Budaya masayarakat kita semakin kurang keutuhannya. Manatidaknya pelbagai kes dan maksiat yang berleluasa dan masing-masing hanya mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri dengan beralasan bahawa ia tiada kena mengena dengan diri dan keluarga mereka.
Apabila ditanya ramai yang mengatakan bahawa 'aku hanya mampu membenci dengan hati'...
Siap bagi hadis untuk menyokong hujah mereka, "barangsiapa melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya (menegah dan menghalang) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah lisan (percakapan) dan jika tidak mampu hendaklah dengan hati"
tetapi mereka sengaja tidak menghabiskan bacaan hadis tersebut yang mengatakan bahawa "sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman" (merujuk kepada mencegah mungkar dengan menggunakan hati)
Baru-baru ini kes penderaan yang mengakibatkan kematian iaitu adik Syafia Humairah menjadi bukti dan saksi kepada kelemahan hidup rakyat Malaysia sebagai satu masyarakat. Rakyat Malaysia dilihatkan begitu mudah untuk mengajak membuat sesuatu kebaikan malangnya tidak mudah untuk kita menegur kesilapan. Takut di ugut, bergaduh, dibenci, dan di tuduh 'sibuk menjaga tepi kain orang'.
Ilham untuk menulis tajuk ini lahir selepas saya membelek latihan ilmiah tulisan sendiri sewaktu belajar di KUIS, latihan ilmiah setebal 85 muka surat dan sebesar saiz A4 ini membincangkan mengenai kes penzinaan dan kaedah pensabitannya di negeri selangor. (boleh membacanya di perpustakaan KUIS)
Hasilnya, saya menjumpai satu hadis riwayat al-Hakim yang berbunyi:
"Daripada ibnu Abbas r.a bersabda Rasulullah s.a.w: Jika jelas akan penzinaan dan riba pada sesebuah perkampungan itu, maka sesungguhnya halallah pada diri mereka itu akan azab Allah".
Hadis ini jelas menunjukkan begitu pentingnya kita hidup dalam satu kemasyarakatan untuk mengekalkan keutuhan dan kebajikan ummah agar tiada bala yang akan menimpa satu kampung hanya kerana beberapa kesalahan yang dilakukan oleh ahli qaryah yng tidak bertanggungjawab.
Allah juga turut memperingatkan kita bahawa perlunya kita untuk tidak mementingkan diri dan mengabaikan ahli yang lain, seperti firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahlimu daripada neraka..."
(Surah AtTahrim ayat ke 6)
Cukuplah dengan kematian adik Syafia Humairah yang memberi peringatan kepada kita betapa pentingnya hidup dalam satu keluarga sebagai saudara sesama Islam. Sebuah penderaan yang disaksikan oleh penduduk kampung tetapi tiada teguran dan tindakan oleh masyarakat setempat, bahkan menurut akhbar ibunya telah bersekedudukan selama hampir 6 tahun sehingga melahirkan anak luar nikah yang berusia 1 tahun dan 6 bulan.
Walaupun ibu Syafia menafikan keadaan itu tetapi mengapa pula kematian Syafia Humairah dituntut oleh keluarga teman lelaki ibunya? Sebuah kemusykilan yang hanya Allah, keluarga mereka dan orang kampung sahaja yang tahu.
Alfatihah buat arwah adik Syafia, juga sekalung fatihah buat hati-hati ibu dan keluarga adik Syafia serta penduduk kampung yang telah "MATI"
Wallahu A'alam.
INFO: Kronologi kes penderaan kanak-kanak sehingga mendatangkan kematian
(Sumber: Berita Harian)
# Kuala lumpur, 27 Februari 2010 - Seorang budak perempuan berusia tiga tahun, Syafia Humairah Sahari mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka, di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, baru-baru ini.
Mangsa dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan.
Kanak-kanak malang itu dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB) ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa mangsa mati akibat kemalangan jalan raya.
# Kuantan, 25 Disember 2009 - Sepasang suami isteri yang menghantar bayi perempuan berusia tujuh bulan dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Intensif (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan mendakwa anak mereka itu tidak sedarkan diri dan mengalami sawan. Bagaimanapun, pasangan berkenaan ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Doktor yang merawat bayi itu mengesyaki sesuatu berlaku pada bayi berkenaan dan melaporkannya kepada polis yang kemudian, menahan bapa mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bersama isterinya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Bagaimanapun, hasil laporan doktor yang melakukan pemeriksaan menunjukkan mangsa mengalami pendarahan otak, mata, sawan serta kesan lebam pada tubuh.
# Kangar, 8 Disember 2009 - Sepasang kekasih dari Kampung Repoh di sini bertindak mendera anak luar nikah mereka berusia 22 bulan hingga mati sebelum bertindak melaporkan kanak-kanak berkenaan mengalami demam biasa.
Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata pasangan yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan itu bertindak mendera mangsa selepas tidak tahan dengan tekanan hidup mereka.
# Kajang, 21 Oktober 2009 - Kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang lelaki Afrika didakwa sanggup mendera, merogol dan meliwat anak kekasihnya yang baru berusia tiga tahun sehingga kanak-kanak itu menemui ajal.
Malah, kekasih wanita terbabit yang juga seorang janda berusia 24 tahun tergamak bersekongkol dengan warga asing itu apabila sanggup berbohong dengan mereka cerita kononnya anaknya mati akibat didera pembantu rumah.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati fakta dalam keterangan diberikan wanita yang bekerja sebagai setiausaha itu meragukan sebelum merumuskannya sebagai pembohongan apabila mendapati wanita terbabit tidak pernah menggaji pembantu rumah yang didakwa melarikan diri sejurus selepas tragedi menyayat hati itu.
# Georgetown, 30 April 2009 - Akhbar melaporkan perbuatan seorang bapa mendera anak perempuannya sehingga mati sebelum ditanam di kawasan padang, kira-kira dua kilometer dari rumah mereka di Kampung Pisang, Air Itam, tiga tahun sebelum kejadian akhirnya terbongkar selepas didedahkan salah seorang kakak mangsa.
Kakak mangsa serta dua lagi adik-beradiknya juga mengaku pernah didera dan dicabul bapa mereka, yang dikatakan tidak bekerja serta mempunyai tiga isteri dan 10 anak. Anak dibunuh itu pula adalah hasil perkahwinannya dengan isteri kedua.
# Johor Bahru, 7 Januari 2009 - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh anak tirinya berusia tujuh tahun pada 27 Disember 2008.
Lelaki itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak warga Thailand mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Siwakorn Sukuntha, di sebuah rumah, di No 08-04, Blok A, Kondominium Pulai View, Taman Kobena, Tampoi, di sini, antara jam 9 malam, 24 Disember hingga 1 tengah hari 27 Disember 2008.
Advanced Search
Custom Search
Followers
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment