Advanced Search

Custom Search

Followers

Antara Akidah, Feqh dan Dakwah.

Siapa sangka, satu masa nanti saya akan ditemukan Allah swt dengan Brother Lim Jooi Soon. Seorang muallaf yang mahir dalam ilmu perbandingan agama ini merupakan antara salah seorang anak murid kepada pendebat perbandingan agama terkemuka dunia iaitu Ahmadeedat.

Tidak kurang juga sahabat seperjuangannya iaitu Brother Shah Kirit bin Kalkulal Govindji juga antara yang hebat dalam perdebatan perbandingan agama. Kagumnya, mereka berdua adalah muallaf.

Kini pertemuannya sudah, pertemuan yang sebentar, ilmunya sangat manfaat, mendedahkan kepada saya teknik-teknik baru dalam berdakwah yang saya fikir walaupun skill interaksi dikhususkan kepada non-muslim, namun ia sesuai untuk diaplikasikan kepada masyarakat muslim.

lalu membuatkan saya berfikir sejenak akan keperluan kepada seorang ahli agamawan untuk memahami interaksi akidah, feqh, dan dakwah dalam pengaplikasian kami kepada masyarakat mengikut kesesuaian.


Dakwah dan Syariah.

Saya teringat ketika saya belajar di IPT Malaysia satu ketika dahulu, pada asalnya pengkhususan saya adalah dibidang Dakwah. Namun setahun selepas saya berada di pengkhususan dakwah, saya beralih ke pengkhususan Syariah kerana ketika itu saya berpendapat bahawa "semua orang mampu berdakwah, tetapi untuk memastikan samada dakwah itu tepat dijalannya ataupun tidak adalah dengan ilmu Syariah" lagipun ironinya, masyarakat lebih suka bertanyakan bab hukum-hakam agama.

Selepas saya bertukar ke pengkhususan Syariah, saya jarang bertemu dengan sahabat-sahabat sekelas di pengkhususan dakwah dulu, dan apabila kami bertemu, kami akan berseloroh:

"Hei enta, amacam dakwah? ok?, berapa orang dah yang enta dah Islamkan?" kata saya berjenaka,

"hahaha" semua tergelak dengan style tersendiri.

gelak dan ketawa akan memecah kekakuan kami setiap kali pertemuan yang jarang-jarang,

dan mereka menjawab:

"haa, ok jer, masih dalam urusan dakwah, tidak ada masalah. enta sibuk-sibuk tanya orang ni, yang enta ni, dah berapa banyak masalah feqh yang dah diselesaikan?"

haha, tersengih secungkil gigi saya dibuatnya, jangan kata 'telah', entah berapa banyak yang mampu saya selesaikan masalah-masalah baru ketika itu, nak keluarkan hukum pun masih takut-takut.

Alhamdulillah, susunan takdir Allah swt sangat manis, Dia mentakdirkan saya menamatkan pengajian dengan pengkhususan Syariah, dan ilmu dakwah saya perolehi secara praktikal, dengan bergurukan beberapa pendakwah, saya ikut ke mana sahaja mereka pergi semata-mata untuk mempelajari teknik dakwah.

Benar, dakwah ini bukan sesuatu yang mesti diperolehi sekadar teori, praktikal adalah sesuatu yang sangat utama, mungkin ilmu kita banyak, tetapi untuk diaplikasikan kepada masyarakat tidaklah semudah ABC. Masyarakat adalah pelbagai, bukan kata perangai, malah cara penerimaan mereka terhadap dakwah juga adalah berbeza, dari aspek gaya bahasa mahupun tawanan jiwa.

Teknik-teknik baru akan dipelajari dari semasa ke semasa, apa yang penting adalah kita jangan takut untuk mencuba. Kesilapan besar ahli agamawan dalam berdakwah ialah mereka sangka ceramah dan tazkirah sudah mencukupi, jadi bagaimana dengan mereka yang berceramah sekadar "melepas bato' ditangga?" ia mesti dimuhasabah sebaiknya.


Dicop sekular.

Ketika giat aktif berdakwah di Malaysia, saya merasakan keperluan untuk berdakwah secara logik akal amat perlu, oleh itu kebanyakkan apa yang saya sampaikan lebih kepada tarikan berdasarkan akal, tidak banyak dalil-dalil 'Naqli' (Al-Quran dan Assunnah) yang saya kemukakan ketika memberi 'talk'.

Sehinggalah saya dicop sekular oleh beberapa teman, mana tidaknya, lihat sahaja kepada blog ini, namanya saja menunjukkan seperti saya ini tidak ke arah Islamic, sehinggakan pernah suatu ketika orang bertanyakan kepada saya, apa bendanya maksud Analisis Minda ni?

Saya kata, jangan begitu mudah cop saya itu dan ini, cuma kebetulan masyarakat yang mendengar 'talk' saya difikirkan tidak memerlukan begitu banyak dalil 'Naqli'.

Saya akui, selepas itu saya agak suram sedikit dari dunia dakwah untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar kepada saya, dan sehinggalah kini, selepas pertemuan dengan dua muallaf yang hebat berhujah dalam perbandingan agama membuatkan saya lebih yakin untuk terus menggunakan dalil-dalil akal, tetapi tidak pula keterlaluan, hanya mengikut kesesuaian.


Interaksi Akidah.

Saya ingat selama ini feqh dan dakwah sudah cukup untuk diaplikasikan kepada masyarakat, ternyata satu lagi yang dicicirkan dari landasan ilmu saya ialah ilmu akidah. Persoalan akidah masih lagi lemah dari aspek penguasaan.

Memang benar, Allah swt telah memerintahkan baginda SAW untuk menanam akidah ke jiwa masyarakat arab selama hampir 13 tahun sebelum memulakan hukum dan hakam dalam Islam. Cuma saya yang masih tidak jelas apa itu tanaman akidah ke dalam jiwa manusia sebelum mereka didakwah untuk menjiwai hukum-hakam dalam agama.

Tetapi dalam pertemuan bersama Brothers Shah Kirit dan Lim Jooi Soon membuka minda saya dengan seluasnya bahawa Feqh bukanlah segalanya, akidah juga mesti diutamakan. Baru saya faham, mengapa selama ini masyarakat kita terlalu susah untuk menjalankan hukum-hakam Islam sedangkan pelbagai jenis ahli agamawan sudah mengajar, samada di Masjid, di Surau, di Media-media, secara rasmi mahupun tidak.

Ini kerana akidah mereka masih ditengah-tengah antara mahu dan tidak mahu.

WaAllahu a'alam...

__________________________

Perjalanan hidup masih panjang, masih banyak yang perlu dipelajari, saya belum tahu jika ada lagi beberapa ilmu lain yang mesti dikuasai, didoakan semoga Allah swt menemukan saya kepadanya, amennn...

3 comments:

Motivasi Kerja said...

Salam. Artikel yang baik untuk dikongsikan. Dakwah melibatkan aktiviti turun padang. Selalu turun padang akan memperkemaskan teori dakwah. Sebab teori adakalanya tidak tepat dengan suasana sebenar. Senjata utama dalam berdakwah ialah menjadi seorang yang resourceful. Tahu banyak perkara tentang kehidupan menyumbang kepada metodologi dakwah yang lebih baik.

Ariff Sarip said...

Terima kasih atas kata-kata yang saya fikir satu nasihat penting buat diri. Benar, memiliki sumber dalam berdakwah amat penting, metodologi juga harus tepat, contohnya tenungan mata (eye contact), teorinya mudah, tapi kalau tersalah tenung, silap-silap haribulan kena tampar dengan pendengar... hehe...

cinta islam said...

Salam artikel yang anda tulis sangat baik...tapi bolehkah terangkan tentang hubungkait antara dakwah akidah yg sbnarnye2..saya kurang paham tentang itu..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...