Advanced Search

Custom Search

Followers

Senget; Fatwa atau Kefahaman?


Muzakarah ke-99 Majlis Fatwa Kebangsaan yang membincangkan mengenai demonstrasi telah memutuskan akan pengharaman bagi umat Islam untuk menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Turut dibincangkan juga di dalam muzakarah tersebut adalah mengenai isu LGBT.

Saya cuba mencari maklumat penuh keputusan muzakarah tersebut di laman web e-fatwa, tetapi semasa penulisan ini dilakukan keputusan muzakarah itu belum boleh didapati di dalamnya, nampaknya kelajuan media cuba untuk melebihi kelajuan cahaya, apatah lagi fatwa mengenai perkara hangat sebegini, laju saja media berminat untuk sebarkannya.

Fatwa ini banyak mendapat tentangan daripada masyarakat yang kononnya berat sebelah, fatwa pada perkara yang berpihak pada kerajaan, pincang, senget, sumbang dan bermacam-macam lagi. Kesannya badan Fatwa Kebangsaan mendapat kritikan hebat dan masyarakat seolah-olah hilang kehormatan terhadap badan ini.

Memang benar ada yang mempersoalkan kenapa tidak diharamkan amalan kerajaan seperti dakwaan beberapa pihak seperti rasuah, curi duit rakyat, kerana bimbang ia seperti berat sebelah, Majlis Fatwa Kebangsaan seperti mendiamkan kesalahan pihak kerajaan.

Kita kena faham, bahawa tugas badan mufti adalah untuk mengeluarkan hukum yang tidak menjadi kebiasaan atau pada perkara-perkara yang tidak jelas, adapun bagi perkara yang jelas maka ia tidak memerlukan fatwa. Saya bagi contoh, andai kata mufti berkata arak itu haram, apakah dia sedang berfatwa? Tidak, ia sememangnya jelas haram dengan dalil yang jelas, tetapi sekiranya ia berkata sebaliknya, melanggar dalil yang jelas, maka itu baru dinilai sebagai fatwa.

Jadi, sekiranya kita berkata mengapa Majlis Fatwa tidak mengharamkan rasuah, salah guna kuasa, curi duit rakyat dan sebagainya, maka jawapannya, ia tidak memerlukan fatwa, kerana perkara sebegitu telah jelas dalil akan hukum haramnya, dan benda atau perkara yang sudah jelas akan keharamannya, ia tidak memerlukan fatwa. Cuma mungkin para mufti boleh menegur dengan kenyataan media secara peribadi kepada pihak kerajaan yang terlibat dengan pengharaman, walaupun tidak menggunakan Majlis Fatwa untuk berfatwa benda yang jelas keharamannya.

berhimpun dan berdemo, nampak macam tiada beza

Walaupun ada yang berkata bahawa salah faham berlaku kerana bahasa ataupun fatwa senget sebelah, tetapi pada saya, saya memahami secara konteks yang berlainan. Istilah demonstrasi ini perlu diteliti lebih mendalam, rakyat berdemo, pihak berkuasa juga pada hakikatnya berdemo, jika berdemo itu haram, jangan pula berkata berarak juga haram, berhimpun juga haram, kerana akan haramlah untuk berarak ketika maulid nabi apatah lagi berhimpun di perhimpunan sekolah. 

Hakikat haramnya adalah pada meraka yang merosakkan harta awam, jika demo pihak berkuasa yang mengganas, maka haramnya jatuh kepada pihak berkuasa, jika demo awam yang mengganas, maka haramnya jatuh kepada pihak rakyat.

Apa yang saya lihat, fatwa itu bersifat umum, siapa-siapa yang memasuki 'sebab haram' maka hukum haram itu berpihak kepada mereka. Pada saya, mengapa kita perlu melenting jika demo kita secara aman dan tidak menghasilkan sesuatu yang haram.

Saya menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, bagaimanapun saya masih merai dan melihat kepentingan hikmah dalam berfatwa.

waAllahu a'alam...

Firman Allah swt bermaksud:

"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya." al-Israa [17] : 36


1 comments:

Arrazzi Alhafiz Alattas said...

Sayang Majlis Fatwa yang sangatku segani dan hormati kembali menjatuhkan integritinya sendiri.

Ia kembali seperti zaman Dato' Dr Ismail Ibrahim menerajuinya. Tak pelik Pengerusi Majlis Fatwa boleh jadi pelakon dalam debat olok-olok PAS-UMNO satu masa dahulu.

Ya Allah...selamatkanlah agama ini dari ulama-ulama yang khianat kepada Islam dan umatnya.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...