Advanced Search

Custom Search

Followers

Kesilapan Yang Membawa Kepada Kematian.

Shah Alam: Aminulrasyid, 15, dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 Shah Alam.

Sehubungan itu Kementerian Dalam Negeri menubuhkan satu panel khas bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati polis, awal pagi semalam di Seksyen 11, Shah Alam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata panel khas itu akan diketuai oleh Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop, bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan menentukan siapa yang bersalah dalam insiden.

"Masih terlalu awal untuk menentukan siapa salah dan siapa yang betul, biarkan kami membuat siasatan dahulu, siasatan bersandarkan prinsip kebenaran bagi mengelakkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat, terutama yang membabitkan kes tindakan polis," katanya.

Justeru, beliau meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi dan tuduhan melulu hingga mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pihak dan individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap kejadian itu termasuk menjadikannya isu politik sehingga mengelirukan orang ramai.

Dalam masa yang sama Norsiah Mohamad, ibu kepada Aminulrasyid Amzah, remaja yang ditembak mati awal pagi semalam ketika didakwa cuba melanggar beberapa anggota polis, meminta supaya allahyarham anaknya tidak digelar penyamun atau penjenayah kerana beliau lebih mengenali siapa sebenarnya anaknya itu.

"Sebagai ibu yang melahirkan dan membesarkannya saya sangat terluka dan mohon supaya jangan gelarkan arwah anak saya sebegitu rupa. Tidak adil menuduh anak saya sebegitu tanpa pengesahan," katanya kepada pemberita di rumahnya ketika dikunjungi Menteri Pertanian dan Indusri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, hari ini.

Di sebalik penemuan parang oleh polis dalam kereta dipandu Aminulrasyid, kakaknya, Nor Azura Amzah, 39, berkata adiknya itu mungkin panik selepas melihat rakannya lari daripada kereta dinaiki mereka.

Noh pula berkata, beliau akan membangkitkan isu kematian remaja itu dalam mesyuarat Kabinet esok bagi meminta supaya polis menjalankan siasatan kes itu secara adil.

Beliau berkata, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, sendiri telah memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara terperinci dan tidak akan melindungi pihak yang terbabit.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, berkata Umno negeri sedia membantu termasuk dalam memberikan khidmat guaman terbaik kepada keluarga itu jika diperlukan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pula meminta agar siasatan polis dilakukan dengan jujur dan telus dalam usaha mengenal pasti perkara sebenar yang berlaku.

Beliau juga berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, Rodziah Ismail, akan memantau keadaan sebelum mengambil langkah yang sepatutnya berhubung kebajikan keluarga itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata: "Polis hanya boleh menembak apabila nyawa mereka sendiri terancam atau apabila nyawa orang awam terancam (sedangkan) di dalam kereta tidak ada walau sebilah senjata seperti yang didakwa polis sebelum ini".

Bercakap pada sidang media yang sama, Yaakub Sapari, Exco Kerajaan Selangor yang juga Adun Kota Anggerik turut menyuarakan rasa kecewa dengan insiden yang membabitkan rakyat di Dun beliau.

Sumber: Bernama, Berita harian, http://networkedblogs.com.

__________________________________

Pada Pendapat anda apakah Menteri Pelajaran Malaysia juga perlu mengambil berat akan kes ini? Saya berpendapat YA!!!...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...