Advanced Search

Custom Search

Followers

Politik Cara Soleh?

Salam sejahtera kepada semua, didoakan sihat-sihat sahaja di bawah lindungan dan rahmat Allah swt, hendaknya.

Kemaafan seribu kepintaan kerana lama benar rasanya tidak menulis entri terbaru untuk para pembaca, kesibukan untuk menghadapi kertas peperiksaan yang berturut-turut tanpa lekangan masa mengorbankan isian blog ini.

Banyak juga isu-isu negara yang ditinggalkan sehingga boleh dikatakan mungkin saya merupakan antara mereka yang terlewat mengetahui isu-isu semasa dalam negara, dan apabila baru sahaja mengetahuinya, barangkali isu itu sudah reda kehangatannya.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa tajuk entri kali ini berkaitan politik, sedangkan blog ini merupakan blog yang bebas politik.

Benar, seperti sedia maklum, blog ini terkecuali dari politik, sedangkan saya juga merupakan individu yang tidak berminat dengan politik, cuma isu baru-baru ini yang berkaitan dengan politik membuatkan saya benar-benar ingin mengisi seulas dua pandangan tetapi melalui prespektif yang berbeza.

Saya juga berharap untuk entri pada kali ini sahaja dan pada entri-entri berikutnya tiada lagi politik, InsyaAllah.

Sekiranya anda tidak faham akan kupasan ini, sukalah saya untuk menasihatkan anda membaca terlebih dahulu isu-isu berkaitan di akhbar-akhbar tempatan.

___________________

Politik dari prespektif saya merupakan satu bentuk permainan psycology untuk mengaburi mata-mata dan menelopong minda-minda untuk mengikuti hala tuju pemainnya.

Diibaratkan juga politik dan fitnah sama sifatnya seperti aur dan tebing, memang tidak dapat dipisahkan, mereka yang terjerumus dengan politik sudah pasti terjerumus ke udara fitnah.

Kebijaksanaan dalam bermain politik merupakan satu kelebihan dalam diri dan pemikiran individu, kerana apa? kerana itulah politik.

Baik atau buruknya cara politik seseorang itu bukan satu ukuran yang tepat, tetapi mereka yang bijak memancing minda dan jiwa sasaran, maka dari aspek politik dia dikira amat berjaya.

Saya tersenyum sinis, kerana terdapat keluhan dari ahli politik yang mengatakan bahawa beliau sudah tidak larat untuk menempuh pihak lawan, maka apakah tindakan beliau itu seperti beliau tidak tahu bahawa itulah erti politik.

Lalu disuruh rakyat untuk bersolat hajat hanya kerana sudah tidak mampu untuk menghadapi pihak lawan? Jadi di manakah seruan "apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah"

Jadi dimanakah azam, apakah azam yang dimaksudkan adalah sekadar keazaman? sudah tentu tidak, keazaman MESTI disertakan bersama perbuatan kepada keazaman, maka selepas itu barulah kita dibenarkan untuk bertawakkal.

Bagi mereka yang faham maksud saya, apakah saya seperti merelakan pihak lawan menggunakan taktik kotornya?

Sudah tentu tidak, bukanlah saya mengatakan bahawa taktik politik semestinya kotor? Tetapi saya cuba untuk menimbulkan persoalan kepada anda semua, adakah politik cara soleh...?


KISAH TELEVISYEN

Pernah atau tidak anda menonton rancangan (tamil atau hindustan saya tidak pasti) yang mana sewaktu dulu saya menontonnya dikaca televisyen Malaysia yang mengisahkan bahawa seorang wartawan mencabar menterinya untuk melakukan itu dan ini. Lalu menteri itu menjawab bahawa bukan mudah untuk memimpin dan menteri itu memberi jawatannya kepada wartawan tersebut untuk tempoh percubaan untuk bekerja sebagai seorang menteri (saya juga terlupa sama ada sehari atau sebulan).

Dalam tempoh jawatan itu diberi, nampaknya wartawan tersebut berjaya untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang menteri seperti yang dia inginkan, lalu rakyat menyukainya dan melantiknya menjadi menteri yang sah melalui pilihan raya.

Melihat kepada kisah bagaimana menteri yang asal dulu cuba untuk mendapatkan kembali kuasanya, maka dengan pelbagai cara wartawan ini diduga dengan rintangan dan kekacauan yang mendesak untuk dia meletakkan jawatan sebagai menteri dan mengembalikan jawatan tersebut kepada menteri yang asal tadi.

Wartawan tersebut yang kononnya tidak suka pada taktik yang kotor cuba untuk menghadapi rintangan dengan perlahan dan cara yang lembut sehinggalah terkorbannya kedua ibubapanya yang menjadi mangsa kepada rancangan jahat untuk menjatuhkan wartawan tersebut.

Namun akhirnya, apabila dia dengan bijaknya telah melakukan sesuatu pada pihak lawannya sehinggakan pihak lawannya tumpas dengan gerakan politik beliau. Dan menyesallah wartawan tersebut atas perbuatannya lalu ditenangkan oleh pegawai kanan wartawan tersebut dengan mafhum seolah-olah dia cuba menyampaikan maksud bahawa itulah politik.

Terpulang kepada perspektif masing-masing, mungkin cerita ini tidak logik, sudah namanya pun drama, sudah pasti hanya rekaan dan tiada kaitan dengan sesiapa pun. Tapi mungkin kita boleh ambil sedikit ikhtibar bahawa perlu bagi kita untuk memahami hakikat kerjaya politik.


KISAH SAYA DAN POLITIK

Pernah saya pada suatu ketika dahulu menerajui badan kepimpinan mahasiswa di IPT, saya yang masih baru mengenali paut-paut gerakan mahasiswa hanya menyangkakan bahawa politik kampus tidaklah seperti dunia politik yang sebenar.

Ketika saya menerajui pimpinan tertinggi Persatuan Anak Negeri (PAN), saya dikatakan bakal dinobatkan bahkan diharapkan sebagai pemegang kerusi panas, kerusi nombor satu untuk PAN terbabit pada tahun berikutnya, namun atas desakan beberapa Ahli Mesyuarat Tertinggi (AMT) yang lain mereka mencadangkan saya untuk bertanding bagi merebut kerusi dalam Majlis Persatuan Mahasiswa di IPT (MPMIPT) tersebut iaitu sebuah persatuan terbesar dan terutama dalam sesebuah IPT. Namun sesetengah daripada AMTPAN tidak bersetuju dan membantah kerana dikatakan PAN terbabit ketandusan orang yang berpengalaman untuk menerajui kerusi nombor satu tersebut.

Tetapi atas dasar hujah dengan mengatakan bahawa apabila wakil daripada PAN tersebut berjaya memasuki MPMIPT maka sedikit sebanyak suara-suara kecil dari PAN tersebut dapat didengari oleh MPMIPT dengan di orang tengahkan oleh saya. Apakah ini satu rancangan yang berkepentingan? Tidak, tetapi inilah politik yang mana baru bagi saya dan saya juga merangkak-rangkak untuk mengenalinya.

Ketika saya baru bercadang untuk bertanding merebut kerusi MPMIPT nampaknya desas-desus itu tersebar ke pengetahuan beberapa indidvidu tertentu dan saya akui mereka ada berjumpa dengan saya dan mendesak supaya saya meneruskan niat tersebut untuk bertanding dan bersama-sama membantu gerakan MPMIPT sekaligus membantu calon-calon utama pilihan mereka, tetapi saya membalas niat murni mereka dengan mengatakan bahawa saya tidak berminat. Entah bagaimana akhirnya saya hanya bersetuju untuk bertanding selepas dipujuk PAN atas tujuan mereka dan bukannya individu-individu berkenaan.

Selepas memenangi pilihan raya IPT dan berjaya mendapatkan kerusi di Majlis Tertinggi MPMIPT terbabit, telah sampai kepada saya satu berita dan rancangan bahawa mereka yang berkepentingan di PAN tersebut cuba untuk mengambil alih pucuk pimpinan. Rupa-rupanya selama ini, sokongan padu yang ditunjukkan mereka kepada saya untuk menerajui MPMIPT sebenarnya dimaksudkan dengan bahawa 'mereka dengan sengaja menghalau saya dari PAN secara halus'. YA, rancangan mereka berjaya. Saya nyata tertipu.

Fikiran saya yang berceramuk ketika itu menjadi tidak menentu, terfikir kepada dana yang menimbun serta pengaruh persatuan yang dikuatkan melalui MoU bersama PAN-PAN dari IPT lain yang berjaya kami usahakan pada tampuk pimpinan yang lama menjadi terawang-awang dan itu mungkin menjadi punca kepada perebutan PAN tersebut.

Saya hampir patah kaki, sibuk dengan tugas sebagai AMT MPMIPT menjadikan saya benar-benar keletihan, tetapi kesungguhan yang ditunjukkan oleh mantan kerusi nombor satu untuk menyelamatkan PAN tersebut dari jatuh ke tangan mereka yang memang secara kasarnya tidak disetujui oleh tampuk pimpinan yang lama membuatkan saya bersemangat kembali, lalu kami usahakan itu dan ini, dan akhirnya.

Dengan penuh kesyukuran kami berjaya menggagalkan rancangan mereka. Kisah ini benar-benar membuatkan saya tergelak sendirian, mana mungkin pada sangkaan saya bahawa menerajui apa-apa persatuan pelajar ada juga melibatkan bentuk politik seperti ini. Sungguh tidak disangka, terasa keletihannya dengan politik-politik lain yang dimainkan ketika menerajui MPMIPT dan seiris demi seiris luka fitnah dihadapi sehinggalah tamatnya tempoh perkhidmatan sebagai AMT MPMIPT, dan itulah yang menjadi punca kepada tidak minatnya saya kepada politik.

Lalu saya beralih arah kepada penubuhan kumpulan nasyid disamping menjadi trainer jemputan dari consultant-consultant yang berminat dengan khidmat saya. Bukanlah maksud saya untuk tidak berminat selamanya kepada politik, tetapi untuk masa sekarang dan saya mengharapkan untuk satu jangka masa yang lebih panjang untuk tidak meminati politik.


KAITAN ISU SEMASA

Mungkin politik kampus tidak sama dengan dunia politik yang sebenar kerana perbezaannya ketara, dengan jumlah yang dipimpin di kampus mungkin beribu-ribu dan dengan dana yang juga beribu-ribu ringgit sedangkan dunia politik yang sebenar melibatkan jumlah yang dipimpin menjangkau ratusan ribu juga melibatkan dana yang berjumlah jutaan ringgit.

Namun, sebagai mereka yang terlibat dengan politik harus faham dan tidak seharusnya meletakkan pemikiran letih pada gerakan mereka, benar, mungkin pihak lawan menggunakan taktik yang kotor, yang hanya pada pandangan rakyat akan memburukkan mereka, tetapi itulah politik, kesempatan disamping kesempitan. Ya, mungkin benar mereka menggunakan taktik kotor, tetapi mereka berjaya mengganggu.

Sebagai kerajaan yang baru menerajui negeri sepatutnya lebih bijak mengatasi sebelum mengubati sesuai dengan kaedah (addaf 'u kuwwah min rafa') menahan lebih kuat dari mengangkat. Mencegah lebih baik dari merawat. Mereka harus melihat lebih jauh kehadapan sekaligus MENCARI dan berusaha untuk menutup segala pintu-pintu yang terlihat untuk sebarang cairan gangguan kepada pentadbiran.

Janganlah sibuk dengan buku berwarna-warni yang hanya memancing tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan pada hasil tersebut. Saya tidak pasti, sudah ada atau belum, tetapi seharusnya wujudkan terlebih dahulu buku yang menyenarai langkah-langkah pertama yang harus dibuat selepas menang bagi mempertahan dan menguatkan kuasa kemenangan tersebut.

Saya pasti dan sesangat-sangat pasti, sekiranya pentadbiran negeri pun diganggu dan berjaya dirampas seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, maka apakah tidak berkemungkinan atau mendapat jaminan bahawa selepas berjaya menguasai pentadbiran persekutuan tidak terdapat sebarang gangguan dan cubaan untuk merampas kuasa dengan kelicikan mereka?

Sudah tentu tidak, dan apakah apabila diganggu di peringkat persekutuan pada masa itu semua pemimpin hanya tahu dan mengarahkan kepada rakyat untuk bersolat hajat? Jadi dimanakah usaha yang dimaksudkan?

Memang benar, mereka yang berpolitik secara 'sulit' akan menerima hukumannya yang tersendiri, tetapi sebenarnya di sana mungkin terdapat cara untuk mengelakkan diri daripada terkena taktik tersebut, walaupun sidang tergempar berkemungkinan mampu untuk menyelamatkan keadaan, tetapi bila waktunya adalah menjadi tanda tanya kepada persoalan yang tidak ada kepastiannya.

Ya, mereka berjaya, walaupun dapat mengembalikan kepada keadaan asal, namun dalam tempoh tertentu, mereka dikira berjaya, berjaya mengganggu dan membuatkan pentadbiran tidak duduk diam dan resah. Pasti mereka tergelak sinis.

Fahamilah maksud disebalik sunatullah dan syariahtullah, usaha yang dilakukan harus tepat dengan tujuan, bagaimana untuk kita katakan kita telah berusaha sedangkan andai kita berhajat kepada A tetapi kita melakukan usaha ke arah B? sudah tentu hasilnya adalah B dan bukannya A, maka itulah sunnahtullah, ketepatan usaha dalam mencapai hajat, dan apabila telah kita melakukannya maka tawakkal kepada Allah swt dan itulah syariahtullah.

Saya yakin dan percaya, penyokong tentunya sentiasa menantikan berita yang bakal menunjukkan kehebatan pasukan politik pilihannya dengan mengalahkan pihak lawan, bukan sekadar menahan serangan, tetapi serangan juga harus dilakukan.

______________________

Mungkin akan jadi lebih menarik jika saya turut menceritakan bagaimana caranya wartawan itu mendapatkan kembali kuasa politiknya dengan menjatuhkan pihak lawannya, dan mungkin juga lebih menarik jika saya turut mengisahkan bagaimana perjalanan dan cara saya dan mantan AMTPAN menyelamatkan PAN tersebut.

Tetapi adalah menjadi satu rahsia dan menjadi kesalahan untuk menghebohkan kepada semua mengenai taktik kami, apa yang penting, melalui bisikan ego hati kecil politik saya ini, PAN tersebut berjaya diselamatkan dalam tempoh sebulan sebelum ditabalkan pemegang kerusi panas, kerusi nombor satu PAN tersebut dengan melibatkan perlembagaan dan penasihat-penasihat PAN. Dan hati ego politik kecil saya juga dengan egonya mengatakan bahawa pihak lawan kami juga telah pun memohon maaf atas perbuatan mereka dan mereka turut akui cara kami menyelamatkan PAN tersebut.

Cukuplah panjang lebar entri merepek politik saya ini, memang sungguh saya tidak berminat untuk bercerita mengenainya.

WaAllahu a'alam...

1 comments:

Ibnu Roslan said...

Saya sangat tertarik dgn entri kali ini. Benar-benar membuka minda bagi kaki2 politik.. Juga tertarik dgn kisah-kisah lama yg cuba disampaikan penulis.. Apa yg telah berlalu memang wajar utk kita ambil iktibar dan ibrah darinya.. Apa-apapun.. Yakinlah, Islam telah menggariskan panduan politik yg sangat terang dan jelas sebagaimana yg telah digariskan dan diamalkan oleh Rasulullah SAW sendiri..

Ibrah dari sirah Rasul, bagaimana Rasulullah pada mulanya membentuk peribadi-peribadi dahulu dan kemudiannya terbentuknya keluarga muslim dan lama-kelamaan, terbentuknya negara Islam.(Boleh rujuk Maratib Amal).. Akhirnya, kesan dari mengikut maratib amal ini, Islam mampu bertahan beribu-ribu tahun hinggalah khalifah terakhir -Uthamaniah- jatuh pada Mac 1924.. Walau pelbagai permainan politik yang dimainkan oleh pihak kuffar dan musuh2 Islam.. Namun, Jati diri dan aqidah yg dipasakkan dalam diri setiap muslim itu kesan dari pembentukan peribadi-peribadi yg kukuh pada awalnya... Maknanya, politik Islam memang sgt suci sebenarnya, tetapi yg mengotorinya adalah tgn2 kita sendiri. Masakan Islam boleh bertahan andai Islam tiada syariaat pada politiknya.. =)

*Saya yakin Ariff adalah pakar dalam permainan politik ini kelak.. Pemimpin yg sangat2 berwibawa...hehe.. ^_^

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...