa? kerana lingkup pemikiran yang terhad. Tidak mengapa, kita belum merasa.


SAHABAT MUTAH

Begitu juga dengan seorang individu ini, saya tidak sehebat dia yang mampu memetik hujah-hujah dan dalil-dalil nas begitu lancar sekali, saya cukup hormat dan kagum kerana kemampuannya serta ilmunya berdasarkan pembacaannya yang banyak. Tetapi pada saya, dia berada pada ruang lingkup pemikiranya yang tersendiri, terhad! Hanya pada ilmu-ilmu tertentu dan tidak meliputi ilmu-ilmu yang lain, dan kita semua juga begitu.

Pada kita, masing-masing adalah dipihak yang benar, kerana apa? kerana lingkup pemikiran kita yang terhad. Tidak terbuka, mungkin jika pada suatu masa nanti sahabat kita ini akan lebih terbuka setelah menjumpai masyarakat. Dia mengiktiraf ulama dia dan kita mengiktiraf ulama kita.

INGAT, ulama yang meng 'rad' ulama yang lain, belum tentu menunjukkan bahawa ulama itu salah, kerana itu hanya pendapat, walaupun dia mengeluarkan hadis-hadis tertentu, sama ada dia tidak mengiktiraf taraf hadis ataupun kerana dia tidak pernah terbaca hadis tersebut.

Melainkan jika seseorang ulama itu diiktiraf sesat oleh imam-imam yang sealiran dengannya.

Saya contohkan solat terawih? Kita kata kepada orang bahawa sunat rakaatnya lapan. Tiba-tiba ada seorang hamba Allah solat dua rakaat jer... Kita pun kata, "abang, kenapa solat dua rakaat jer? tak cukup pahala ni, nabi buat lapan rakaat."

Dan macam mana kalau saya kata saya ada menjumpai hadis yang mengatakan nabi pernah melakukan solat sunat terawih dua rakaat? Adakah saya akan kata begitu pada abang tersebut? sudah tentu tidak, bahkan saya hanya tersenyum melihat abang tersebut.

Hendak saya tunjuk hadis tersebut? Nanti semua nak buat dua rakaat jer, kalau macam tu tak pelah, nanti masuk bulan ramadhan, kita selang-selang, satu hari buat dua rakaat, esok buat lapan, esok lagi buat dua puluh, gilir-gilir, setuju?

Habis itu macam mana dengan syiah? Takkan kita nak kata dia betul sebab imam sealiran dia tidak menyesatkan imam-imam dia yang lain? Saya tidak kata begitu, memang mereka berada diruang lingkup pemikiran yang begitu, kita hanya mampu berdoa bahawa Allah memberikan mereka petunjuk. Tetapi jika sudah tahap menolak al-Quran, takkan pemikiran akal waras kita hendak kata mereka masih dipihak yang benar.? Tentu tidak sama sekali.

Sebab itulah sebahagian ulama-ulama suruh kita berdoa dengan doa ".....tunjukkilah aku ya Allah dengan sebenar-benar petunjuk dan hidayah sebagaimana engkau memberikan petunjuk dan hidayahMu kepada junjungan Muhammad saw....."


BUANG EMOSI

Pada saya isu khilaf ini tidak perlu dibincang panjang, sahabat kita tu berada dalam ruang lingkup pemikirannya yang tersendiri, kerana dia belum terdedah dengan benda-benda lain, dia belum merasa sebagaimana kita rasa, dan kita tidak rasa sebagaimana yang dia rasa.

Dan mungkin sahabat kita tu sedikit emosi dalam berkata-kata. Jadi jangan mudah kita melenting, berdasarkan ilmu kajian jiwa penulisan saya, 90% penulisannya adalah beremosi. Saya memahami.

Cuma atas sebab dua faktor utama sepertimana yang saya katakan pada mula-mula tadi, antara rasa, tahu, dan ruang lingkup pemikiran yang membuat kita berbeza.

Jika Dr. Asri yang suatu ketika dahulu merupakan seorang yang agresif dan syadid tetapi sekarang sedikit kurang, bukan sebab bertukar prinsip, tidak, tetapi kerana cara yang perlu disampaikan ilmu dan pendapat itu perlu selari dengan tahap pemikiran penerima.

Ingat! kita perlu meraikan pendapat masing-masing kerana ruang lingkup pemikiran yang berbeza, dan kita tidak rasa sebagaimana individu lain rasa.



Semoga penulisan kali ini memberi manfaat sebagai usaha saya untuk mendamaikan dua pihak.

WaAllahu a'alam....


Firman Allah swt:

"[118] Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat [119] kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya." Hud [11] : 118-119

Kerana Belum Tiba Masanya.



Kesilapan besar dalam diri manusia apabila mengatakan bahawa mereka telah berada dipenghujung pilihan.

Apabila sesuatu perkara tidak dapat dicapai, bukanlah bererti ia bukan untuk kita. Tetapi ia disebabkan kerana ia belum diizinkan Allah swt. Jadi, tiada perkataan putus asa dalam diri hamba Allah yang bersyukur.


Selagi Kita Masih Hidup.

Mungkin ada di antara kita pernah bertanyakan soalan dan seolah-olah merintih dengan persoalan "mengapa tidak diizinkan Allah swt dalam sesuatu perkara"

atau, kita sudah berusaha, tetapi masih tidak beroleh hasil yang memuaskan.

Sedar atau tidak, konsep keizinan Allah swt janganlah dipersoalkan selagi kita masih hidup. Sepanjang hayat kita, kita belum pasti, apa yang kita kehendakkan akan tiba kunjungnya ataupun tidak. Ia hanya dapat dipastikan apabila kita benar-benar pasti bahawa hidup telah sampai kepenghujungnya.

Siapakah yang dapat meramal dan menjangka? benarkah kita tidak diizinkan Allah swt, ataupun belum diizinkanNya?

Siapa tahu, apa yang telah kita usahakan akan membuahkan hasilnya tidak lama lagi, bahkan lebih besar hasil dan nikmatNya yang dicurahkan daripada mereka yang berusaha dan mendapat balasNya dalam masa terdekat. Kerana hasil itu nanti disebabkan dua ganjaran:

1. kerana hasil usaha
2. kerana sabar menanti hasil

Maka janganlah kita berhenti daripada berusaha walaupun tidak nampak hasilnya, kerana Allah swt lebih mengetahui waktunya untuk dikurniakan kurniaanNya kepada hambaNya.


Tanggungan Dosa dan Pahala.

Bukankah Allah lebih mengetahui daripada hambaNya, dan Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya dan bilakah kurniaan itu perlu sampai kepada hambaNya.

Segalanya bersebab, kemungkinan kurniaan yang Allah swt akan berikan hanya akan membuatkan kita bertambah dosa daripada pahala. dan mungkin nikmat dan kelebihan yang Allah swt akan berikan hanya akan menyebabkan kita lebih banyak berdosa daripada banyak berpahala.

Dan atas sebab itu juga merupakan bukti yang Allah amat menyayangi kita. Supaya kita tidak menanggung dosa yang banyak. Bukanlah segala nikmat yang Allah swt kurniakan merupakan nikmat yang menggembirakan, tetapi adakalanya nikmat yang Allah swt kurniakan sebenarnya sebagai satu bentuk ujian.

Untuk melihat sama ada hambaNya bersyukur, atau bongkak dan takabbur dengan kurniaan dan kelebihan yang diberikan.

firman Allah swt dalam surah al-Baqarah:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan atas kemampuannya..... " [2:286]

Kemampuan disini bukan sekadar ujian yang menimpa-nimpa, kemampuan di sini juga bermaksud kemampuan dalam kita menanggung antara dosa dan pahala pada setiap kurniaan, nikmat, kelebihan dan ujian dariNya.


...adalah lebih baik untuk tidak dikurniakan jika hanya
akan mendatangkan dosa dan dharurat yang banyak...


Oleh itu, nasihat kepada saya dan kepada anda jua, janganlah kita berputus asa pada usaha yang belum mendatangkan hasil, kerana selagi kita msih hidup, yakin dan percayalah bahawa ia akan sampai, tetapi mungkin belum masanya.

Apabila kita merintih, ingatlah akan dosa dan pahala. Apa yang berlaku ada hikmahnya, ada negatif dan ada positifnya. Apa yang penting, teruslah untuk menjadi hambaNya yang bersyukur.

firman Allah swt dalam surah al-Fussilat:

"Manusia tidak jemu memohon kebaikan, dan jika ditimpa malapetaka, mereka (pula) berputus asa dan hilang harapan" [41:49]

"dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong, tetapi) apabila ditimpa malapetaka maka (barulah) dia (hendak) membanyakkan doa" [41:51]



waAllahua'alam...

Tiada Ilmu yang berdiri tunggal.

Penguasaan dan kemahiran dalam sesuatu bidang sememangnya merupakan kepakaran yang memberikan 1001 manfaat. Namun kita perlu ingat, "SESUATU JENIS ILMU TIDAK MAMPU UNTUK BERDIRI TUNGGAL".

KEMAHIRAN KITA, BERHAJATKAN KEPADA NILAI TAMBAH ILMU DAMPINGAN.

Ini disebabkan oleh beberapa kelemahan insan yang bernama manusia. Walau apa jenis dan bidang ilmu sekalipun sememangnya ia tidak mampu untuk berdiri tunggal. Sebagai contoh, ilmu sains berhajatkan kepada ilmu matematiknya, kimia dan mekanikalnya, fizik dan bionya dan bermacam-macam lagi yang boleh anda perhatikan sendiri.

Dalam hal ini, ilmu bidang agama juga tidak terkecuali, dan fokus saya pada tajuk penulisan ini ialah ilmu yang berkaitan dengan bidang agama.


FEQH DAN FATWA

Persoalan utama ialah mengapa ulama' berselisih pendapat dalam sesuatu hukum?

Ini kerana ulama berselisih dalam MEMAHAMI NAS untuk meng ISTINBAT kan HUKUM.

Saya sangat menghormati dan memandang tinggi kepada beberapa individu yang mampu berfatwa dengan pelbagai hujah yang dibawa bersama untuk menyokong fatwa-fatwa mereka.

Izinkan saya mencelah dan bertanya, sejauh manakah anda pasti fatwa anda benar-benar seperti apa yang dimaksudkan dengan nas / dalil?

Sebab itu kita memerlukan syarahan ulama' dalam dalil-dalil supaya apa yang kita nyatakan tidak terdorong dengan hawa nafsu?

Mengapa saya katakan demikian? Kerana kita bukan nabi yang Maksum, kita hanya insan yang kadangkala terikut dengan hawa nafsu yang memang kadang-kala tidak mampu untuk membezakannya.


CONTOH ROKOK

Saya bagi contoh rokok. Kalau seseorang individu sukakan rokok, maka dengan sedaya upayanya dia akan mencari dan mengeluarkan hujah-hujah nas supaya rokok itu tidak haram.

Berbanding dengan mereka yang tidak sukakan rokok. Mereka akan sedaya upaya mencari dan mengistinbatkan hukum supaya rokok itu mesti dijauhi.

Sebaliknya bagi mereka yang bencikan rokok, mereka akan mencari dan mengeluarkan hujah-hujah nas supaya mengharamkan terus rokok tersebut.

Lihat, mereka cenderong kepada hawa.


TIADANYA ILMU YANG BERDIRI TUNGGAL

Berbalik kepada isu berkaitan, suka saya memberi pandangan bahawa jangan kita terlalu jauh berfatwa, sehingga kita lupakan pokok utama ilmu feqh. Apabila kita terlalu asyik menggunakan kaedah-kaedah feqh, Maqosid feqh dan sebagainya, adakalanya kita terlupa dengan ilmu utama feqh.

Ilmu feqh sendiri ada mengatakan bahawa Al-Quran mempunyai nas-nas yang terperinci dan nas-nas yang umum. Bahkan hadis-hadis pula ada yang mengandungi hukum yang sepakat dengan hukum al-Quran dan ada juga yang menjelaskan dan memperincikan keumuman Al-Quran (rujuk kitab Madkhal Li Dirosati Syariah Islamiah; Dr. Abdul Karim Zaidan).

Ini menunjukkan bahawa mensyarah al-Quran sendiri memerlukan hadis-hadis untuk menjelaskan maksud tersirat yang terkandung di dalamnya.

Kenyataan ini bukanlah bermakna al-Quran itu lemah kerana tidak boleh berdiri tunggal, tetapi ia disebabkan kita yang lemah untuk memahami ayat al-Quran.


FEQH BUKANLAH SEGALANYA

Kadang-kala saya juga terfikir, mengapalah orang mengatakan pelajar timur tengah ini apabila pulang ke rumah nanti akan dipanggil wahabi (wahabi punyai pelbagai tafsiran, saya bermaksudkan wahabi di sini ialah melarang keghaliban masyarakat malaysia)

Ya, ini jawapannya, mungkin kerana pelajar timur tengah terlalu panas dengan ilmunya, panas dengan ilmu feqh semata, yang mana kita lupa, ilmu feqh ini adalah ilmu yang terkemudian, sedangkan yang mendahuluinya adalah ilmu Akidah, dan ilmu dakwah. (lihat Toriq Dakwah Nabi)

Berpandangan jauhlah sebelum kita berfatwa, berfatwa juga ada adab-adabnya, hatta Saidina Omar r.a juga sangat menjaga fatwanya dengan meletakkan dirinya pada mereka yang bakal mengikut fatwa, iaitu dengan kadar orang yang menerima fatwa, "biqodari 'uqulihim" . Bukannya melihat kepada diri kita.

Jadi, merasai dan menjiwai itu lebih perlu daripada melihat dengan pandangan mata kasar.

Firman Allah swt dalam surah Al A'alaa:

"dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk" 87:3

Penulisan saya ringkaskan, kerana saya enggan berhujah panjang.

WaAllahu a'alam...

p/s: saya merayu kepada pelajar-pelajar agama, kuasai juga ilmu akidah, ilmu dakwah dan akhlak, kerana feqh bukanlah segala-galanya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...