Advanced Search

Custom Search

Followers

Allah tuhan sekalian alam!

Baru-baru ini kita digemparkan oleh keputusan Mahkamah yang membenarkan majalah krisian Herald The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Saya baru terfikir untuk berkongsikan pendapat mengenai isu Kartika yang dilihat tiada kesudahan sehingga melibatkan pergolakan rumah tangganya. Walaupun terlambat terlintas juga difikiran untuk mengambil kesempatan atas kelapangan yang ada untuk memberi pandangan bagi cadangan Sekolah Sealiran juga dengan artikel mengenai pembentukan Azam dan Istiqomah seperti yang dijanjikan.

Apapun penulisan haruslah difokuskan pada sesuatu perkara agar semuanya siap sempurna tanpa kenyataan yang bercampur aduk. Ada kesempatan yang lain nanti saya akan kongsikan pendapat terbabit.

Bagi kes ini, "Fakta kes tersebut adalah pada 18 Mac 2009 pemohon iaitu Paderi Roman Katholik di Kuala Lumpur iaitu Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) ke atas Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana memutuskan melarang akhbar the Herald dari menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan edisi bahasa Malaysia akhbar itu."

Tidak lain dan tidak bukan apabila sesuatu kes berlaku dalam negara aman Malaysia ini masing-masing akan bangkit terutama parti politik untuk membuktikan bahawa merekalah hero yang boleh membela. Isu ini sebenarnya tidak sehangat yang dikata, hanya diperhangatkan oleh sesetengah pihak yang entah mungkin sebabnya seperti yang dikatakan tadi bahawa semuanya ingin membuktikan sifat ke 'hero' an mereka dalam membela hak-hak tertentu.

Mungkin segulung ucapan ribuan terima kasih patut diberi kepada Hakim Datuk Lau Bee Lan kerana keputusan beraninya sudah menenggelamkan isu kehilangan enjin jet dan kenaikan harga gula. Masyarakat Malaysia pula dilihat suka mengambil sikap tidak peduli kapada perkara-perkara yang tidak melibatkan mereka, seperti kenaikan harga gula isu ini mungkin menyebabkan beberapa isi rumah melenting, tetapi hal berkaitan kehilangan enjin jet kebanyakan isi rumah tidak mengambil peduli kerana mereka tidak terasa kesan buruknya melainkan ahli politik yang sudi mengambil kesempatan atas kelemahan ini. Walaupun kebanyakan blog-blog mengulas dua isu ini saya hanya mangambil keputusan untuk mendiamkan diri kerana tidak berminat untuk mengulas isu berbentuk sebegini.

Berbalik kepada isu penggunaan kalimah Allah, dari aspek perundangan keputusan hakim yang membenarkan penggunakan kalimah Allah dalam penerbitan sebuah majalah kristian adalah satu keputusan yang tulus mengikut undang-undang perlembagaan. Mungkin kerana kelemahan undang-undang sedia ada yang menyebabkan keputusannya sebegitu rupa. Perkara 3 dan 11 terutama (1) Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang sebarang penyebaraan agama dalam Malaysia. Bahkan Perkara 11 (4) hanya melarang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam dan kes ini tidak membuktikan sebarang penyebaran majalah tersebut kepada orang Islam dilakukan. Ternyata Perlembagaan Persekutuan tidak mengklasifikasikan penggunaan kalimah Allah untuk mana-mana agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia.

Dari aspek agama Islam pula sepanjang pengetahuan saya Allah itu adalah tuhan bagi sekalian makhluk tidak kira sama ada untuk umat Islam atau bukan Islam seperti tafsiran 'Arrahman dan Arrahim'. Saya masih teringat ketika kes kejadian runtuhan jambatan gantung di Perak yang mana ketika ditanya kepada seorang bapa (agama hindu) atas perasaan kehilangan anak yang hanyut dengan tenang dia berkata 'tidak mengapa, tuhan Allah ada boleh jaga sama dia'. Lihat! memang agama lain sebenarnya mengakui Allah adalah tuhan yang menciptakan alam dan segala yang terbentuk di dunia ini, tetapi kesilapan mereka ialah mereka akui bahawa terdapat tuhan perantara yang menghubungkan mereka dengan Allah dan inilah yang seharusnya didakwahkan oleh umat Islam di Malaysia terutama mereka yang berilmu apatah lagi menjawat jawatan 'Ustaz' dan 'Ustazah'.

Apapun secara logiknya, Herald tidak mempunyai alasan yang munasabah dan tidak sepatutnya menggunakan kalimah Allah semata-mata beralasan mentafsirkan perkataan 'god' di dalam majalah terjemahan Bahasa Malaysia mereka sedangkan jelas tafsiran 'god' di dalam bahasa Malaysia tidak membawa makna Allah tetapi membawa maksud tuhan. Hakim Datuk Lau Bee Lan juga sepatutnya membuat keputusan di bawah perkara 11 (5) yang melarang mana-mana amalan agama yang boleh membawa kepada kekacauan ataupun menggugat ketenteraman awam ( public disoder ).

Sebagai langkah bagi menutup pintu keburukan 'Saddu Zara'ik' perkataan Allah dilihat tidak relevan untuk digunakan oleh majalah tersebut atas sebab-sebab seperti yang saya katakan tadi selain penggunaan Bahasa Malaysia dan adat budaya masyarakat Malaysia itu sendiri kerana dibimbangi akan terdapat sesetengah pihak yang cuba menghangatkan isu ini atas kepentingan sendiri sama ada kepentingan peribadi, pertubuhan ataupun politik.

Wallahu 'aalam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...