 |
Barangsiapa yang mentaati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya berjaya dengan kejayaan yang nyata. |
Setelah sekian
lama, kita melihat bahawa isu hudud ini seringkali tenggelam timbul, apabila ia
tenggelam tidak semena-mena ia akan timbul semula, sama ada disebabkan oleh
politik, kejahilanan pemahamam yang kadang-kala tidak masuk akal. Adakalanya kita
melihat ia seperti dihangatkan semata-mata untuk melihat kepintaran
seseorang, atau kejahilan seseorang atau hanya kerana ia perbalahan sesama kita
dan di api-apikan.
Saya sering kali
terdetik untuk menulis tentang hudud ini, tetapi memikirkan bahawa ia tidaklah
terlalu serius kerana kehangatan hudud ini tidak lari dari serangan dan agenda
politik tersendiri. Tetapi apabila melihatkan kejahilan kefahaman individu yang
makin merebak entah sampai bila, akhirnya saya terpanggil untuk membetulkan sedikit pemahaman. Telah ramai ilmuan yang berkata mengenainya, saya hanya menambah.
Ironinya, telah banyak
kaedah serta pelbagai ceramah dan seni dakwah yang sampai kepada masyarakat Malaysia
khususnya untuk menerangkan bahawa hudud itu adalah begitu dan begini, tujuannya semata-mata
untuk mempeingatkan kepada kita bahawa had Allah swt bukanlah satu senda
gurauan.
Mungkin ada yang
mengetahui, tetapi tidak beringat tentang fobia dalam Islam, kesan besarnya fobia
masyarakat dunia tentang Islam adalah mengenai hudud. Bukannya syahadah, solat,
puasa, zakat mahupun haji. Bagaimana kita melihat bahawa terlalu ramai yang
tersalah sangka mengenai hudud Allah swt. Mungkin mereka terkesan dengan fobia mengenai
cerita dan berita hudud.
Ya, siapakah
yang tidak takut apabila melihat hukuman yang secara dasarnya memang tidak
mampu untuk dilihat dengan kudrat pancaindera kurniaan Allah swt. Masih segar
diingatan saya tentang sebuah kisah dari guru saya [bukan Malaysia], yang pada waktu itu dia masih dibangku sekolah, ketika di pekan dia melihat ramai yang
menuju ke satu tempat, dia berhimpit dan ingin melihat apakah yang sedang
berlaku di hadapan itu? Lalu beliau mendapati bahawa seseorang sedang
dipancung, lalu lemah gemalai tubuh beliau melihat individu tersebut dipancung,
beliau dibantu oleh rakannya untuk pulang keasrama. Itu kisah
puluhan tahun dahulu, ketika itu beliau pun masih lagi di pangku sekolah, yang
tidak biasa melihat darah dan hukuman sebegitu. Itu bukanlah hudud.
Jika
dinilai dari aspek pancaindera kita sebagai manusia, apabila melihat sesuatu
yang tragis kita anggap ia sebagai suatu kekejaman, sedangkan banyak lagi
perkara tragis yang tidak kita tahu yang jauh lebih kejam dari hudud Allah swt, tragis lain merupakan kekejaman, tetapi hudud itu jauh bertujuan mendidik hambaNya untuk terpandu hidup di dunia ini.
Sebenarnya fobia
masyarakat dunia kepada Islam dihebahkan lagi dengan salah faham orang Islam
itu sendiri terhadap agama mereka. Jika dilihat ada kes berkaitan perogol beragama
Islam yang dikerat kemaluannya, ada wanita yang berzina dipukul dan terbogel
sebelum mati, ada kanak-kanak perempuan yang dirotan dengan kejam kerana telah
memalukan keluarganya. Ini semua telah mem-fobia-kan masyarakat dunia dan telah
menyebabkan salah faham berlaku dalam Islam.
Ya, sebagai
Islam kita tahu ia bukanlah hudud Allah swt, tetapi masyarakat dunia telah sepakat
mengatakan “Oh,! begini rupanya Islam mengajar penganutnya”
Begitu juga saya
melihat video terbaru Tun mengenai tanggapan beliau terhadap hudud Allah swt.
Apa yang diperkatakan beliau tidak banyak jauh bezanya dengan apa yang telah
beliau katakan pada 4 tahun lalu ketika saya turut serta dalam pertemuan
bersama beliau di pejabatnya.
Beliau sering
memberi contoh tentang kes mengenai wanita yang mendakwa dirogol, lalu tidak
dapat mengemukakan 4 orang saksi, lalu telah diqazaf akibat tuduhan zinanya
itu. Contoh itu berlaku pada sekitar tahun 2008 dan saya tidak akan sebutkan di
negara manakah ia berlaku. Saya
melihat bahawa ia seperti terkesan dengan fobia tentang hudud ini.
Saya suka melihat mereka yang dikatakan jahil dengan kacamata dakwah,
kerana jika saya melihat dengan kacamata fiqh saya akan menghukum, dan jika
saya melihat dengan kacamata ahli hadis saya akan syadid. Tetapi jika melihat
dengan kacamata dakwah, kita akan senyum dan menjawab dengan hikmah.
Beliau bukanlah orang yang mahir tentang ilmu Islam, namun pemikiran dan
logik akal manusia juga adakalanya perlu dirai, mereka yang tidak faham kita
fahamkan, mereka yang tidak tahu kita tahukan mereka, jika kita yang mengaji
pengkhususan agama pun kuat melatah, maka tidak ada bezanya antara kita dan
masyarakat awam.
Saya cuba untuk memberikan sangkaan sebaik yang mungkin. Mungkin apa yang
dibicarakan oleh beliau adalah mengenai tatacara hudud. Bagaimana mensabitkan
kesalahan, bagaimana mengira sesuatu individu sebagai pesalah, bagaimana jika
berlaku syubhah dalam sesuatu kes, dan sebagainya. Saya tidak mengulas
lanjutnya.
Hudud itu bukanlah bukti bahawa tertegaknya dunia Islam, selepas kejatuhan
khilafah Uthmaniah, kita sekarang sedang menjalani semula kefahaman dan
keteguhan pegangan terhadap Islam. Dakwah perlu berjalan semula, bukanlah
maksud saya kita perlu bermula dari A, tetapi serba sedikit kesan daripada
kejatuhan khilafah itu membuatkan kita perlu semula memberi kefahaman kepada
masyarakat Islam tentang agama yang mereka warisi.
Ketahuilah, terbinanya Islam melalui 5 perkara:
Syahadah terhadap ketuhanan Allah swt yang tiada lain yang disembah
melainkan dia, dan muhammad itu adalah utusan Allah swt, menunaikan solat 5
waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, dan melakukan haji atas
kemampuan. [Bukhari dan Muslim]
Lihatlah susunan kalimah ini, permulaannya bercerita tentang akidah,
kemudian baru disusuli dengan kewajiban, kemampuan, perkongsian susah dan
senang, dan pengorbanan. Sempurna semua, maka jalankanlah had Allah swt kepada yang melampau.
Fahamilah bahawa Islam itu cukup indah untuk dianuti dan di amalkan. Lengkap
selengkap-lengkapnya.
WaAllahu a'alam...