Advanced Search

Custom Search

Followers

Memahami Konteks BAHASA Buat Pengkhususan Pengajian Islam.

Tahukah kita, betapa pentingnya untuk memahami konteks setiap perkataan yang dilafazkan. Sebagai pelajar agama, memahami sesuatu maksud perkataan adalah amat penting dalam menilai hukum dan meraikan kekhilafan yang berlaku antara dua insan.

Melihat kepada kes terkini di antara Tuan Zainul Rijal, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Mufti Perlis Dr. Juanda, saya terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan sekadar yang termampu dengan keterbatasan ilmu yang saya miliki.

Baca kes mengikut turutan : Dr Juanda , Tuan Zainul Rijal


Perlunya Memahami Bahasa.

Pada saya, masalah ini timbul disebabkan masalah bahasa. Di dalam pengajian Islam bahasa amat penting untuk kita memahami maksud sesuatu perkataan. Penafsiran bahasa sangat diambil berat oleh para ulama sebelum memahami konteks ayat-ayat Al-Quran dan Hadis untuk diterjemahkan mesra dengan Maqosid (tujuan) Syariah itu sendiri.

Ya, saya bukan pelajar di bidang bahasa, tetapi jika kita sebagai pelajar pengajian Islam kita sendiri maklum bahawa bahasa adalah kata kunci yang utama untuk memahami sesuatu ilmu dan untuk berkhilaf ilmu sesama kita.

Hatta, di antara 5 sebab yang dipersetujui ulama dalam bab dan asbab terjadinya khilaf sesama individu di pengkhususan Pengajian Islam, salah satunya adalah mengenai BAHASA, dalam memahami maksud sesuatu nas dan dalil.

Berdasarkan pengalaman sebagai pelajar yang pernah mempelajari ilmu undang-undang, saya terasa betapa payahnya untuk membicarakan kes di mahkamah Syariah di mana-mana negeri sekalipun. Penghujahan dan pembalasan hujah sangat memerlukan kekuatan bahasa untuk para peguam menerangkan ayat-ayat yang terkandung dalam enakmen-enakmen negeri yang sedia ada.

Hampir sahaja kami gagal menjawab soalan peperiksaan disebabkan tidak memahami kes, malah hendak menjawabnya juga perlu bermain dengan bahasa supaya hujah kami benar-benar kuat. Saya fikir, satu-satunya peperiksaan yang dibenarkan melihat buku ialah peperiksaan subjek undang-undang. (buku yang di maksudkan ialah enakmen-enakmen negeri)


Perkataan BUKTI dan SABIT mungkin puncanya.

Ya, Tuan Zainul Rijal bercakap di atas kapasiti beliau sebagai seorang pengamal undang-undang yang terikat dengan enakmen-enakmen yang sedia ada. Yang mana di dalam pembacaan undang-undang bukti dan sabit itu adalah dua perkara yang berbeza, bukti adalah benda yang dihujahkan dan sabit pula adalah penjatuhan hukuman.

Di dalam mahkamah Syariah sendiri, Qarinah bukanlah bukti yang boleh berdiri tunggal, ia hanyalah sandaran yang digunakan bersama bukti yang boleh berdiri tunggal (iaitu Iqrar dan saksi) yang mungkin bertujuan untuk menimbulkan syubhah kepada mereka yang membuat pengakuan melakukan kesalahan zina supaya pengakuannya itu tidak mengandungi unsur paksaan.

Hatta boleh juga menakutkan para saksi (menguji kebenaran kesaksian) yang cuba berniat jahat untuk melakukan fitnah terhadap perempuan atau lelaki ataupun mengelakkan para saksi itu daripada dipaksa.

Namun, Dr. Juanda pula bercakap atas dasar kapasiti sebagai seorang mufti yang dihormati. Yang mungkin (pada pendapat saya) memahami konteks bukti itu adalah pensabitan. Kerana zina disabitkan berdasarkan bukti.

Ini bermakna keduanya tidak menghadapi masalah, cuma ia mungkin akan mengelirukan sesetengah masyarakat.

Mencari kesalahan bukanlah motif penulisan, tetapi sebagai satu pengajaran dan ingatan buat pelajar Pengajian Islam supaya satu masa nanti kita perlu berhati-hati dengan bahasa, bukan sahaja bahasa arab, tetapi juga bahasa ibunda kita sendiri supaya kita tidak bertelagah hanya kerana salah memahami konteks bahasa.

Sebagai umat Islam yang dikurniakan akal, anda mampu menilai sendiri. Keterbukaan minda dan berlapang dadalah dalam berkhilaf sesama kita.

Sebab itu pada saya pentingnya kepada kita selaku pelajar pengajian Islam untuk mempelajari dan memahami ilmu Mantiq supaya kita dapat memahami maksud sebenar sesuatu pendapat dan yang penting ialah apa yang dikatakan oleh kita tidak mudah di manipulasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Melihatkan kepada kelemahan ini, dan juga melihatkan kepada pihak media yang suka memutarkan bahasa, maka eloklah untuk kita berdiam sahaja di hadapan media untuk mengelakkan kekeliruan masyarakat.

__________________________

1. Apa pun, saya suka melihat kepada cara Dr. Yusuf Al-Qaradawi mengeluarkan fatwa dan pendapat. Ketika berlakunya isu alkohol, beliau telah memanggil beberapa ahli saintis untuk memberitahu beliau apa itu alkohol. Ketika isu suntikan vitamin, beliau sekali lagi telah memanggil doktor pakar untuk ceritakan kepada beliau apa itu suntikan vitamin.

2. Melihat kepada maslahat ummah masa kini, saya amat bersetuju sekiranya jabatan mufti menerbitkan buku mereka sendiri seperti 'Bicara Mufti' dan elakkan daripada memberi pendapat kepada media, kerana editor-editor media adakalanya lebih hebat ilmu Mantiq berbanding kita. Mana tidaknya, mereka setiap hari bermain dengan bahasa.

3. Pihak guaman juga perlu melakukan sedemikian sekiranya mereka merasakan ada beberapa pendapat mereka yang telah dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan atau kurangkan memberi pendapat kepada pihak tersebut untuk maslahat dan kepentingan umum.

4. Antara mereka yang hebat ilmu Mantiq yang boleh kita contohi adalah Allahyarham Dato' Ustaz Hajji Fadzil bin Muhammad Noor. Sukar melihat media memanipulasi kata-kata beliau.

5.
Sebenarnya, saya tidak bercadang untuk menulis berkaitan isu ini, bahkan saya juga tidak tahu mengenai isu ini sehinggalah selesai menunaikan solat Jumaat yang mana datang seorang sahabat mengajukan isu ini untuk dibincangkan.

WaAllahu a'alam.

2 comments:

Inner Inspiration said...

Salam. Bagus sekali apabila melihat sahabat ana menganalisis tentang perkara ini. PErkara yang jelas dan nyata bahawa dalam kes seumpama ini pastinya video bukanlah bukti kena masih boleh dimanipulasi. Antara sebab Islam memerlukan 4 0rang saksi adalah kerana perkara besar seumpama ini tidak boleh menggunakan qarinah sahaja sekalipun ia nampak sebagai bahan bukti.

AriffSarip said...

Benar tue Ustaz AsrulNizam kita, sandaran bukti untuk menguatkan penghujahan melihatkan kpd teknologi zaman kini... :)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...