Gambo Hiasan Ajerrr... |
Tahukah anda akan kewujudan Filem Syukur 21? Atau, masihkah anda mengingatinya?
Sebuah Filem yang diterbitkan pada tahun 2000 ini dimuatkan dengan
unsur-unsur Islam yang mana dibintangi oleh kumpulan nasyid yang terkemuka pada
ketika itu iaitu kumpulan Raihan. Alasan mereka ia merupakan salah satu cabang
dakwah.
Biarpun Filem ini mengandungi unsur-unsur Islam yang cuba diserapkan ke
dalam lakonan, namun masih lagi saya ingat bahawa Filem ini juga mendapat
tentangan oleh beberapa ilmuan Islam tentang lakonan yang dihukumkan haram dengan
berhujahkan ’yang haram tetap haram’ dan ’matlamat tidak menghalalkan cara’
serta dalil-dalil lain. Namun ada juga yang menyatakan persetujuannya. Bagi
mereka yang ada ketika zaman itu pasti mereka tahu bagaimana fenomena ini berlaku
dan berlalu.
Bagaimana pula dengan perubahan muzik yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan
nasyid pada sekitar tahun 2001-2003? Pada mulanya kemunculan mereka hanya berlatar
muzikkan alatan muzik yang kebanyakkannya berasal daripada India dan Turki
seperti bonggo, yanki, rebana, dan yang seangkatan dengannya.
Peredaran zaman demi zaman membuatkan sedikit demi sedikit alatan muzik berunsur
tali telah dimasukkan ke dalam muzik iringan lagu-lagu nasyid, bahkan berlakunya juga revolusi yang dilakukan oleh kumpulan nasyid Rabbani yang mana telah
mengikat kontrak bersama kumpulan KRU untuk menghasilkan lagu-lagu yang
digemari oleh kebanyakkan orang muda. Rancak dan menggegar jiwa.
Dan pada ketika itu berlaku sekali lagi cakap-cakap antara ilmuan agama
yang berpandangan dengan lagu-lagu nasyid tersebut. Pelbagai hujah telah
dikeluarkan, seperti biasa perselisihan berlaku antara alasan dakwah dan hukum-hakam.
Pendek kata, sekitar era itu, ia menjadi topik perbualan yang hangat antara
ilmuan agama termasuklah masyarakat awam.
Hakikatnya, kekeliruan antara hukum dan dakwah telah mengikat pemikiran
kita dari berkata bebas mengenainya. Pelbagai pendapat oleh ulama’-ulama’
mu’asaroh (semasa) menjadi topik bualan, sehingga mereka dilabelkan sebagai
longgar dan ketat pada sesuatu hukum.
Kadang-kadang saya bertanya sendirian, APAKAH DAKWAH SENTIASA DIJADIKAN
ALASAN UNTUK HUKUM BERSIFAT LONGGAR DENGAN MASYARAKAT? Semata-mata bertujuan menarik minat ramai
untuk mendekati Islam dan sebagainya? Alasan kita supaya masyarakat faham Islam
dan mendekati Islam. Saya bertanya, apakah Islam yang dimaksudkan oleh kita?
Adakah untuk masuk Islam? Atau mengikut suruhan Islam?
Adakah kita berdakwah pada akidah Islam? Atau berdakwah pada zahiriah Islam
sekadar bersifat baik, berdisiplin dan memenuhi akhlak ajaran Islam?
Mungkin akan ada yang berkata, mulakan dengan mereka faham Islam, kemudian
biar mereka nampak Islam itu indah dan mudah, kemudian baru suruh mereka
melakukan suruhan Allah swt. Jawapan kita pelbagai.
Saya akui cabaran pendakwah kini semakin besar, dahulunya dakwah hanya menyeru
orang bukan Islam kepada Islam, dan memberi tazkirah kepada orang Islam untuk
sama-sama kekal berada di dalam keimanan, tetapi tidak pula bagi zaman kini, dakwah bukan sahaja untuk
menarik yang bukan Islam untuk menuju Islam, bahkan dakwah juga dilakukan kepada orang
Islam yang tidak mengikut Islam secara keseluruhan atau beragama Islam dan mengikuti ajaran Islam pada
bab-bab tertentu.
Saya tidak fikir dakwah kita hanya untuk menyedarkan masyarakat supaya
tidak melakukan maksiat, tetapi dakwah kita juga meliputi aspek perlaksanaan
suruhan Allah swt yang termaktub pada 5 rukun Islam yang tentunya berkait rapat
dengan akidah.
Masing-masing punya dalil kepada tegakan hujah tersendiri, tetapi pada
saya, benda khilaf ini boleh dikategorikan sebagai syubhah, dan benda syubhah,
tidak perlulah di tonjolkan, petik sahaja gitar secara tertutup, kerana jika
kita menonjolkan benda syubhah, kita seolah-olah menghalalkan ia, sedangkan
ulama’ yang membenarkan sekalipun hanya mengatakan ia adalah ’dibolehkan’,
tetapi tidak sampai mengatakan ia ’mengharuskan’, dan dua perkataan ini punya
perbezaan yang cukup ketara.
Pokoknya, saya bimbang jika kekeliruan ini berlaku pada ilmuan agama
sendiri sehinggakan kita sendiri tidak dapat membezakan antara nilai Islam dan
kelonggaran dakwah.
Nasihat saya ’kepada’ dan ’untuk’ saya, juga kita, ”jangan sampai hilangnya
keistimewaan Islam hanya kerana alasan dakwah.”
Tanya pada diri, apabila kita beralasankan dengan alasan dakwah, apakah benar kita beralasankan dakwah, atau kita sebenarnya
melonggarkan untuk manfaat diri kita sendiri?
0 comments:
Post a Comment