Advanced Search

Custom Search

Followers

Kerana Belum Tiba Masanya.



Kesilapan besar dalam diri manusia apabila mengatakan bahawa mereka telah berada dipenghujung pilihan.

Apabila sesuatu perkara tidak dapat dicapai, bukanlah bererti ia bukan untuk kita. Tetapi ia disebabkan kerana ia belum diizinkan Allah swt. Jadi, tiada perkataan putus asa dalam diri hamba Allah yang bersyukur.


Selagi Kita Masih Hidup.

Mungkin ada di antara kita pernah bertanyakan soalan dan seolah-olah merintih dengan persoalan "mengapa tidak diizinkan Allah swt dalam sesuatu perkara"

atau, kita sudah berusaha, tetapi masih tidak beroleh hasil yang memuaskan.

Sedar atau tidak, konsep keizinan Allah swt janganlah dipersoalkan selagi kita masih hidup. Sepanjang hayat kita, kita belum pasti, apa yang kita kehendakkan akan tiba kunjungnya ataupun tidak. Ia hanya dapat dipastikan apabila kita benar-benar pasti bahawa hidup telah sampai kepenghujungnya.

Siapakah yang dapat meramal dan menjangka? benarkah kita tidak diizinkan Allah swt, ataupun belum diizinkanNya?

Siapa tahu, apa yang telah kita usahakan akan membuahkan hasilnya tidak lama lagi, bahkan lebih besar hasil dan nikmatNya yang dicurahkan daripada mereka yang berusaha dan mendapat balasNya dalam masa terdekat. Kerana hasil itu nanti disebabkan dua ganjaran:

1. kerana hasil usaha
2. kerana sabar menanti hasil

Maka janganlah kita berhenti daripada berusaha walaupun tidak nampak hasilnya, kerana Allah swt lebih mengetahui waktunya untuk dikurniakan kurniaanNya kepada hambaNya.


Tanggungan Dosa dan Pahala.

Bukankah Allah lebih mengetahui daripada hambaNya, dan Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya dan bilakah kurniaan itu perlu sampai kepada hambaNya.

Segalanya bersebab, kemungkinan kurniaan yang Allah swt akan berikan hanya akan membuatkan kita bertambah dosa daripada pahala. dan mungkin nikmat dan kelebihan yang Allah swt akan berikan hanya akan menyebabkan kita lebih banyak berdosa daripada banyak berpahala.

Dan atas sebab itu juga merupakan bukti yang Allah amat menyayangi kita. Supaya kita tidak menanggung dosa yang banyak. Bukanlah segala nikmat yang Allah swt kurniakan merupakan nikmat yang menggembirakan, tetapi adakalanya nikmat yang Allah swt kurniakan sebenarnya sebagai satu bentuk ujian.

Untuk melihat sama ada hambaNya bersyukur, atau bongkak dan takabbur dengan kurniaan dan kelebihan yang diberikan.

firman Allah swt dalam surah al-Baqarah:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan atas kemampuannya..... " [2:286]

Kemampuan disini bukan sekadar ujian yang menimpa-nimpa, kemampuan di sini juga bermaksud kemampuan dalam kita menanggung antara dosa dan pahala pada setiap kurniaan, nikmat, kelebihan dan ujian dariNya.


...adalah lebih baik untuk tidak dikurniakan jika hanya
akan mendatangkan dosa dan dharurat yang banyak...


Oleh itu, nasihat kepada saya dan kepada anda jua, janganlah kita berputus asa pada usaha yang belum mendatangkan hasil, kerana selagi kita msih hidup, yakin dan percayalah bahawa ia akan sampai, tetapi mungkin belum masanya.

Apabila kita merintih, ingatlah akan dosa dan pahala. Apa yang berlaku ada hikmahnya, ada negatif dan ada positifnya. Apa yang penting, teruslah untuk menjadi hambaNya yang bersyukur.

firman Allah swt dalam surah al-Fussilat:

"Manusia tidak jemu memohon kebaikan, dan jika ditimpa malapetaka, mereka (pula) berputus asa dan hilang harapan" [41:49]

"dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong, tetapi) apabila ditimpa malapetaka maka (barulah) dia (hendak) membanyakkan doa" [41:51]



waAllahua'alam...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...