Advanced Search

Custom Search

Followers

Menilaikan Sebuah Ibadah.

Pernahkah kita rasa tidak puas untuk bersujud kepada Allah swt?

Mungkin susah, bahkan ada sahaja sebab untuk kita segera menghabiskan ibadah yang dilakukan, sebagai contoh solat dengan keadaan yang tergesa-gesa.

Bahkan adakalanya melakukan ibadah sunat lebih khusyuk dan puas rasanya jika hendak dibandingkan dengan ibadah wajib, sehinggakan di satu tahap, kualiti ibadah sudah lagi tidak di peduli.

Mengapa?

Kerana yang sunat itu tidak dipaksa, bahkan memerlukan kerelaan untuk melakukannya, dan bukankah manusia ini lebih merasa puas terhadap sesuatu benda yang rela berbanding sesuatu paksaan?

dan jika jawapan kita adalah YA, maka jawapan kita kepada ibadah wajib selama ini merupakan satu paksaan.

Tapi, bukankah itu satu hakikat, yang mana manusia lebih merasa puas terhadap sesuatu yang tidak dipaksa? Bahkan kerelaannya boleh mencapai kepuasaan ditahap maksima sehingga ke suatu tahap yang mana kerelaan itu bernilai emas berbanding dengan paksaan yang mana ia terlebih dahulu datangnya rungutan sebelum datangnya perlaksanaan.

Hakikat penciptaan, maka itulah kita yang bergelar manusia dengan hati yang ada pasang surut keimanannya.

Jadi apakah usaha kita untuk memastikan sesuatu ibadah itu ada nilainya disisi Allah swt?

Konsepnya mudah, sebuah keterpaksaan boleh menjadi kerelaan apabila datangnya ikhlas. Oleh itu, keseronokan dalam beribadah perlu dicari, bukan sekadar melepas diri, bagaimana? terpulang kepada empunya hati, ketaatan memerlukan rasa gerun dan takut, kalau tidak, apapun tak jadi.

Sebenarnya, untuk mencapai khusyuk dalam sesuatu ibadah, sama ada keterpaksaan atau kerelaan ia bukanlah satu perkataan yang dijumudkan dalam pemikiran. Tetapi tahukah kita bahawa kita akan mula terfikirkan sesuatu yang lain apabila kita kosong.

Buktinya, bukan sahaja dalam beribadat, bahkan ketika belajar, ketika memandu dan ketika bersembang sesama rakan. Hal-hal lain itu akan datang ketika kekosongan.

Haa, itu tak masuk lagi yang cerita semasa dalam 'bilik termenung', ketika buang air pun boleh khayal. Begitulah nak kata lemahnya manusia ni.

Apa yang dimaksudkan dengan kosong ini? Kosong di sini bermaksud kita tidak ada apa yang hendak dibuat, contohnya ketika solat zohor atau asar, kita dah habis bacaan, tapi imam tak rukuk-rukuk lagi, maka waktu tu kita dah kosong, maka waktu itulah akan datangnya ketidak khusyukan. Mula teringatkan benda-benda lain.



...apabila kita mengharapkan setiap amalan dinilai ibadah disisi Allah swt, maka apa sahaja amalan yang dilakukan pasti akan terasa seronok untuk dilakukan, sehingga merasakan rugi jika ditinggalkan...

Apakah kita mahu ibadah kita tiada nilainya disisi Allah swt? Penat sahaja lakukan itu dan ini, tetapi pahalanya tiada, maka penatnya sahaja yang memberi kesan kepada fizikal, hati bagaimana?

Kita perlu bermuhasabah, jika beribadah hanya untuk memuaskan hati semata, maka ada kecacatan yang mesti dibaiki, hatta, kerelaan sekalipun apabila dilakukan berulang-ulang, kadangkala akan mendatangkan kebosanannya. Itulah hakikat hati manusia, ada sahaja yang tidak kena.

Maka gerakkan diri untuk melakukan 'ibadah paksa' secara rela, dan cuba untuk membosankan keterpaksaan. InsyaAllah, suatu masa nanti kita akan jumpa keseronokan dalam ibadah, yang mana sehingga kesuatu tahap, akan membuatkan kita terasa rugi, apabila meninggalkannya nanti...

Firman Allah swt:

[7]Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain* [8]dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap
Alam Nasyrah [94] : 7-8

*Sebahagian ahli tafsir mentafsirkan: apabila kamu (Muhammad) telah selesai berdakwah maka beribadatlah kepada Allah swt; apabila kamu telah selesai mengerjakan urusan dunia maka kerjakanlah urusan akhirat, dan ada lagi yang mengatakan: apabila telah selesai mengerjakan solat berdoalah.

WaAllahu a'alam...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...