Advanced Search

Custom Search

Followers

Aku Bukan Seorang Ustaz.

Membaca penulisan terkini daripada individu yang tidak asing lagi dikalangan kita Al-Fadhil Al-Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (UZAR) membuatkan saya berfikir sejenak, penulisan beliau yang lahir dari benak hati setelah menghadiri majlis Ilmu bersama ulama' terkemuka membuatkan saya juga turut merasakan aura tersebut sehingga merasakan diri yang sedia kerdil ini benar-benar bertambah kerdil.

Ada benarnya, acuan untuk mengatasi serangan dan mendamaikan antara ahli agamawan yang berfikir mengikut acuan tempat mereka belajar semata tanpa menerima pandangan dari pusat pengajian yang lain, bahkan ada segelintir yang memperkecilkan tempat pengajian yang lain perlu dilakukan oleh seseorangan yang diakui cerdas mindanya sejak zaman sekolah rendah lagi bahkan mesti dihormati dan diakui ilmunya oleh kebanyakkan ahli agamawan.

Begitulah betapa telitinya pandangan beliau untuk membentuk acuan kelahiran ulama' yang disegani khususnya Malaysia. Acuan yang hebat dan mahir dalam selok belok agama Islam mencerminkan kesungguhan beliau untuk mengelakkan perpecahan dikalangan mereka yang mengaji di Timur Tengah khususnya. Saya tidak pasti perbalahan yang bagaimana, kerana berdasarkan pengalaman saya, mereka yang saya jumpa rata-ratanya lepasan dari pelbagai IPT seperti Mesir, Madinah, Sudan, Afrika, India, Pakistan, Yaman dan pelbagai lagi tidak pula menunjukkan keegoan ilmu masing-masing, bahkan jika terdapat kekhilafan mereka sangat meraikan ilmu mereka yang lain. Tetapi, mereka-mereka yang saya jumpa itu mungkin graduan lulusan 20-30 tahun lepas. Mungkin juga UZAR bermaksudkan dan menfokuskan masalah itu kepada ustaz-ustaz (graduan) yang baru-baru ini. WaAllahu a’alam, itu saya tidak pasti.

Tetapi itulah hakikat mentaliti kita rakyat Malaysia, tidak mudah mengiktiraf ilmu orang lain hanya kerana satu atau dua kekhilafan yang berlaku dan tidak disetujui sama sekali. Seperti kata UZAR lagi, tidak setakat itu perlakuan para ustaz kita, bahkan ada yang mem'bantai' ustaz lain di dalam surau dan masjid sehingga menyebabkan berlakunya kekeliruan dan kecamukan minda masyarakat setempat yang benar-benar mengharapkan para ustaz ini untuk membimbing mereka. Akhirnya meninggalkan satu pertanyaan tanpa jawapan dikalangan masyarakat, yang mana satu betul ni?



Panggilan Ustaz.

Jika diteliti semula melihat kepada kebiasaan rakyat Malaysia yang terlalu mudah memanggil seseorang dengan panggilan 'ustaz'. Hatta pelajar yang baru sahaja memasuki sekolah menengah agama yang walhal baru sahaja berada di tingkatan satu kita sudah memanggil mereka dengan gelaran 'ustaz'.

Mudahnya, apabila pelajar sekolah agama pulang ke kampung, berkopiah, atau berjubah maka gelaran ustaz akan melekat pada dirinya. Jika dilihat dari satu sudut yang lain pula pelajar lepasan SPM yang mengajar di sekolah-sekolah rendah agama samada sementara menunggu panggilan ke universiti atau memang niat mengajar kerana menghadapi masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran juga kita sudah memanggil mereka dengan gelaran ustaz. Hakikatnya, begitulah mentaliti kita, ustaz adalah mereka yang berkopiah, mengajar agama, berjubah, sehinggakan pakcik-pakcik yang berjanggut juga dipanggil ustaz.

Pernah suatu ketika saya mengajar di sekolah kebangsaan, saya hanyalah guru Bahasa Melayu dan mengajarkan beberapa subjek bukan major saya seperti matematik, sukan, dan bahasa arab, malah saya juga turut mengambil alih tugas seorang ustazah yang sedang cuti bersalin mengajarkan subjek Pengajian Islam. Bukan sahaja kerana saya mengajar subjek pengajian Islam dan Arab, bahkan yang dahulunya pelajar-pelajar memanggil saya dengan gelaran 'cikgu', tiba-tiba bertukar kepada panggilan 'ustaz' hanya kerana kebetulan pada waktu temasya kesukanan sekolah tersebut saya diminta oleh guru besar untuk membacakan doa pembuka.

Bukanlah maksud saya untuk tidak meraikan panggilan ustaz tersebut, cuma saya berpandangan bahawa janganlah mudah untuk kita memanggil seseorang itu dengan gelaran ustaz, secara jujurnya saya juga kurang suka orang memanggil saya ustaz walaupun saya belajar di bidang Syariah. Kerana saya lebih mengetahui apa yang saya lakukan ketika di zaman kanak-kanak dan remaja, dan ia membuatkan saya malu untuk dipanggil ustaz.


Di negara-negara arab, 'ustaz' itu bermaksud professor, sehinggakan ada seorang pensyarah berkata, "tidak pernah aku melihat ustaz (professor) yang begitu ramai di sesebuah negara kecuali di Malaysia," dengan sinisnya.



Nama Ustaz Menjadi Buruk.

Sama nasibnya seperti gelaran 'guru' yang suatu ketika dahulu sangat dihormati sehinggakan adakalanya kata-kata guru lebih didengari daripada kata-kata ketua kampung. Kini di Malaysia gelaran ustaz ini menjadi sedikit buruk kerana beberapa individu yang tidak selayaknya dipanggil ustaz tetapi kita gelarkan mereka ustaz, kesnya, seperti 'ustaz mencabul murid', 'ustaz berkhalwat', juga kes 'ustaz menipu dalam skim pelaburan atau MLM'.

Bila perkara sedemikian terjadi, mulalah kita menunding jari menyalahkan pihak-pihak ustaz, sehinggakan ustaz kini sudah tidak lagi dihormati oleh masyarakat, hatta yang mampu menilai sama ada seseorang itu ustaz ataupun tidak hanyalah ustaz (ahli agamawan) itu sendiri.


Ulama' Tersembunyi.

Sebenarnya, ciri-ciri BAKAL ulama’ (selepas ini saya akan gelarnya ustaz) seperti yang disebutkan oleh UZAR ada di Malaysia, tetapi kerana beberapa masalah yang berlaku benar-benar menguji ustaz tersebut. Mungkin saya silap menilai, tetapi mungkin ada benarnya juga, saya pernah jumpa beberapa orang yang boleh dikatakan mahir dalam pelbagai bidang. Tafsir, hadith, feqh pelbagai mazhab, dakwah, hatta bahasa arabnya juga sangat mantap.


Ustaz pertama.


Ketika saya mengajar di sebuah sekolah rendah agama yang mana dalam sekolah tersebut hanya ada 3 orang guru lelaki termasuk saya, saya sempat berkenalan dengan seorang ustaz yang umurnya lebih 6 tahun daripada saya. Pada mulanya ego saya hanya memberi pandangan biasa sahaja kepada ustaz tersebut kerana mengetahui beliau hanyalah guru agama lepasan SPM sedangkan saya lepasan IPT tempatan. Tetapi pandangan saya berubah hanya selepas saya bersembang dengan beliau, bahasanya cantik, ulasannya padu, huraian hadithnya mantap dan rupa-rupanya ustaz ini merupakan bekas pelajar yang telah belajar 10 tahun lamanya di Yaman. Jadi mengapa ustaz ini memohon pekerjaan sebagai guru sekolah rendah agama dengan menggunakan SPM sedangkan dia mempunyai Ijazah? Ya, itulah jawapannya, dia memiliki sebuah Ijazah yang hanya kerana Ijazah tersebut tidak di iktiraf di Malaysia.


Namun jauh di raut muka dan matanya seperti ada sesuatu yang cuba dirahsiakan untuk tidak memberi tahu saya dari mana lagi tempat dia menuntut ilmu. Saya cuba untuk mencungkil rahsianya tetapi tidak berjaya, ternyata ilmu kalamnya begitu tinggi. Dia tidak dapat lagi meneruskan ke tahap kerjaya yang lebih tinggi, ujian Allah sangat besar padanya, mungkin sudah qada’ dan qadarnya begitu. Kadang-kadang saya terfikir juga, beruntungnya pelajar-pelajar sekolah rendah menuntut ilmu dengan seorang guru yang tinggi ilmunya, apa yang boleh dilakukan, mereka bukan tahupun, kanak-kanaklah katakan.


Namun peluang disitu tidak saya lepaskan, setiap kali waktu rehat kami, saya manfaatkan secukupnya untuk mempelajari beberapa ilmu (tanpa formal) dengan beliau. Saya terpaksa akui, bukan sahaja bahasa arabnya yang fasih, malah ulasan hadith, huraian tafsir juga begitu padu untuk didengari. Saya juga cuba sembang bab-bab yang berkaitan bidang saya, iaitu feqh dan dakwah, dan acap kali isu-isu semasa yang terjadi di Malaysia, saya cuba untuk mendapatkan pandangan beliau, saya membalas hujah dan ternyata, ilmu dakwahnya bahkan ilmu feqhnya juga begitu kemas dari aspek hujah beliau. Semoga kita bertemu lagi.


Ustaz kedua.


Ustaz ini saya ketemu ketika di sebuah program, sepanjang seminggu berprogram bersamanya saya tidak sempat bersembang lama dengannya, terikat dengan masa, adakalanya senggangan waktu yang sekejap itu saya curi-curi untuk mendapatkan sedikit ilmu. Ustaz ini merupakan bekas pelajar yang telah belajar di Pakistan sehinggakan tamat Sarjana Mudanya di sana, kemudian beliau menyambung ke peringkat Master di India. Semuanya dihabiskan masa lebih 10 tahun lamanya untuk mendapatkan ilmu setinggi itu, tetapi pengajiannya tergendala kerana sijil-sijilnya yang tidak diiktiraf.


Alhamdulillah rezekinya murah, beliau kini merupakan penceramah bebas yang tidak berapa dikenali ramai, beliau hanya mengambil semula B.A di IPT tempatan untuk mendapatkan iktiraf, lalu berceramah dengan sijil tersebut. Dengan kesempatan yang tidak seberapa ada, saya hanya dapat menimba beberapa ilmu (tanpa formal) dengan beliau. Semoga kita bertemu lagi.


Mungkin ada ramai lagi di luar sana yang kita tidak tahu, mereka sangat juhud menuntut ilmu, kadangkala pertemuan bersama mereka saya kenang-kenangkan untuk memotivasikan diri sendiri apabila terasa niat dihati sedikit terpesong dari tujuan asal untuk belajar sehingga melintasi laut Malaysia. Semoga Allah memberi hidayah dan petunjukNya.



Dua Golongan Pelajar Agama.

Pertembungan dua kekhilafan berlaku daripada rataan golongan yang belajar agama. Kepelbagaian latar belakang membuatkan kita saling kali khilaf. Memang khilaf tidak menjadi kesalahan di sisi agama, tetapi bagaimana untuk meraikan kekhilafan dengan minda yang terbuka, di situ ada masalahnya.


Guru saya pernah sebut, golongan yang belajar agama ini terbahagi kepada dua, yang pertama adalah PESAKIT, dan yang kedua adalah golongan PERAWAT.


Dulu, kini dan mungkin selamanya SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA DIANGGAP SEPERTI SEBUAH HOSPITAL di Malaysia, ia menjadi tumpuan ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka yang bermasalah dengan harapan anak-anak ini akan berubah kerana bimbingan dan suasana serta budaya Islam yang di amalkan oleh sesebuah sekolah. Tidak layak memasuki sekolah tajaan kerajaan, sekolah-sekolah swasta menjadi sasaran yang kononnya untuk membantu ibubapa yang kebingungan dengan sikap anak-anak yang bermasalah ini.


Sekolah saya antaranya yang menjadi sasaran tersebut. Berdasarkan pengalaman saya, pelajar yang bermasalah ini bukanlah tidak pintar, adakalanya keputusan mereka sangat cemerlang kerana terdapat dikalangan mereka yang markahnya cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (macam UPSR) jika hendak dibandingkan dengan saya.


Tetapi, TSUNAMI KERUNTUHAN AKHLAK REMAJA yang berlaku di zaman 90an iaitu zaman persekolahan saya dahulu di mana pada zaman itu baru munculnya istilah rempit, budaya punk, hip hop, mudah mendapatkan vcd lucah membuatkan golongan yang dikatakan bermasalah semakin hari semakin meningkat, dan mereka telah membanjiri sekolah-sekolah agama sehingga menyebabkan golongan yang satu lagi (PERAWAT) menjadi golongan minoriti bahkan hampir-hampir sahaja kami pula yang terpengaruh dengan mereka.


Saya pasti, keruntuhan akhlak pada zaman itu tidak sahaja memberikan kesan kepada sekolah saya semata bahkan sekolah-sekolah yang lain juga turut menerima tempiasnya. Saya pun tidak akui yang saya ini golongan PERAWAT, kerana pada mulanya saya juga tidak berminat untuk memasuki sekolah aliran agama kerana ’tidak bebas’ sebagai seorang remaja. Bahkan ’keputusan akademi’ saya juga lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan ’keputusan aliran agama’ bermula dari darjah enam, PMR dan sehinggalah SPM.


Sebenarnya terasa sangat bersyukur kepada Allah swt kerana dikurniakan ibubapa yang telah memaksa anaknya untuk memasuki sekolah aliran agama, kerana dari situ permulaan hidup saya bermula. Bagaimanapun bukanlah juga bermaksud saya ini golongan remaja yang bermasalah, cuma nakal-nakal remaja itu biasalah. Terima kasih sekali lagi kepada kedua ibubapa saya.


Golongan pesakit ini tidak banyak yang berjaya dipulihkan oleh sekolah-sekolah agama, kerana rata-rata sekolah terlalu fokus dengan silibus dan tumpuan untuk mendidik pelajar bagi mendapatkan markah yang cemerlang demi menjaga status sekolah masing-masing, menyebabkan mereka yang masuk sebagai pesakit keluarnya juga sebagai pesakit, bezanya jika dia masuk dengan ’kaki yang patah’ keluarnya dengan ’kaki yang berjengket’, tidak mampu untuk jalan dengan sempurna. Sekurang-kurangnya, ada juga bimbingan buat mereka. Dan saya percaya, antara perbalahan yang berlaku antara ahli agamawan melibatkan dua golongan ini. Bahkan jika berlaku sesama golongan pun, satu adalah kerana dia menggunakan ’feqh mudah’, dan satu lagi pula menggunakan ’feqh susah (ketat)’.


Saya rasa tidak perlulah saya menghuraikan golongan perawat, kerana mereka ini memang minat untuk belajar agama, keputusan yang cemerlang dari sudut aliran agama, cerdas minda dan cerdas akal. Tapi mengapa mereka tidak menjadi ulama' ...?



Peluang dan Ruang.


Mengapa Malaysia tidak melahirkan ulama’, perlu dilihat dari pelbagai sudut, ruang dan peluang banyak yang menyekat kelahiran ulama’ seperti yang kita inginkan. Taraf hidup moden, acuan pendidikan, peluang menyambung pelajaran, dan banyak lagi yang boleh difikirkan antara yang menyumbang kepada perkara ini. Dan sebagai tambahan, sejarah bagaimana individu itu membesar juga menjadi salah satu aspek yang perlu di ambil kira. Jika ada yang cerdas mindanya, mungkin mereka pula yang tidak berminat untuk menjadi ulama'.


Bahkan, kita sebagai rakyat Malaysia juga tidak meraikan para ulama' , dan itu juga boleh menjadi sebab dan membuatkan tidak ramai dikalangan pelajar-pelajar yang bercita-cita untuk menjadi ulama'. Dengan bahasa mudahnya, momokan psikologi.


Tidak pastilah di mana silapnya, jika hendak dikatakan kepintaran menjadi satu ukuran, pelajar pintar Malaysia yang memasuki Universiti Oxford sejak berumur 13 tahun telah menjadi pengajaran dan membuktikan bahawa kepintaran sahaja tidak guna untuk menjadi orang hebat. Mungkin sikap juhud menjadi ukuran yang tepat, mereka yang juhud dan cerdas dari aspek akal dan jasmaninya, kerana untuk menjadi ulama’, ilmu tidak dituntut di dalam universiti semata, tetapi ilmu yang ditalaqi juga menjadi kayu pengukur kepada tahap ulama’ seseorang. Bahan bacaan tambahan juga penting untuk meluaskan pandangan.


Pada saya, apa yang penting, sebagai seorang ahli agamawan, sikap keterbukaan untuk menerima pandangan orang lain adalah amat penting, kerana kejumudan kita hanya akan membuatkan kita tidak diterima ramai sekaligus menghalang usaha dakwah.


Masih ada banyak lagi yang ingin saya kongsikan, insyaAllah pada penulisan yang akan datang. Saya juga akui, banyak perkara yang telah saya padam semula sepanjang penulisan ini, semuanya kerana demi menjaga kemaslahatan dan mengambil langkah ’menutup pintu-pintu keburukan’ supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap pelajar-pelajar agama. Apapun saya mohon maaf kepada sesiapa yang merasakan perlu permohonan maaf dari saya.


WaAllahu a’alam...


_______________________


Bukanlah niat dihati belajar agama untuk digelar Ustaz,

Tetapi aku gunakan ilmu itu untuk memimpin diri sendiri,

Jika mampu, akan aku kongsikan kepada mereka yang memerlukan,

Tetapi melihat kebesaran Allah swt, menyanjungi RasulNya,

Mencapai matlamat fitrah kehidupan kepada sebab penciptaan,

Yang itu adalah lebih utama...

2 comments:

ariffsarip said...

test2...

izwan said...

TERBAIK AR arip..
nanti bole ajar aku wat penulisan mcm neh..kelas gitu..
huhu..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...